"Meminang Una?" Ternganga mulut Husna! Terkocoh-kocoh dia pulang dari U.K. bila mendapat panggilan telefon dari umminya. Ada hal keluarga, penting, balik secepat mungkin kata Ummi. Berteka-teki Husna sepanjang penerbangan, apa hal urusan keluarga yang disebut umminya itu? Hairan benar bila dia disuruh pulang segera. Rupanya, hanya kerana ada yang datang meminangnya.
Walhal Ummi dan Babah sudah berbulan tahu tentang rancangannya nak mengembara ke Scandinavia dengan geng selepas peperiksaan akhir. Habis burn begitu saja tiket keretapi keliling Scandinavia yang dibelinya. Habislah peluang dia nak menjejak kaki ke bumi Scandinavia. Dah balik ke Malaysia, tentu nak mula bekerja, entah bila zamanlah dia akan berpeluang ke Scandinavia.
"Sabar sajalah," Husna memujuk diri. Nak mengeluh depan Ummi, jauh sekalilah. Tak baik buat Ummi kecil hati.
"Tapi Mi, kenapa Una kena pulang cepat-cepat ni? Tak boleh ke tunggu? Bagi tau je kat Una lepas kami balik dari Scandinavia. Sebulan saja kami nak ke sana." Husna melembutkan suaranya, tak mahu menyinggung perasaan umminya.
"Sebelah sana kalau boleh nak cepat. Kalau boleh mereka nak bulan depan." terang ibunya, Hajjah Rahmah.
"Bertunang bulan depan?" soal Husna. Eeee.... kenapa cepat sangat? Hairanlah! Kenal pun tidak, terus nak bertunang? Bujang terover terlajak sangatkah? Eh! Kalau tua bangka tak naklah. Berkerut mukanya sambil menghirup teh yang dihidangkan Mak Dah, pembantu rumah mereka.
"Bukan bertunang, bernikah!" jelas Hajjah Rahmah.
Tersembur teh yang baru saja dihirupnya tadi. Kakaknya, Nawrah Hanna, mengekek-ngekek ketawa. Husna cepat-cepat mencapai tisu dari atas meja dan mengelap bibirnya.
"Nikah bulan depan? Biar betul Ummi?" Terkejut Husna dibuatnya. Hai, ada lagi ke orang yang bernikah tanpa berjumpa dengan bakal suami atau isteri. Tak dibuat orang dah zaman sekarang ini. Aku nak nikah bulan depan? Surreal sungguh! Cawan teh yang dipegangnya, diletakkan cepat-cepat ke atas meja, takut terlepas. Wajah ibunya yang nampak bersungguh menambahkan perasaan gubra di hatinya.
"Sukalah tu, gelakkan orang!" getus Husna sambil menjeling kakaknya yang belum berhenti ketawa. Adakah patut aku gubra, dia pula enjoy semacam.
"Eh tentulah suka. Adik kesayangan dipinang millionaire handsome! Kak Nora tumpang gembira sangat untuk kau, Una." Bagus sangat ke who ever yang nak kahwin dengan aku tu sampai Kak Nora pun macam sokong je ni? Atau Kak Nora nak kenakan aku? Calon suami entah apa-apa dia nak gula-gulakan aku? Terlalu banyak soalan yang menerpa dalam kepala otak, uish tekanan sungguh!
"Millionaire handsome mana pulak ni, Ummi? Tak kenal, tak apa, macam mana nak kahwin?" Biar betul Ummi ni, takkan Ummi nak buat prank joke pulak? Kalau Kak Nora, boleh jadi jugaklah.
"Anak Auntie Mai. Eh tentulah berkenalan dulu Una" jawab Hajjah Rahmah ringkas.
"Auntie Mai mana pulak, Ummi? Saudara kita ke?" Husna cuba-cuba mengingat siapa gerangan Auntie Mai yang dimaksudkan umminya.
"Puan Sri Maimun, suaminya Tan Sri Zainal Alimin." tambah Hajjah Rahmah. Bulat mata Husna, macam mana Puan Sri, Tan Sri ni nak ambil aku jadi menantu ni? Dan sejak bila pulak Puan Sri tu jadi "Auntie Mai"? Best friend Ummi ke? Musykil sungguh.
"Ha'ah Una, jadi menantu orang kaya kau," sambung kakaknya, sambil senyum lebar. Senyum Kak Nora ni semacam saja ni. Kak Nora ni memang kaki mengusik, kalau ada dia, riuh rendah rumah dibuatnya. Dan akulah mangsa no. 1 usikannya.
"Bukan hartanya yang Ummi dan Babah pandang, Una. Keluarga Auntie Mai tu memang orang baik-baik. Orang business mana yang tak hormatkan Tan Sri Zainal? Auntie Mai pula, nantilah bila Husna jumpa dia, Husna sendiri boleh tau betapa baiknya dia, bertuah siapa jadi menantu dia," panjang lebar Hajjah Rahmah bercerita.

ANDA SEDANG MEMBACA
Projek Memikat Suami
RomanceNAWWAL HUSNA, baru sehari pulang ke tanah air selepas tamat pengajian, dia dikejutkan dengan berita peminangannya. Demi ummi dan babah, Husna bersetuju dengan permintaan itu meskipun dia tahu sangat sukar untuk bersama dengan lelaki yang memang tak...