Bab 1

79 5 0
                                    

Pahit atau manis, memori yang terlakar tetap menjadi kenangan yang mengajar erti kehidupan.

Aku menangis teresak-esak. Bayangan wajah seorang wanita separuh dekad bermaharajalela di fikiran. Aku benci wanita itu kerana wanita itu adalah penyebab diriku terseksa. Orang mengatakan ibu adalah ratu hati, ibu adalah insan istimewa di sanubari. Tapi tidak pada aku. Ibu selalu memarahiku, sering memukul aku tanpa memikirkan perasaan diriku hatta secebis pun.

Kalaulah ayah masih hidup. Serta merta rindu kepada ayah mencengkam jiwa. Ayah sangat baik. Bahasa ayah sangat manis. Ayah sering menenangkan hatiku setiap kali dimarahi ibu. Ayah adalah satu-satunya kebahagiaan diriku.

"Anak..." Seorang wanita yang sangat tua tersenyum kepadaku. Sebelah tangannya memegang bahu aku erat. Entah bila nenek tua bongkok berada di situ.

"Nenek dari mana? Dengan siapa? Buat apa dalam hutan ni?" Aku bertanya bimbang. Risau juga kalau wanita berusia itu sesat tidak tahu jalan pulang ke rumah.

"Nenek tinggal tak jauh dari sini. Anak siapa nama?" Setahu aku di dalam hutan ini tiada rumah sesiapa. Mungkin nenek tinggal di kawasan rumah sederet berdekatan hutan. Kuat juga nenek berjalan sehingga jauh ke dalam hutan.

"Oh... Jauh nenek berjalan. Saya Liyana." Aku menyalami nenek. Memang dari kecil aku diasuh sebegitu, menghormati sesiapa sahaja terutama yang lebih tua.

"Cantiknya pelangi." Nenek menunjuk ke arah langit membuatkan aku tersenyum sambil mengangguk. Baru aku perasan akan kewujudan pelangi di langit. Hati yang berdukacita memang tidak sempat memikirkan apa pun.

"Dalam banyak-banyak warna pelangi, Liyana suka warna apa?" Nenek menyoal tiba-tiba tanpa memandang aku.

"Kuning." Aku suka kuning kerana ayahku menyukai warna itu.

"Yang paling tak suka?"

"Hitam." Aku benci gelap. Aku takut gelap. Aku sendiri tidak tahu kenapa.

"Warna pelangi ada warna yang Liyana suka dan tak suka kan?" Aku mengangguk.

"Samalah dengan hidup. Ada suka dan ada duka." Nenek tersenyum lagi. Sempat aku pandang rambut putih nenek sewaktu nenek sibuk memasukkan rambut yang terjulur keluar itu ke dalam tudungnya.

"Hidup macam pelangi. Kalau pelangi ada pelbagai warna, hidup ada pelbagai rasa. Kepelbagaian itulah sebenarnya mengindahkan hidup kita. Belajarlah bersyukur. Kadang-kadang kita rasa kita tak punya apa-apa tetapi hakikatnya kita tak pernah nampak keindahan itu."

Aku diam. Kata-kata nenek cuba aku hadam. Dalam hati memikirkan adakah nenek seorang ahli sastera kerana setiap perkataannya kedengaran manis di telingaku. Entah kenapa, ayat yang dituturkan nenek aku sematkan dalam kepala walhal aku sendiri tidak tahu maksud ayat itu. Dan entah kenapa aku boleh duduk bersahaja berbual dengan nenek tanpa rasa gentar walhal aku tidak pernah mengenali nenek.

"Nah, hadiah hari jadi nenek hadiahkan pada kamu." Nenek menghulurkan loket berwarna kuning keemasan kepada aku.

Aku terkejut dengan pemberian nenek. Lantas aku menggeleng lembut. Kalau orang yang aku kenal sekalipun yang menghulurkan aku sudah teragak-agak untuk menerima, inikan pula hadiah dari orang asing.

"Ambiklah." Apabila nenek melihat aku tegas menolak, nenek menarik tubuhku mendekat. Dia menyelak tudung yang aku pakai. Beberapa saat aku sudah merasakan loket itu tergantung pada leherku.

"Dengan loket ini, kamu boleh merentasi masa. Kamu boleh buat permintaan tujuh kali. Sebutkan ke mana sahaja atau tahun bila atau peristiwa apa yang kamu mahu pergi sambil memegang loket ini."

"Cuma jangan sesekali hilangkan atau cabut loket ini daripada leher kamu selagi tujuh permintaan tidak dibuat. Kerana sekali loket ini tercabut, satu persatu kebinasaan akan berlaku dalam hidup kamu." Nenek berkata-kata laju seperti peluru dan mujurlah aku sempat menangkap kata-kata itu walaupun maksudnya masih tidak mampu aku cerna. Usai tersenyum, nenek berjalan membelakangi aku menuju ke arah jalan kanan yang tiada apa-apa selain pokok-pokok dan sepatutnya di hujungnya jalan mati. Jalan mati kerana di hujungnya jalan itu tidak dapat dilalui akibat pohonan yang tinggi dan besar menghalang manusia untuk menembusinya. Aku tahu kerana hutan yang besar ini sudah puas aku teroka setiap kali hati aku berduka. Waktu berduka yang mana aku tidak kisah andai mati sekalipun kerana aku kira mati mampu menamatkan penderitaan aku. Namun bunuh diri tidak pernah tersenarai dalam to-do-list. Mujur sahaja aku tidak pernah berjumpa sebarang harimau atau mana-mana binatang buas.

Aku masih terpinga-pinga di situ sambil meraba loket di leher. Cuba menelan satu persatu perkataan nenek yang tidak berapa aku fahami. Hendak bertanya lalu aku berpaling ke arah nenek yang baru sahaja berjalan namun nenek sudah hilang dari pandangan. Aku agak terkejut kerana dengan usia nenek yang sebegitu nenek masih mampu berjalan selaju itu.

Aku bangun untuk mengejar nenek. Langkah kaki aku atur laju agar bisa bersaing dengan nenek. Alangkah terkejut apabila aku melihat nenek langsung tiada di mana-mana. Aku pasti nenek melalui jalan itu dan sepatutnya langkah nenek akan terhenti di situ. Jalan itu jalan mati. Jalan yang tidak dapat ditembusi manusia melainkan nenek bukan manusia. Bulu romaku menegak tiba-tiba. Aku berkira-kira untuk terus pulang. Langkahku diatur untuk keluar dari jalan itu sambil tangan gigih untuk membuka loket tersebut namun namaku tiba-tiba sahaja dipanggil dari belakang.

"Liyana." Alangkah terkejut melihat nenek bongkok itu sedang tersenyum dari belakang sambil memandang aku.

"Ne...nenek. Nenek datang dari mana?" Aku bertanya takut. Nada gentar memang terserlah dalam suaraku.

"Nenek ada di sebalik pokok tengok kamu. Cuma agaknya kamu tak perasan sebab warna baju nenek sama dengan batang pokok."

Aku cuma mengangguk mendengar jawapan nenek. Jawapan yang aku kira agak logik. Namun apa motif nenek bersembunyi di sebalik pokok.

"Ambiklah loket itu. Nenek ikhlas. Jagalah baik-baik. Nenek anggap itu pemberian nenek pada seorang cucu. Lagipun cucu nenek sudah tiada." Nenek bersuara sayu menyebabkan rasa kasihan mula menghuni hatiku. Tidak jadi untuk memulangkan semula loket itu.

"Terima kasih nenek. Saya balik dulu." Kelat wajah untuk aku tersenyum namun aku gagahkan jua. Langkah cepat aku atur untuk pulang. Aku tidak lagi menoleh ke belakang. Takut andai aku melihat sesuatu yang menakutkan. Lagipun hari sudah semakin gelap. Tidak lama lagi waktu maghrib, waktu banyak syaitan berkeliaran. Jalan juga pasti samar-samar. Waktu untuk aku keluar dari situ adalah dalam sejam setengah. Pukul lapan mungkin aku bakal sampai di rumah.

Loket EmasWhere stories live. Discover now