AZRUL yang memerhati kakaknya terkaku lama di tengah ruangtamu rumah makin jadi pelik.
"Akak marah ke?" Soalan Azrul mencantas lamunan Hani.
"Mmm... aarr... Hajar tak balik ke?" Hani mengubah topik. Tergagap-gagap dia membetulkan suara. Hajar yang dimaksudkan itu ialah adiknya yang seorang lagi selain Azrul.
"Dah lama tak balik kak." Ada nada kecewa dari suara Azrul tetapi Hani diamkan saja.
Mereka hanya bertiga beradik. Hajar itu adik di bawahnya dan Azrul paling bongsu. Seingat Hani, sejak berkahwin setahun yang lepas dan tinggal bersama suaminya di Cherating, hanya sekali Hajar pulang. Itu pun sendirian tanpa suami. Walhal Cherating ke Kuantan tu bukan jauh sangat pun. Ada masalahkah adiknya itu?
Inilah yang paling dibimbangkan. Hajar itu memang sangat degil dan keras hati. Bila dilarang agar jangan berkahwin sebelum menamatkan pengajian, diugutnya emak dan ayah. Katanya akan berkahwin lari kalau mereka semua membantah. Bila diberi kebenaran, alih-alih terus berhenti belajar sekerat jalan.
"Kak! Nak pergi tak?" Soalan Azrul menamatkan cerita Hajar di minda Hani.
"Pergi mana?"
Azrul tidak menjawab sebaliknya hanya memuncungkan mulut ke arah rumah penghulu Haji Kassim.
Menjawab soalan Azrul, Hani hanya menggeleng kepala. Sejak peristiwa dimalukan di sekolah dulu, perkara pertama yang akan dia lakukan ialah mengelak dari bersua muka dengan lelaki bernama Hazril itu.
Azrul angkat bahu dan Hani pula meneruskan langkah melalui ruang dapur untuk naik ke bilik. Rumah kampung, bilik dan ruang tamu di bina lebih tinggi dari ruang dapur dan perlu memanjat beberapa anak tangga yang menghubungkan antara ruang-ruang tersebut.
Setelah meletakkan beg ke atas katil, Hani pantas menukar baju dan bergegas turun. Setiap kali pulang ke kampung, orang yang akan dicari selain emak dan ayah ialah Liza, teman rapat yang sejak kecil bermain pondok-pondok bersama. Sejak kecil sehinggalah dewasa, Liza satu-satunya teman sehidup semati yang sentiasa ada di kala susah dan senangnya.
"Kamu dengan si Liza tu dan macam kembar tak seiras lain mak lain bapak." Itulah yang sering diulang emak bila setiap hari dia hanya akan melekat di rumah Liza. Rumah keluarga Liza pun dah serupa macam rumah sendiri.
Setelah bekerja di Kuala Lumpur manakala Liza pula berkahwin dan menetap di kampung tersebut, di rumah Liza juga dia akan melekat sepanjang hari bila sesekali pulang.
Jarak rumahnya ke rumah Liza tidaklah jauh sangat, hanya berbeza lorong saja. Malas memandu kereta kerana lorong ke rumah Liza agak sempit, Hani rembat motor Azrul. Selalu kalau pulang ke kampung, dia lebih suka bawa motor sambil menghirup udara yang segar dan nyaman.
"Hafezzzzz!!!" Suara nyaring Liza menjerit nama anaknya sudah kedengaran sebaik Hani memarkir motor di laman.
Hani tarik-tarik cuping telinganya. Sejak anak dara sehinggalah sudah menjadi mak budak, suara Liza tetap sama, nyaring dan menyengat. Kalau menjerit, anak telinga boleh berjoget-joget. Itu belum lagi dengar dia membebel atau bergaduh. Ish! Tak sanggup nak cerita. Kalau tengah marah, macam-macam perkataan akan keluar dari mulut laser itu.
"Assalamualaikum...."
Hanya seketika menunggu, wajah Liza sudah terpacul di muka pintu.
"Weh! Bila kau balik?"
"Dua hari lepas." Hani menyengih, sengaja main-main.
"Siotlah kau. Dah dua hari balik baru nak cari aku."
YOU ARE READING
YANG BERNAMA CINTA
Romance"Aku cuma nak kau tahu. Aku memang sayang kau..." Hazril Redza "Simpan saja sayang kau tu dalam laci dan pastikan laci yang berkunci sebab aku tak berminat untuk melihatnya." - Hani Suraya Kisah lalu yang menyakitkan, sudah lama Hani bungkus kemas...