KERANA tergoda dengan bisikan halus itu, Lidya tidak sedar tindakan yang dibuatnya. Sedar dari pengsan, Lidya kembali ke dunia nyata. Fikirannya yang bercelaru tadi terus menghilang. Menyedari dirinya sedang hanyut di atas batang pokok mati dia berusaha bertenang mengikut arus air ke muara sungai. Setelah lama dia cuba untuk ke tebing namun tidak berjaya.
Tetapi sudah terlewat, Lidya hanya membiarkan dirinya dihanyutkan arus ke arah tujuan yang tidak pasti. Arus terlalu deras sehingga dia tidak mampu melawannya lagi. Siapalah dia yang tak mampu berenang dengan baik, hanya mengharap bahan sokongan kayu hanyut tersebut untuknya berpaut. Jika dia tahu begini jadinya lebih baik dia menerima pelawaan Nisha untuk bermalam di rumah sahabatnya itu.
Tidaklah dia akan melalui hari Ahad ini begini, menyaksikan drama Faiz bersama Dayana. Kemudian terjadi peristiwa bodoh ini kerana luka hatinya dan sekarang sedang berusaha menyelamatkan diri dari menjadi mangsa sungai belantara ini. Hutan yang masih dara ini digelar penduduk berdekatan dengan nama Hutan Dara Kukut kerana mempunyai kisah sejarah yang menggerunkan, kisah teruna dara yang bercinta menjadi mangsa kekejaman pemujaan. Secara terperinci cerita kisah teruna dara itu tidak diketahuinya. Dia hanya maklum mereka menjadi mangsa hutan ini sahaja.
Dia berusaha agar tidak menjadi mangsa sungai berkenaan. Tubuhnya semakin lesu dan penat. Lidya semakin takut, dia terus hanyut tanpa sempat berbuat apa-apa. Dalam keadaan begini, entah mengapa ingatannya mengenang ibu Liyana. Tiba-tiba arus deras melencongkan tunggul kayu tempatnya berpaut ke satu arah dan melanggar sesuatu di dalam air sungai yang deras.
"Auuuw!" jeritan akhir sebelum badannya di bawa arus sungai yang semakin ganas. Lemah segala sendi, tubuhnya penat, sudah tidak berdaya lagi. Tunggul kayu yang dipaut sebentar tadi masih dipeluk erat. Mata terpejam tiba-tiba dia sudah tidak sedar apa yang telah berlaku seterusnya.