Bab 3

2.7K 48 0
                                    


PULANG dari rumah Liza, Hani lihat emaknya sudahpun berada di rumah, sedang duduk-duduk di sofa ruang rehat keluarga. Pastinya Azrul yang pergi menyampaikan berita pada emak tentang kepulangannya dan tentu emak sedang menantinya.

"Kenapa tak balik nak cakap?"

"Eh, silap! Kenapa tak cakap nak balik?" Puan Faridah seakan melatah sambil menyambut salam anak daranya yang seorang itu.

Hani ketawa. Azrul yang ada di sebelah emaknya juga turut ketawa.

"Orang balik sekejap je, mak. Esok dah balik KL semula."

"Laaaaa....buat penat memandu je."

"Cuti hari minggu je, mak." Hani berbohong. Punggung dilabuhkan ke sofa berdepan dengan emaknya.

Sebenarnya, dia memang cuti panjang untuk menghabiskan baki cuti tahunan yang akan expired bulan depan. Tetapi, berita kepulangan lelaki itu telah membuatkan dia terpaksa mengubah perancangan asal.

Mulanya, dia memang berniat untuk menghabiskan waktu cuti di kampung bersama keluarga. Namun, ketika di rumah Liza tadi, dia telah membuat keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur secepat mungkin. Paling lewat pun, esok pagi dia harus bergerak keluar.

"Elok juga kamu balik. Mak ada benda sikit nak bincang dengan kamu," ujar Puan Faridah.

Hani pandang wajah tua emaknya. Dia faham benar, kalau emaknya sudah mengeluarkan kata-kata begitu dengan nada yang serius, adalah sesuatu yang penting hendak disuarakan.

"Bincang apa mak?"

"Kawan mak, merisik kamu untuk jadikan menantu."

Hani kerut kening. Ini bukan kali pertama malah sudah acap kali dan sudah banyak kali juga dia menolak. Dia tidak tahu kenapa tetapi hatinya belum terbuka untuk berumah tangga. Waktu adiknya berkahwin dulu, ramai juga orang kampung mengata dia anak dara tak laku, sebab itulah adiknya langkah bendul.

"Macam mana?" Puan Faridah mendesak apabila melihat anak pertamanya itu hanya diam tanpa sepatah kata.

"Kawan mak yang mana satu ni? Kalau sekampung orang tak nak." Cepat saja Hani membuat keputusan.

Kalau lelaki Kampung Pasir itu kebanyakannya memang dia kenal dan boleh dikatakan kesemuanya dia tidak berkenan. Siapa yang mahu kalau kerja mereka hanya melepak dan mengusik anak dara orang?

Selebihnya, menghabiskan harta mak bapak yang tak seberapa. Kalau ada pun yang merantau dan bekerja di ibu kota, semuanya menyombong dan berlagak. Macam bagus sangat!

"Apa salahnya kalau sekampung. Senang sikit kalau raya tak payah nak susah-susah buat giliran."

"Ish! Mak ni, itu yang dia fikirkan. Raya lambat lagilah mak."

"Eh! Lambat atau cepat, kena tempuh juga kan."

"Ish! Tak maulah mak. Nanti kalau gaduh, orang lari balik sini, sekejap aje dia dah sampai nak jemput orang bawa balik."

"Laaa... ke situ pulak. Jadinya kamu ni kalau kahwin memang dah niat nak bergaduhlah, ya?" bidas Puan Faridah. Matanya membulat memandang Hani.

"Takdelah macam tu. Mak pun tahu anak mak ni manja dan kuat merajuk. Takut nanti kalau ada apa-apa yang tak kena, orang lari balik rumah mak aje." Hani menyengih. Logik ke alasan dia tu?

YANG BERNAMA CINTAWhere stories live. Discover now