Bab 3

43 4 0
                                    

Sejernih-jernih air kosong, jangan disangka tiada mikroorganisma.

"Bukk..." Bunyi tumbukan menyebabkan suasana yang bising tiba-tiba menjadi sunyi. Lelaki yang ditumbuk itu memegang pipinya. Hidung lelaki itu kelihatan berdarah. Baju sekolah berwarna putih sudah dihiasi tompok-tompok merah akibat darah yang menitis keluar dari hidungnya.

"Nurul Liyana Amaludin!" Seorang guru menempik kuat ke arahku. Itulah ibu kepada lelaki yang sudah terduduk betul-betul di hadapanku.

"Pang..." Satu tamparan dihadiahkan daripada guru itu. Terasa pijar di pipiku namun aku masih buat muka toya. Aku tahu salah aku kerana menumbuk lelaki itu. Tetapi salah laku lelaki itu sebenarnya lebih besar daripada kesalahanku. Lelaki sebodoh itu memang seharusnya diajar.

"Liyana, Badrul, Hani, Aisyah. Masuk bilik saya sekarang." Cikgu Suriati mengarahkan keempat kami untuk mengikutnya. Aku hanya melangkah tiada perasaan. Apa nak jadi biarkan jadi. Aku langsung tidak menyesal dengan perbuatan aku. Ya, aku puas.

Di bilik guru, mencerlung Cikgu Suriati memandang aku. Aku tahu aku memang sejak dulu tidak disukai para guru kerana aku dikatakan anak seorang pembunuh.

"Hani, apa nak jadi dengan kau? Kalau nak jadi gangster tak payah masuk sekolah. Pergi bandar join ahli kongsi gelap." Kata Cikgu Suriati separuh menempik. Rata-rata guru sudah memasang mata dan telinga ke arah kami. Masing-masing tidak berani menyampuk kerana mereka cukup kenal siapa Suriati.

Aku tersenyum sinis sambil masih lagi menunduk memandang lantai. Tiada niat untuk bersikap kurang ajar tetapi kata-kata guru di hadapanku kedengaran lucu.

"Kau senyum kenapa?" Suara Cikgu Suriati sudah naik seoktaf.

"Cikgu tak nak tanya kenapa kami bertumbuk? Kenapa cikgu terus salahkan saya sedangkan cikgu belum tahu siapa yang salah? Sebab Badrul anak cikgu?" Dengan berani aku bertanya. Ya, aku memang berani. Mungkin kerana itu Cikgu Suriati semakin tidak sukakan aku. Aku berani kerana tahu aku tidak salah.

Cikgu Suriati diam beberapa detik. Dahinya berkerut, mungkin mencari jawapan yang sesuai untuk soalan aku. "Persoalannya bukan siapa yang salah tapi menumbuk orang adalah kesalahan di sekolah." Cikgu Suriati menjawab ragu-ragu.

Aku tersenyum sebelum menjawab. "Kalau kesalahan saya sebab tumbuk anak cikgu, kenapa cikgu marah saya seorang? Anak cikgu pun tumbuk saya. Lagilah salah sebab dia tumbuk seorang perempuan." Aku menunjukkan hidungku yang masih basah dengan darah dan tudungku yang memerah mungkin kerana darah di kepala sedang mengalir. Sepatutnya pelajar yang cedera kenalah bawa ke bilik sakit dahulu untuk dirawat. Ini tidak menyempat hendak menyoal siasat.

Cikgu Suriati diam. Badrul di sisinya cuma menunduk. Aku menggeleng perlahan. Ibunya terlalu memanjakan sehingga anak sentiasa merasakan dirinya betul.

"Cikgu. Ini semua salah saya. Badrul cuba nak perkosa saya. Dia raba saya. Yana cuma nak selamatkan saya." Hani menyampuk secara tiba-tiba membuatkan muka Cikgu Suriati berubah. Ditenung anaknya sekilas. Guru di bilik itu sudah saling memandang dan berbisik antara satu sama lain.

"Aisyah, betul ni?" Cikgu Suriati menyoal tidak percaya. Aisyah menggeleng. Aku kenal Aisyah. Aisyah itu memang sekepala dengan Badrul dan Cikgu Suriati. Memang dari awal dia memihak kepada Badrul, sayang sungguh kepada sepupunya itu. Atau lebih tepat benci sungguh dirinya pada Liyana.

"Kesalahan kamu satu, bertumbuk. Dua, menipu. Kamu berdua terpaksa diletakkan dalam kelas khas." Cikgu Suriati lebih mempercayai Aisyah. Aku tahu sebenarnya Cikgu Suriati cuba menutup kesalahan anaknya. Tenang Cikgu Suriati membuat keputusan seolah-olah dia pengetua di situ. Hendak buat macam mana, pengetua itu ada skandal dengannya. Terpaksalah aku menerima keputusan yang sungguh berat sebelah itu.

"Bamm..." Bunyi hentakan kuat pada meja kayu di hadapan kelas mengejutkan lamunan aku. Ketua kelas sedang tersengih gembira sambil membelek buku dalam dua dozen di sisinya. Hilang segala lamunan tentang Badrul dan ibunya.

"Ini buku bahasa melayu. Ambik, buat pembetulan." Ketua kelas tersenyum lagi. Wajahnya nampak ceria. Entah apa yang menggembirakan dia.

"Cikgu Hasnah tak masuk kelas harini. Dia ada mesyuarat. Cikgu pesan buat kerja sendiri." Kata-kata ketua kelas disudahi dengan sorakan oleh pelajar 5 Zaitun. Kegembiraan pelajar adalah bila cikgu tidak masuk ke kelas kerana itulah kemerdekaan sementara buat mereka. Kerana kebanyakan pelajar datang ke sekolah hanya untuk bermain dan bersukaria bersama teman-teman. Jauh terpesong dari tujuan asal iaitu untuk menimba ilmu.

Hani dan aku langsung tidak ikut bersorak. Kami tidak gembira kerana masa terluang pasti digunakan para pelajar untuk menyakat kami berdua. Itulah nasib kami sebagai hanya bunga yang ada di kelas ini.

"Hai Hani." Tidak perlu menunggu, seorang lelaki bermata sepet mengambil kerusi dan diletakkan di sebelah Hani. Matanya tajam merenung Hani yang buat tidak tahu.

"Sombong Hani ni." Seorang lelaki berbadan gempal pula datang sambil memegang kerusi bersamanya. Hani memang sejak dulu diminati ramai kerana wajahnya yang ayu. Hani masih buat bodoh sambil matanya meneliti buku di hadapan. Entah apa yang dibaca gadis itu.

Aku terkejut apabila seorang lelaki dengan tiba-tiba datang mencurahkan air ke atas mejaku. Muka aku sudah mula merah menahan rasa marah. Bodoh. Bangang. Bahalol. Perkataan kesat hanya mampu disuarakan dalam hatiku. Serta merta aku bangun bagi mengelakkan daripada pakaianku basah. Aku harus bersabar. Aku tidak boleh bergaduh lagi. Bergaduh di sekolah bererti aku bakal dipukul di rumah. Sejujurnya aku tidak kisah dipukul kerana bagi aku kesakitan fizikal sudah biasa bagi aku. Cuma aku tidak mahu menyimpan perasaan marah pada ibu, apabila aku marah aku jadi sedih. Kerana itulah kalau boleh aku cuba mengelak dari bergaduh dengan ibu.

"Hani, jom keluar." Tanpa mendapatkan jawapan Hani, aku menarik tangan gadis itu dan melangkah keluar dari kelas. Pandangan tajam lelaki-lelaki di kelas itu langsung tidak menggerunkan aku.

Langkah kaki kami atur ke atas bukit. Tempat di mana kelas dikosongkan. Bangunan sederet itu sudah lama dikosongkan tetapi masih tiada tanda-tanda untuk dirobohkan. Katanya ada unsur mistik berkenaan tempat itu. Entahlah. Aku tidak kisah. Yang penting adalah tempat untuk kami melepak dan melarikan diri daripada makhluk gila di kelas.

Teringat cerita sebulan lalu membuatkan hatiku jadi sakit. Di rumah, aku makan hati dengan sikap tidak adil ibu. Di sekolah, aku bengang dengan ketidakadilan guru.

Loket EmasWhere stories live. Discover now