Bab 4

24 0 1
                                    

SUBJEK Pengurusan Perniagaan seawal pagi ini membuat seisi dewan kuliah kelihatan melayan kantuk masing-masing. Mungkin kerana belajar hingga ke pagi. Tak pun buat benda lain hingga dinihari selepas ujian Statistik yang dijadualkan dua hari lepas berlalu disebabkan oleh perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan. Itu mengikut kata pensyarah kecil molek dan bercermin mata seperti imej diriku iaitu Puan Sarah Abdul Rahman.

"Helo... kenapa termenung sorang-sorang kat sini?"

Senyuman mesra Irsyad menyapa birai mata, meredakan gelora jiwaku pagi ini. Ingatkan dah tak ada orang yang mahu mempedulikan aku lagi. Irsyad duduk di sebelahku yang sememangnya kosong sebarisan.

"Tak ada apa-apa. Otak aku ni bengang dengan Statistik tadi tak hilang lagi." Aku senyum, menyembunyikan bentuk hati. Sebenarnya aku bengang dengan sikap buru-buru Meeda yang menuduhku melulu.

"Tak hilang lagi? Biarkan aje... yang lepas tu tak payah difikirkan sangat."

"Apa hal?"

"Nak ajak kau tengok wayang petang ni." Irsyad bersuara tenang.

Aku melihatnya dengan kening yang sengaja aku kerutkan. "Ajak aku? Kenapa tak ajak Zainal?" soalku hairan.

"Ya... cik adik manis, tak salah kan aku nak ajak keluar petang ni? Lagipun Zainal ada hal petang ni." Irsyad menekan suaranya untuk meyakinkan yang aku tak salah dengar apa yang dituturkannya sebentar tadi.

"Pelik!" tuturku tanpa sedar.

"Apa yang pelik?" soal Irsyad memandang aku tanpa berkelip.

"Aku pelik, tiba-tiba kau ajak aku. Okeylah, boleh... no problem. Aku akan temankan kau petang ni. Tapi janji, ja­ngan balik lewat sangat. Esok, aku kena balik kampung."

"Boleh aku ikut?"

"Aku rasa tak perlulah. Aku takut kau tak biasa kat kampung aku. Lepas tengok wayang kau nak buat apa lagi?"

"Lepas tengok wayang kita ke shopping complex. Aku nak beli sesuatu." Irsyad teragak-agak menuturkannya.

"Sebenarnya, aku tertanya juga apa tujuan kau ajak aku ni. Nak pujuk Meeda lagi? Oh... aku tahu. Kau ajak aku ni sengaja nak buat Meeda cemburu, kan?" dugaku.

"Saja aje. Itu pun kalau kau sudi keluar dengan aku. Sebab selama ni kita tak pernah keluar bersama. Ada pun kita keluar bertiga dengan Zainal. Kali ni, aku nak ajak kau keluar berdua dengan aku aje. Banyak yang aku nak cakap dengan kau."

Pelik sungguh kata-kata Irsyad ni. Dia cakap lain macam. Apa kena dengan Uda yang kecewa ni hari ini? Aku membiarkan dia meneruskan bicaranya.

"Kawan kau tu dah terlalu lama buat aku menjeruk rasa. Jadi, aku fikir apa salahnya aku ajak kau. Manalah tahu hati Meeda terbuka untuk menerima aku. Mungkin cara ni dapat mengubah persepsi Meeda dekat aku," tutur Irsyad seperti tahu sesuatu.

Dia ingin meredakan getaran jiwanya sendiri dengan berkata begitu. Aku dapat merasakan getarannya bersama.

"Aku okey, pasal tu aku sudi tolong. Selama ni ada aku kata tak nak bila kau minta tolong? Tak ada kan? Kau nak shopping ke nanti?" Semakin kuat naluri ingin tahu aku. Aku rasa dia ingin belikan Meeda sesuatu agaknya. Cemburunya aku, Meeda bertuah dapat orang yang sayangkannya melebih-lebih.

"Bukan... aku nak beli sesuatu untuk kenang-kenangan. Itu sebabnya aku nak kau ikut sama. Sesuatu yang special untuk seseorang yang bertuah dan istimewa," kata Irsyad penuh makna.

"Rasuah aku dengan tengok wayang hanya untuk tolong kau pilih hadiah?"

"Aku tak kata hadiah..."

CINTA AKAN INDAHWhere stories live. Discover now