Bab 7

19 0 0
                                    

LEGA! Itulah perasaan Irsyad ketika ini. Setelah melihat sendiri apa yang terjadi dan sekiranya terlewat sedikit sahaja dia menghantar Lina ke hospital, dia akan bersedih. Doktor kata ada kesan lama di otak Lina. Mungkin Lina pernah mengalami hentakan pada otaknya dulu.

Dia tidak tahu apa-apa bila doktor bertanya mengenai rekod perubatan Lina yang lama. Menurut doktor, Lina bertuah kerana sekiranya terlewat beberapa minit sahaja, dia akan koma dan tidak diketahui bila dia akan tersedar semula. Umpama orang yang tidur berpanjangan, mayat hidup.

Melihat Lina membuka kelopak mata, dia tidak dapat menggambarkan perasaannya ketika itu. Gembiranya bercampur baur. Ingin saja digambarkan perasaannya dengan peluk­an dan ciuman, tetapi pantas akalnya menghalang. Dia tahu Lina seakan berubah sikapnya. Dingin dengan perlakuannya.

Meeda tertidur dengan kepalanya terlentok di sebelah kiri katil. Dia letih kerana malam sebelumnya berjaga kerana Khairul! Sepanjang malam mereka berusaha dan berdoa semoga Lina cepat sembuh. Sebaik sahaja sampai di hospital, dia menghubungi ayah Lina yang kebetulan akan mengambilnya di asrama. Mereka akan datang petang ini.

"Meeda, kau pergilah balik berehat dulu." Irsyad me­nyuruh.

"Hmm... aku letih ni, tak larat nak jalan. Lagipun Lina masih belum sedar." Meeda mengangkat kepalanya, menguap berkali-kali. Letihnya setelah semalaman tidak tidur dan se­karang risau memikirkan Lina yang tiba-tiba sakit pagi ini.

"Lina dah sedar tadi semasa kau tertidur. Sekarang dia tidur semula." Irsyad menerangkan kedudukan sebenarnya.

"Jadi, Lina tak apa-apa? Apa kata doktor?"

"Doktor kata, Lina cuma demam biasa. Kesakitan yang dialaminya tu mungkin disebabkan migrain." Irsyad berbohong. Dia mengetahui ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Lina daripada mereka selama ini.

"Eloklah kalau macam tu. Buat aku bimbang aje Lina ni. Kau tolong hantar aku balik boleh?" pinta Meeda.

"Okey!" setuju Irsyad.

Saat ini, aku membuka mata. Melihat mereka masih di sisi menemani. Aku meneliti sekeliling. Sekali lagi aku kebingung­an. Aku di hospital. Apa pula yang terjadi?

"Lina, kau okey?" soal Meeda.

Aku cuma menggerakkan mata.

"Nampaknya dia okey. Lina, saya nak hantar Meeda balik dulu. Nanti petang saya datang semula. Okey?" Irsyad tersenyum.

Tapi matanya tidak dapat membohongiku. Irsyad seakan tahu sesuatu. Aku menjadi takut tiba-tiba. Ganjil dan perasaan kekok melihat mereka bersusah payah keranaku.

Siapa Irsyad dan Meeda? Irsyad menggenggam jariku erat sebelum berlalu bersama Meeda. Mereka meninggalkan aku dengan pelbagai persoalan yang mungkin tidak terjawab.

Sakit di kepala datang semula. Aku cuba memanggil-manggil mereka, tapi tidak berjaya. Aku terkapai-kapai kelemasan.

SUASANA riuh di sekitar mengejutkan aku semula. Aku membuka mata perlahan-lahan dan menangkap susuk tubuh seseorang di bahagian kaki. Lelaki asing tadi. Irsyad! Ini kali ketiga dia yang pertama dilihat. Aku meneliti wajah-wajah di sekeliling katil aku. Sukar untuk menggerakkan kepala, hanya mata menjadi bahasa hati.

Ibuku Maisarah, ayahku Mohamed dan Marwan adik lelaki kesayanganku. Terasa satu kehilangan. Lina tak datang? Atau tak sudi menemui aku? Lina! Bibir digerakkan perlahan memanggil Lina. Wajah mereka di sisiku bertukar corak. Keruh. Ibu mengelus-ngelus rambutku lembut. Perbuatannya itu membuat aku lega sedikit walaupun kehairanan.

"Lina, kenapa tak beritahu ibu Lina sakit? Dah berapa lama?" soal Maisarah. Wajahnya disenyumkan bagi menahan getar hati yang tidak keruan.

"Lina nak balik. Boleh, bu?" pintaku dalam kebingungan. Kenapa semua orang memanggil aku Lina? Aku bukan Lina. Aku Lisa, anak ibu yang satu lagi, anak gadis ibu yang tak mendengar kata, degil mengalahkan anak lelaki. Itu antara dialog ibu kepadaku dulu.

Kenapa ibu tak ingat ini aku? Apa dosa aku sehingga dihukum begini? Keluarga sendiri tak mengenali aku. Ayah yang memahamiku juga memanggil aku Lina. Ibu masih tidak sedar. Begitu juga ayah dan Marwan. Aku dalam kekeliruan yang amat sangat.

"Kenapa ni? Jangan menangis, Lina boleh balik. Kata doktor, Lina cuma demam biasa dan penat. Boleh kan, bang?" Maisarah meminta kepastian suaminya.

Mohamed hanya menjawab dengan anggukan. Dengan lembut, ibu menghapuskan air mata di pipi yang tanpa aku sedar ia mengalir.

"Kalau tak ada apa-apa hal, saya balik dulu." Irsyad bersuara setelah lama membisu. Hanya matanya merenung ku.

"Terima kasih sebab tolong anak pak cik!" Mohamed memeluk Irsyad.

Irsyad tersenyum. Setelah bersalaman, dia menghampiriku. "Lina, jaga diri baik-baik. Nanti jika ada masa, Irsyad pergi melawat Lina di kampung."

Aku hanya tersenyum, langsung tidak kenal siapa Irsyad. Maafkan aku kerana tidak boleh menipu hati ini. Aku meneliti wajah itu, cuba menyimpan memori bersama lelaki budiman ini.

"Irsyad pergi dulu." Irsyad melangkah pergi melepaskan genggaman tangannya di jemariku.

Jangan pergi! Jerit hati ini tiba-tiba. Aneh! Kenapa aku ingin menghalangnya?

Mencintai dan dicintai adalah keinginan dan impian setiap insan. Sekiranya takdir jodoh berpanjangan, pasti akan bersama hingga akhir usia. Mencintai seseorang tidak semestinya memiliki. Cukuplah sekadar dapat mendoakan kebahagiaannya itu lebih mulia daripada mendoakan yang tidak baik.

Kata-kata itu bergema di telinga. Air mata mengalir semula. Aku ingat sesuatu, tapi kenapa mereka tidak menerimanya? Menyedari aku kini...

"Bersedih lagi, Lina? Kenapa, nak?" Maisarah bimbang melihat keadaan anak gadisnya begitu. Sejak peristiwa dulu, dia jadi begitu.

Aku tahu tadi aku cuma bermimpi, berada di satu bilik yang asing dan ditemani oleh mereka yang langsung tidak aku kenali. Aku tahu aku tidak sedarkan diri kerana Lina menolakku hingga kepalaku terhantuk di bucu katil. Syukur akhirnya, aku sedar juga daripada alam mimpi.

CINTA AKAN INDAHWhere stories live. Discover now