Bab 1

2.8K 46 0
                                    

HANI termenung di tangga rumah yang berkunci. Inilah akibatnya pulang ke kampung secara tiba-tiba tanpa memberitahu terlebih dahulu. Dia lupa yang mak dan ayahnya memang jarang lekat di rumah.

Kalau tak di kebun, mesti ke pekan. Kalau tidak ke dua tempat itu, mesti ke rumah jiran yang ada kenduri kendara.

Tiba-tiba matanya terarah ke laman rumah penghulu Haji Kassim yang letaknya selang tiga rumah dari situ. Kelihatan ada ramai orang berkumpul di sana. Ada kenduri atau kematian? Kalau kematian, siapa yang meninggal? Penghulu Haji Kassim atau Mak Cik Habibah?

Tak mungkin kut, sebab mak tak cakap apa-apa pun. Tapi... kalau kenduri, siapa yang kahwin? Hazril?

Menyebut nama itu, hatinya tiba-tiba jadi berdebar. Tak mungkin Hazril sebab setahu dia, lelaki itu masih di luar negara.

Tapi kalau bukan Hazril, siapa lagi? Penghulu Haji Kassim hanya ada dua orang anak, Hazril Redza dan kakaknya, Sofea Nabila.

Tapi, Kak Sofea memang sudah berkahwin. Yang tinggal hanyalah anak bujang Haji Kassim, si Hazril itu.

"Kak!"

"Mak kau tergolek!" Hani terlompat sambil melatah disergah dari belakang oleh Azrul, adiknya.

"Kurang asam betullah kau ni. Suka buat orang terperanjat." Tangannya cepat saja memukul bahu Azrul yang sudah terkekek ketawa.

"Dah lama akak sampai? Mak tak cakap pun akak nak balik."

"Mak dengan ayah mana?" Hani menyoal balik tanpa menjawab soalan basa basi adiknya.

"Tuuu..." panjang muncung Azrul menunjuk ke arah rumah penghulu Haji Kassim sambil membuka mangga di pintu.

"Ada apa tu? Orang meninggal ke?" Lancang mulut Hani menyoal.

"Isk! Akak ni. Akak tak tahu ke Abang Hazril dah balik dari US? Kenduri sambut dia la tu."

Langkah Hani terus terhenti mendengar penjelasan Azrul. Hazril dah balik? Kenapa tiba-tiba? Rasanya baru saja dia mendengar Mak Cik Bibah mengadu yang anak bujang kesayangannya itu tidak mahu balik-balik ke Malaysia kerana seronok tinggal dan bekerja di negara orang selepas habis belajar.

"Akak pergilah cari mak kat sana. Boleh jumpa boyfriend lama akak tu sekali."

"Eh, mulutttt! Kalau belum beli insuran, baik jangan cakap yang bukan-bukan ya!" Amaran keras terus Hani berikan pada Azrul. Matanya mencerlung memandang adiknya itu yang sudah pun mendahului langkah masuk ke rumah.

"Alaaa... semua orang tahulah kak. Satu sekolah cerita yang akak suka Abang Hazril. Satu sekolah tahu akak simpan gambar Abang Hazril dalam buku latihan dan Abang Hazril..."

"Sudahhh!" Jerkahan kuat Hani terus menghentikan bicara Azrul. Pantas dia berpaling memandang kakaknya.

Pertama kali dia mendengar kakaknya yang sentiasa berlembut itu meninggikan suara membuatkan dia tergamam tidak percaya. Takkanlah kerana usikan itu, kakak kesayangannya boleh marah sampai begitu sekali?

Hani gamam. Hilang kata untuk bersuara. Dia sendiri tidak tahu kenapa anginnya tiba-tiba naik mendadak seperti di pam tatkala kisah lama itu disebut-sebut. Mungkin juga dia tidak menyangka adiknya itu tahu tentang kisah tersebut kerana selama ini, cerita itu tidak pernah sekali pun keluar dari mulut Azrul. Pantas, kenangan lalu yang memalukan itu datang menerjah minda.

YANG BERNAMA CINTAWhere stories live. Discover now