KERANA pagi-pagi lagi Lidya sudah membangkitkan kemarahan Syazmee. Hairan! Kenapa Lidya tidak mahu mengaku isu tentang mahu mandi? Adakah seperti yang difikirkannya, mereka sedang diganggu atau semuanya itu cuma ilusi pemikirannya sahaja. Syazmee berpaling melihat ke khemah sambil merenung kembali apa yang terjadi sebentar tadi. Keinginan Lidya ingin mandi dan penafian Lidya tentang permintaannya untuk mandi, yang mana satu betul yang mana satu salah?
Sesaat ini Syazmee lantas teringat kepada sahabatnya Adi. Dia rindukan suasana persahabatan mereka, dia rindukan gelak tawa Adi dan tingkah Adi sebelum persahabatan mereka putus. Adakah kini Adi sedang memikirkan tentangnya sepertimana dirinya di sini? Lantas terbantut segala apa yang dirancangkannya untuk menyediakan peralatan keluar dari kawasan ini pada pagi ini.
Selepas bertengkar dengan Syazmee tentang isu mandi, kini Lidya berdiam seorang diri di dalam khemah. Dia tidak tahu apa yang sedang dilakukan Syazmee di luar khemah. Pelik tapi benar itu yang berlaku sebentar tadi, entah dari mana Syazmee mengusulkan isu yang difikirkannya tidak masuk akal itu.
Tidak langsung terfikir di benaknya untuk mandi. Mana mungkin dia mahu mandi, dia masih boleh berfikir waras dengan keadaan tubuh badannya yang masih belum sihat. Namun, segera Lidya mengingati kejadian pagi ini dengan rasa seram yang dialaminya, atau mungkinkah yang datang kembali tadi bukan Syazmee?
Lidya mengintip dari dalam khemah apa yang dibuat oleh Syazmee di luar sana, kelihatan Syazmee sedang merengus marah dengan perbuatannya sambil memungut buah-buah hutan yang tercampak tadi kerana membantunya yang hampir rebah ke bumi. Alhamdulillah, Lidya lega dengan apa yang dilihatnya dia yakin itu Syazmee. Pelik tapi benar perasaannya bercampur baur ketika ini.
Selain itu dia tidak menduga kerana tindakan melulunya dia kini boleh selamat dan bersama dengan seorang lelaki di dalam Hutan Dara Kukut, tetapi kisah hutan ini berlainan dengan situasi yang dialaminya, apakah cerita kisah cinta pasangan kekasih itu hanyalah dongengan semata? Paling digeruni adalah apabila memikirkan bagaimana untuk mereka keluar dari sini dalam keadaan selamat.
Sekeliling bukit bukau, yang tinggi menghijau memukau namun menyeramkan iaitu kawasannya yang gelap, tanpa cahaya matahari yang mencukupi kerana ditutupi rimbunan daun pokok-pokok penutup bumi. Keadaan tubuhnya masih belum sihat. Hatinya mula tidak ketentuan dan keliru, berpusing ke kanan kemudian ke kiri di pembaringan. Bingung memikirkan jalan untuk keluar dari sini kerana inilah natijah perbuatan bodohnya. Dia perlu mengharap kepada Syazmee.
Selepas memikirkan cerita Hutan Dara Kukut yang amat menyeramkan ini adalah satu perkara mustahil untuk mereka akan berjaya untuk keluar dari sini. Kerana bila ada saja cerita dari hutan kukut ini yang didengarinya selama ini tiada seorangpun yang mengesahkan kebenarannya dan segelintir mangsa tidak berjaya keluar dari sini dengan selamat, itu maklumat tersurat belum lagi maklumat tersirat yang tidak diketahui sesiapa.
Lidya cuba menenangkan perasaan mungkin ini hanya mainan mindanya. Namun dia semakin bimbang dan resah. Sesekali meremang bulu roma Lidya bila mengenangkan kisah hutan kukut penuh misteri ini.
Lidya semakin bertambah resah apabila mengenangkan keadaan ibu. Mampukah ibu menerima berita kehilangan atau lebih tragis lagi khabar kematiannya. Malah tentu kini spekulasi tentang cubaan membunuh diri yang dilakukannya. Akal ketika itu tidak dalam keadaan waras kerana mengikut rasa sakit hati dengan perbuatan Faiz.
"Ibu maafkan Lidya!" rintih Lidya.
Siang berlalu malam menjelma, disebabkan kedegilan Lidya jatuh sakit semula sebelah malamnya. Ini menangguhkan lagi rancangan Syazmee untuk keluar awal dari hutan atau kawasan ini.
Bukannya dia tidak sanggup memapah Lidya tetapi dia tidak tahu arah mana hendak di tuju jika mereka mula keluar dari sini. Cubaannya yang dulu gagal dan dia berharap tidak kali ini kerana dia tidak mahu ada sesuatu yang berlaku kepada Lidya ketika dalam perjalanan keluar nanti. Usahanya untuk membantu Lidya akan menjadi sia-sia sekiranya mereka tidak selamat.
"Ibu...ibu, maafkan Lidya. Lidya tidak mendengar cakap ibu!" Lidya mula meracau semula. Menggigil kesejukan, badannya panas sejuk.
Syazmee menjadi tidak ketentuan. Dia tidak tahu bagaimana lagi untuk membantu Lidya. Sudahnya dia membiarkan Lidya mengigau sahaja. Dia duduk di tepi Lidya untuk menjaga dan memeriksa suhu badan gadis itu sekiranya demam dapat diredakan.
Selama mereka berdua di sini cuma Syazmee yang tahu apa yang terjadi pada dirinya kerana hantu hutan telah menunjukkan kehebatan ketika mengganggunya. Lidya banyak tidak tahu cuma sesekali saja meremang bulu roma dan perasaan seram yang terjadi padanya.
Syazmee mahu terus merahsiakan kejadian yang dia alami sehinggalah mereka berdua dapat keluar dari hutan kukut ini dengan jayanya. Dia tahu tempat ini ada penunggu. Melalui nalurinya mereka tidaklah jauh dari kawasan luar. Cuma mungkin mereka belum mahu dilepaskan pergi.
Kerana sejak dari awal dia menyedari keadaan yang pelik, mereka seakan terkurung di kawasan ini dan dia mula memikirkan sesuatu. Lidya hanya mampu berteka teki kawasan ini adalah kawasan orang bunian, kawasan pemujaan sahaja tetapi dia tidak mengalami peristiwa yang Syazmee hadapai sepanjang berada dalam hutan misteri ini.
Mungkin juga kawasan orang bunian ataupun berpuaka. Seperti yang selalu di pesan oleh Abdul rakan setugas di dalam makmal, tidak disangka dia terperangkap jua akhirnya. Beginikah pengalaman orang sebelumnya, kerana tersesat dan kemudian ditemui dalam keadaan yang mengerikan.
Sebenarnya, Mus ada membisikkan sesuatu sebelum dia masuk ke hutan ini. Mayat yang ditemui sememangnya amat menakutkan sesiapa yang memandang. Entahlah. Apa sebenarnya cerita hutan kukut ini? Maklumat tersirat belum diketahui sepenuhnya.
"Awak kejam Faiz... Sanggup awak melukai hati saya!" spontan Lidya bangun dan duduk tegak. Syazmee terkejut melihat apa yang berlaku kepada Lidya. Lidya mengongoi menangis di dadanya. Suhu badan yang sejuk dapat dirasakan bahang panasnya. Dia menjadi kasihan melihat Lidya menangis tidak keruan.
"Sampai hati...apa salah saya pada awak, Faiz?" Lidya menangis tersedu-sedan tanpa sedar.
"Lidya... sudahlah tu... apa yang ditangisi lagi," Dia memujuk hati gadis yang tidak sedar itu, dengan mengucapkan kata selembut sutera seperti bukan dirinya yang kasar ketika berdepan dengan Lidya. Dia telah mula tewas dengan perasaan aneh dalam hatinya.
"Lidya... bangun!" dia cuba menyedarkan Lidya dengan menggoncangkan tubuh gadis itu. Tiada reaksi diterimanya. Dia membaringkan semula tubuh gadis lemah itu. Airmata Lidya terus mengalir meraih simpati di hati Syazmee. Dia menjadi simpati sebenarnya. Dan dia rasa bersalah sedikit kerana bertekak dengan Lidya tadi. Sepatutnya dia tidak mengikut rentak Lidya, dia patut bersabar dengan kerenah orang yang sakit, sememangnya memeritkan menjadi penjaga apa lagi jika terpaksa menjaga pesakit yang cerewet.
Dia mengusap airmata Lidya di pipi. Lidya mungkin jatuh sakit disebabkan penjagaan yang tidak sempurna. Atau juga mungkin kerana makanan hutan yang tidak sesuai untuk perut Lidya. Perut orang sakit dengan perut orang sihat adalah tidak sama.
Lagipun Lidya seperti anak emak sakit-sakit begini terus meracau nama emak dia. Sebenarnya Lidya dirasuk oleh hantu hutan untuk meracau dan melengahkan masa untuk Syazmee bawa Lidya keluar dari hutan ini.
Inilah perkara yang mahu dielakkan oleh Syazmee, kerana biasanya kalau sudah lama berada di hutan mangsa akan jadi mayat yang mengerikan. Itu pengalaman cerita orang yang pernah menyertai misi mencari orang hilang di hutan kukut ini.
Syazmee menambah kayu untuk unggun api. Cuba memanaskan suasana. Ini sahaja usaha yang ada. Jika Lidya belum juga pulih dari demamnya dia terpaksa memapah tidak pun memanggung Lidya keluar hutan esok. Dia takut demam Lidya melarat dalam keadaan lembab yang tidak membantu langsung.
Walau apapun yang terjadi dia mahu mereka telah berusaha keluar dari sini dan segala kemungkinan perlu diterima andai ajal mereka dalam perjalanan mencari arah jalan pulang.
![](https://img.wattpad.com/cover/77706053-288-k970447.jpg)