Bab 5

38 4 0
                                    

Kadangkala kain orang nampak lebih cantik berbanding kain sendiri.

Tidak sampai sepuluh minit Hani berlalu, aku dan Amri dikejutkan dengan satu bala yang bakal memusnahkan hidup kami. Cikgu Suriati sedang bercekak pinggang bersama bodyguard kesayangan di kiri dan kanan. Aisyah di kiri dan Badrul di kanan. Di hadapannya pula adalah Zakiah Badawi.

"Amri dan Liyana bersekedudukan di sini cikgu. Waktu saya mengintai mereka, saya nampak mereka bercium." Zakiah yang selalunya senyap kini nampak yakin berbicara. Sungguh aku tak sangka seorang yang pada luarannya pijak semut tak mati sanggup memfitnah kami. Aku mengagak Hani dipanggil tadi adalah sebenarnya satu rancangan untuk memerangkap kami berdua.

"Bohong..." Aku menjawab tetapi belum sempat menghabiskan ayat, Badrul memintas terlebih dahulu.

"Aku nampak kau orang berdua berpelukan. Aisyah pun nampak."

"Dia bohong. Cikgu, tadi Hani ada sekali dengan kami. Kemudian Zakiah datang dan beritahu kami yang cikgu panggil Hani." Bersungguh Amri menerangkan pada Cikgu Suriati sebelum sempat aku membuka mulut.

"Saya tak pernah panggil sesiapa. Saya di bilik guru dan tengah tanda kertas. Mana Hani?" Cikgu Suriati meliarkan pandangan di kiri dan kanan. Memang tiada siapa di blok itu. Hanya kami berdua.

"Badrul pergi cari Hani." Arahan Cikgu Suriati segera dituruti Badrul. Laju dia melangkah menuruni tangga dan tidak sampai lima minit Hani datang bersamanya. Wajah Hani yang putih kelihatan merah.

"Betul Hani kamu ada di sini tadi? Betul Zakiah panggil kamu mengatakan saya nak jumpa?" Cikgu Suriati menyoal kasar. Lantang suaranya. Sebaris blok di situ pasti berkumandang hanya suaranya. Tak perlu menggunakan microfon.

"Tidak. Saya di library mencari buku rujukan." Tenang Hani menjawab. Aku merasakan sebuah batu besar menghempapku. Terasa kelu lidah untuk bersuara. Kudrat aku untuk melawan ketika itu tiada. Tidak percaya sakitnya perasaan dikhianati. Tidak sangka Hani sanggup menipu.

"Cikgu, Hani tipu. Hani kenapa kau tipu? Cakap betul-betul. Siapa suruh buat macam ni? Kenapa kau tipu?" Amri memegang bahu Hani dan menggoncang kasar. Aku tahu Amri pasti merasakan lebih sakit daripada aku. Air mataku tiba-tiba mengalir, pantas aku seka lembut. Seboleh mungkin aku perlu menahan diriku daripada menangis. Aku bukan seorang yang lemah.

"Ikut saya." Cikgu Suriati menyuruh dan kami hanya mengikut. Kali ini bukan lagi di bilik guru. Kali ini kami di bilik pengetua. Cikgu Suriati bercakap sebentar dengan pengetua sebelum kami disuruh masuk.

"Badrul dan Aisyah boleh masuk kelas. Yang lain masuk ke dalam." Maka masuklah kami berempat ke bilik pengetua. Aku, Hani, Amri dan Zakiah. Semua hanya diam dan akur.

"Duduk dulu." Pengetua mengarah sambil menunjukkan kerusi di hadapannya. Kami duduk tanpa berkata atau memandang sesama sendiri.

"Liyana" Aku mendongak apabila namaku disebut. Memandang pengetua dengan sejuta rasa.

"Amri." Daripada pandangan sisi, aku nampak Amri turut mendongak memandang pengetua.

"Kesalahan kamu berdua bukan kesalahan kecil. Kamu berzina. Kamu memalukan sekolah. Lagi-lagi Amri, sebagai ketua pengawas kamu tak sepatutnya bersikap sebegini." Pengetua menghukum tanpa menyoal. Mempercayai terus kata-kata Cikgu Suriati.

"Kami tak buat. Kami tak berzina. Kami difitnah. Tolonglah faham. Selama ni saya tak pernah berduaan dengan Amri di tempat yang sunyi walaupun kami kawan baik." Aku cuba mempertahankan diri sendiri. Kenapa semua orang sentiasa bersikap berat sebelah. Kata-kataku tak pernah dipercayai.

"Tapi sekarang bukti tak berpihak pada awak. Awak kata Hani ada bersama tapi Hani kata dia di library. Zakiah nampak awak bercium. Badrul dan Aisyah nampak awak berdua berpelukan."

"Kenapa mesti percaya mereka? Badrul nak balas dendam pada Liyana sebab Liyana bertumbuk dengan dia hari tu. Lagipun selama ni dia memang suka cari pasal dengan saya dan Liyana. Aisyah pulak benci Liyana sebab dia suka Fattah tapi Fattah suka Liyana." Amri menerangkan satu persatu. Mungkin berharap pengetua faham. Aku pula mengangguk menandakan aku menyokong Amri. Hani dan Zakiah sejak tadi hanya menunduk. Tidak berani mengangkat muka.

"Zakiah tak ada motif untuk benci awak. Selama ni dia buat hal sendiri. Dan Hani kembar awak, buat apa dia nak mengkhianati awak." Aku memandang keduanya sekilas. Mereka masih tidak mengangkat muka. Cukup untuk membuktikan mereka berdua bukanlah orang yang benar.

Belum sempat aku menjawab, ketukan pintu bertalu dari luar menyebabkan pengetua terpaksa membuka pintu. Dan alangkah terkejut apabila aku melihat Cikgu Suriati datang bersama ibuku dan ibu Amri dan Hani.

"Kau bodoh. Aku suruh pergi sekolah belajar, bukannya menggatal." Tidak menyempat ibu memarahi sambil memukul aku. Sakit tak adalah sangat tetapi aku malu.

"Yana tak buat ibu. Yana tak buat." Menitis juga air mataku. Sedih kerana ibu sepatutnya mempercayai aku. Tetapi aku tahu ibu dari dulu tidak pernah percaya padaku, tidak pernah menyayangiku. Sekurang-kurangnya ibu perlu bersabar dan menunggu sehingga kami sampai di rumah.

"Kau tak mengaku. Dah sedap tak nak mengaku. Kau Amri nampak baik tapi jahanam. Kau kahwin dengan anak aku." Ibu menuding ke arah Amri. Mukanya semakin merah menahan marah. Tidak peduli pada ibu Amri yang turut melihat.

"Hoi Hamidah. Agaknya anak kau tu yang gatal menggoda anak aku. Aku tak nak menantu tak berjenis senang-senang serah body pada orang." Ibu Amri bersuara kuat. Tidak betah orang mengata anaknya. Dia sudah menyinsing lengan baju kurung, bersiap sedia untuk menumbuk. Pertama kali aku melihat sudut ganas Puan Samihah yang selama ini pada hematku seorang yang lemah lembut.

"Sabar semua. Macam ni. Puan Samihah dan Puan Hamidah. Soal nak kahwinkan anak atau tak tu bincang kat luar." Kenyataan dari pengetua membuatkan keduanya diam. Terus keduanya duduk di kerusi kosong. Mungkin sedang cuba bersabar dan menjadi profesional.

"Saya terpaksa tukarkan salah seorang dari kalian ke sekolah lain. Puan Hamidah dan Puan Samihah, siapa antara kalian sukarela nak pindahkan anak kamu?" Masing-masing saling memandang antara satu sama lain.

"Saya boleh pindah." Amri menjawab walaupun tahu soalan itu tidak dituju kepada dirinya. Aku tergamam mendengar jawapan itu. Tahu bahawa Amri pasti akan membuat keputusan untuk berkorban demi aku.

"Mana boleh. Kami bukan orang senang. Sekolah ni paling dekat. Kalau pindah sekolah yang jauh, kena belanja tambang lagi." Puan Samihah menampar lengan Amri tanda dia tidak bersetuju. Aku sendiri buntu tidak tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalah.

Ibu mengeluh kuat. Cukup untuk membuatkan aku rasa bersalah walaupun aku tidak salah sama sekali. Ini semua salah Badrul dan Aisyah. Dan juga Cikgu Suriati. Pasti ini sebahagian dari rancangan mereka. Zakiah mungkin diugut kerana setahu aku dia bukan jenis peduli tentang hal orang lain. Hani juga berkemungkinan diugut, aku kenal Hani. Dia tidak mungkin tergamak menganiaya aku dan Amri, kembarnya sendiri.

"Macam inilah. Biar aku hantar Liyana duduk dengan nenek dia di Kelantan. Biar dia sekolah di sana. Memang dah lama niat nak hantar dia di sana, ingatkan lepas habis belajar. Dah jadi macam ni, baik aku hantar dia ke sana terus." Ibu membuat keputusan dengan tenang. Sejak bila aku ada nenek. Nenek sebelah ibu dan ayah sudah meninggal lama dulu, sejak aku kecil. Persoalan itu aku biarkan tergantung. Tunggulah sehingga sesi perbincangan tamat.

Loket EmasWhere stories live. Discover now