KERANA hari ini mendung, keadaan di luar masih lembab walaupun hujan sudah tidak turun sejak subuh tadi. Sejak awal pagi Lidya sedar Syazmee sudah berada di luar seperti hari sebelumnya tetapi dia terdengar bunyi ketukan. Kemungkinan Syazmee sedang sibuk membuat sesuatu yang tidak diketahui oleh Lidya, mereka hanya bersua sekejap di dalam khemah tadi.
Hujan semalam menyebabkan mereka tidak mempunyai pakaian yang kering untuk ditukar ganti dan Lidya mula beransur pulih dengan sedikit kekuatan, walaupun masih berasa lemah. Hari ini ada sedikit perubahan pada dirinya. Moga dia beransur pulih.
Syazmee muncul bersama senyuman pagi.
Senyuman menggoda hati Lidya.
"Macam mana keadaan awak pagi ini?"
Suara Syamee menggetarkan sukma Lidya.
"Ada baik sikit?" Syazmee bertanya lagi apabila melihat Lidya tidak menjawab soalan pertamanya.
"Saya mahu duduk," mohon Lidya tidak membalas soalan Syazmee. Menutupi kegugupannya.
"Awak masih lemah," Syazmee cuba menunjukkan sikap prihatin. Syazmee sebenarnya tidak bersetuju dengan permintaan Lidya itu.
"Saya tidak selesa. Asyik baring saja. Saya perlu bergerak. Saya rasa bosan berbaring saja," bantah Lidya melawan rasa dalam jiwanya.
"Nanti, sabar dulu," Syazmee bergerak di sekitar khemah yang didirikannya. Kemudian dia memapah Lidya ke satu banir pokok di tepi khemah. Dia cuba membantu Lidya duduk agar lebih selesa.
"Macam mana? Awak rasa selesa?" soal Syazmee sekadar ingin tahu. Di sini tidak ada tilam atau bantal yang ada hanyalah kanvas yang telah dijadikan atap khemahnya dan sedikit peralatan lelaki dalam beg galasnya, sebuah kotak kecil 'first aid' yang seringkali menjadi temannya bila masuk ke dalam hutan.
Kerana Lidya berbaring sahaja, berbantalkan batu hingga membuatnya mula rasa tidak selesa dan janggal. Kenapa perlu dia melalui pengalaman sebegini andainya dia mempunyai pilihan, dia boleh menikmati keselesaan di luar sana. Mengapakah dia boleh bertindak terburu-buru hanya kerana seorang lelaki dayus seperti Faiz. Dia menjadi lagi teruk dari Faiz bila putus kasih malah tidak berfikir secara matang sebagaimana kebiasaannya apabila memberi nasihat kepada orang lain tapi bagi dirinya sendiri dia bukanlah penasihat yang baik.
"Begini lebih baik dari asyik berbaring sepanjang masa," dia sedar Syazmee seolah-olah mengelak dari terus menemaninya. Kenapa lelaki ini kelihatan tidak selesa pada pandangan matanya.
"Awak dah lapar?" soal Syazmee kemudian, dia risau kerana Lidya tidak menjamah makanan sejak ditemui.
"Lapar... awak masak apa?" soal Lidya.
Lelaki itu tetap bersahaja mendengar suaranya bertanya.
"Ayam panggang!" seloroh Syazmee secara tiba-tiba tercetus ketawa yang panjang. Mahu membuat suasana ceria antara mereka. Kehalusan nada gelak Syazmee menusuk ke dalam hati Lidya. Malah dia cuba berbuat selamba seperti tidak tercuit sedikit pun dengan gurauan Syazmee itu. Masam wajahnya kerana berasa dipermainkan Syazmee sesaat tadi.
Suasana menjadi sunyi sepi. Mereka berdiam seketika. Inilah kali pertama Lidya mendengar gelak tawa Syazmee mengundang gendang dan paluan di jantungnya saat ini.
"Saya ambil makanan, ada umbut bayas dan ubi hutan sahaja. Semalam awak tak isi perut jadi saya tak berani nak bagi awak makan ubat. Lepas alas perut ni awak kena makan ubat!" tegas Syazmee memecahkan kebuntuan. Kemudian dia pantas berlalu keluar.
Lidya kembali menanti. Terpinga-pinga dengan ketegasan Syazmee itu. Benarlah banyak yang tidak diketahuinya mengenai Faiz. Sememangnya Faiz amat perahsia orangnya. Lidya menangis kesepian. Terasa sayu dalam hatinya kerana terpaksa berpisah dengan kekasih hati. Tetapi kini yang tinggal adalah hanya kekesalan.