Bab 8

39 3 0
                                    

Kebenaran yang menyakitkan dan penipuan yang menyeksakan, dua yang berbeza tetapi pahitnya masih sama.

Hentakan gelas berisi jus epal di meja mengejutkan aku. Serta merta lenyap segala memori yang sedang aku lamuni seketika tadi. Peristiwa pertolongan loket emas itu sudah beberapa tahun berlalu. Itulah ulung kalinya aku menggunakan loket itu. Kadangkala aku terbayang bagaimana agaknya jalan hidup yang aku lalui seandainya aku tidak mengharapkan pertolongan loket ini. Sehingga sekarang loket emas ini masih utuh di leherku. Dan aku sekarang sudah pun bergelar seorang jurutera. Bangga kerana senakal aku sewaktu persekolahan tetap menjadikan aku seorang yang berjaya pada hari ini. Walaupun sekadar seorang jurutera kilang, aku tetap merasa bangga.

"Mohamad Minhat." Aku menyeru gerangan di hadapanku yang kelihatan termenung. Entah apa yang difikirkannya sampai buah hati di depan mata dilupakan.

"Sorry sayang. I sakit kepala fikirkan hal syarikat." Oh, ya! Mohamad Minhat sudah berhenti daripada menjadi pensyarah dan dia mengambil alih syarikat ayahnya yang dulu dipegang bapa saudara lelaki itu. Mohamad Minhat memicit kepalanya. Melihat keadaan itu aku mula kasihan. Mohamad Minhat aku pandang sayu. Wajahnya sudah berkedut sedikit dan rambutnya kelihatan botak dan beruban. Kuasa cinta, aku masih menerima lelaki empat puluhan itu.

"You baliklah berehat." Aku mengarah. Tidak sanggup berhadapan dengan hanya jasad di hadapanku. Hati dan fikiran lelaki itu sudah melayang entah ke mana. Hendak bertanya punca keserabutan lelaki itu, aku malas. Buang karan, buang masa, buang air liur. Mohamad Minhat bukan orang yang senang untuk bercerita tentang masalah dirinya. Dia terlalu berahsia sehingga kadangkala aku sendiri merasakan aku tidak betul-betul kenal lelaki itu walhal kami berkawan sudah sembilan tahun. Bukan waktu yang singkat.

"Okay." Mohamad Minhat bangun dan aku turut bangun mengekori setiap langkahnya. Dari cara dia berjalan menunjukkan jelas kelihatan betapa tidak bermaya dirinya. Dalam hati aku sedikit terkesan dengan riak itu. Seolah aku langsung tidak penting padanya. Bimbang juga andai Mohamad Minhat sebenarnya punya kekasih lain dalam diam.

Entah kenapa hubungan kami sejak akhir-akhir ini dirasakan hambar. Dulu Mohamad Minhat memberikan sepenuh perhatiannya kepadaku, sebelum kami declare. Sesudah dapat, endah tidak endah sahaja dia melakukan aku. Tapi kerana cinta aku perlu bertahan. Impian aku sebelum kami bercinta adalah ingin berkahwin dengan Mohamad Minhat. Biar ditentang ibu sekalipun.

Cinta kami mula berputik di warung Hassan sewaktu aku tingkatan empat. Dia yang mula mengorat. Aku awalnya malas melayan tapi lama-lama terpaut dengan ayat manis lelaki itu. Dulu kami hanya berkawan walau terang-terang hati aku dicurinya. Kami bercinta pun baru setahun.

Aku menghantar Mohamad Minhat sehingga ke kereta sebelum menuju ke keretaku. Mohamad Minhat hanya tersenyum hambar sebelum keretanya meluncur laju di jalan raya yang agak lengang. Memang kami datang ke restoren ini secara asing-asing. Bimbang diketahui ibuku, tentu mengamuk orang tua itu.

"Adik." Aku berpaling ke arah gerangan yang menyapa. Seorang pak cik berkopiah menghulurkan aku telefon bimbit. "Adik tertinggal di meja tadi." Aku memandang sebelum mengambil dan mengucapkan terima kasih. Sudah 2023, dalam keadaan ekonomi yang semakin meleset. Manusia bertungkus lumus untuk senang biar menggunakan shortcut sekalipun. Di sini masih ada orang yang jujur dan berhati mulia. Alhamdulillah. Orang berkopiah memang bagus, baik dan jujur. Selalunya memang dipujiku. Kecuali satu, orang berkopiah yang memandu di jalan adalah satu kecelakaan. Terutama bila aku ada urgent matter atau pundi tidak tertahan untuk mengeluarkan isi.

"Alamak, handphone Mohamad Minhat." Terlupa sebentar perihal telefon yang aku pegang. Hendak tak hendak aku perlu ke rumah lelaki itu sebelum Mohamad Minhat pulang ke Kuala Lumpur semula.

Aku memandu laju ke rumah Mohamad Minhat. Telefon bimbit yang berdering membuatkan aku terpaksa memberhentikan kereta di bahu jalan. Risau kalau panggilan itu penting, aku mengangkat.

"Hello Mohamad Minhat." Mendengar suara itu perasaanku bercampur. Aku cukup kenal suara itu. Suara ibu. Bagaimana ibu boleh ada nombor Mohamad Minhat.

"Kau berapa kali aku pesan jangan kacau anak aku. Kau tak reti ke? Kau tak ingat kau cuba buat apa pada Liyana waktu dia kecik dulu? Berapa kali aku nak ingatkan. Tolong jangan kacau dia. Cukuplah apa yang kau dengan Amaludin cuba buat pada dia dulu. Kau jangan sampai aku bunuh kau sama macam aku bunuh Amaludin." Terlepas telefon dari peganganku. Kata-kata ibu berlegar di fikiran. Ibu bunuh ayah? Kenapa? Apa yang ayah dan Mohamad Minhat sudah lakukan.

Terus tidak jadi ke rumah Mohamad Minhat. Fikiranku pusing. Tidak pasti mahu mempercayai apa yang aku dengar. Aku terus memandu ke rumah. Sampai sahaja di rumah aku memanggil ibu. Ingin bertanya kenyataan yang aku dengar sebentar tadi.

"Ibu, ayah bukan mati sebab kemalangan?" Aku menyoal ibu yang sedang leka membelek surat khabar. Jelas ibu terkejut dengan pertanyaan aku.

Muka ibu sudah berubah. Dia nampak marah dengan soalan aku. Ibu menjeling aku tajam. "Mohamad Minhat bagitahu kau?"

Aku menggeleng. "Tadi masa ibu call, Yana yang angkat." Sedaya upaya aku cuba menahan perasaan dan seboleh mungkin cuba berlagak tenang. Kebenaran perlu aku ketahui sebelum aku mempercayai sebulat pembentung.

"Kau tak payah masuk campur." Daripada nada ibu, aku tahu dia sudah meletakkan titik pada ayatnya. Tetapi aku tidak peduli. Noktah ibu tidak bermakna buat aku pada saat ini. Aku tidak mahu terus bodoh mempercayai setiap kata-kata ibu. Akur bermakna aku akan tersungkur.

"Yana berhak tahu. Ayah adalah seorang bapa yang sangat Yana sayang lebih dari sayang Yana pada ibu. Walaupun orang benci Yana sebab ayah, sayang Yana pada ayah tetap tak pernah hilang." Aku mengutarakan setiap patah dengan penuh perasaan jujur. Walaupun selebihnya perasaan marah menguasai diri.

Ibu menghela nafas dan mengeluh panjang. Matanya dikatup seketika untuk beberapa saat. Mungkin dia cuba menyabarkan diri untuk tidak memukul aku. Ibu sudah lama tidak melepaskan amarah pada tubuh badanku. Selepas aku tamat persekolahan, aku hanya akan dimarahi dan tidak lagi dipukul apabila ada yang tidak kena di mata ibu.

"Aku cuma nak mengugut Mohamad Minhat. Aku tak suka kau berkawan dengan dia." Entah kenapa jawapan itu walaupun ada sedikit ragu mampu membuat aku menarik nafas lega. Punya seorang ayah yang dilabel sebagai pembunuh sudah cukup menyedihkan.

"Mohamad Minhat buat apa pada Yana masa Yana kecik? Setahu Yana masa kecik dulu Yana tak pernah kenal dia." Memang Mohamad Minhat jarang balik ke kampung ini kerana lelaki itu bersekolah di Kuala Lumpur. Selepas habis sekolah, dia menyambung pelajaran di universiti luar negara.

"Tanyalah dia. Awal lagi aku dah pesan jangan berkawan dengan orang macam Mohamad Minhat. Dia mengurat kau adalah agenda dia. Kau tak kenal dia. Dia licik." Sesudah habis bercakap, ibu tangkas berjalan masuk ke biliknya dan pintu dikunci rapat. Aku tidak sempat bertanya banyak. Dan aku tahu itulah tujuan ibu, supaya aku berhenti bertanya padanya. Entah mengapa, aku merasakan ibu sedang cuba menyembunyikan sesuatu dariku. Sesuatu yang sepatutnya aku tahu lama dahulu. Aku harus menemui Mohamad Minhat. Mesti.

Loket EmasWhere stories live. Discover now