Usai solat maghrib, Husna bersiap untuk bertemu Zahrain dengan hati yang bercampur-campur. Rupa menawan tapi dia jenis lelaki yang macam mana? Dia berdandan sederhana, bagai nak ke panggung wayang dengan teman-teman saja rupanya. Blaus kain kapas warna kuning lembut berbunga-bunga kecil dan seluar panjang berwarna krim tersarung di badan.
“Comel apa?”komennya bila melihat dirinya dalam cermin, cuba meyakinkan diri sebenarnya. Mana pernah dia keluar dating dengan lelaki. Keluar beramai-ramai adalah. Ataupun keluar dengan Atai, kawan baiknya di U.K., pergi beli barang-barang dapur. Bagus pergi beli barangan dapur dengan Atai, sebab dia tukang bawa barang.
Mukanya dioles bedak nipis dan lip gloss disapukan di bibir. Beg sandang kulit yang dibelinya di Barcelona 3 tahun lalu disangkutkan ke bahu. Beg kulit kegemarannya itu sudah hampir lunyai kerana dibawa setiap kali mengembara ke Eropah. Siap! Biarlah kalau Zahrain hanya menilai dia dari luaran, just by a book’s cover, jelaslah dia bukan lelaki yang sesuai untuk berkongsi hidup dengan aku. Atau adakah aku ni nak menonjolkan sangat kesederhanaan ku supaya dia tak berkenan dengan aku, senang tak perlu kahwin. Boleh teruskan rancangan dengan geng nak mengembara ke sebelah Asia pula. Tapi….dia….handsome….
“Just be yourself, Husna! And this is you,” omelnya untuk hilangkan kegugupan yang bersarang di hati.
“Nawwal Husna! Pakai blaus dengan seluar ini saja ke?” tanya Hajjah Rahmah tidak puas hati. Ummi memang kalau dia sebut nama penuh tu, adalah yang dia tak berkenan.
“Iya lah Ummi, takkan nak pakai baju berlabuci pula? Lagi pun Una pun tak tahu kami nak ke mana. Nanti kalau jalan-jalan ke mall saja, tentu over-dressedlah Mi,” jawab Husna santai.
“Anak Ummi sayang…. takkan lah bakal isteri nak dibawa berjalan-jalan ke mall saja? Inikan kali pertama berjumpa, pakailah baju yang lebih cantik!” gesa Hajjah Rahmah.
Belum sempat Husna menjawab, telefonnya berbunyi. Tertera nombor yang tidak dikenalinya di skrin telefonnya.
“Hello,” jawab Husna kehairanan.
“Nawwal Husna?” terbit suara yang tidak pernah didengarinya.
“Ya. Siapa ni?”
“Zahrain, saya di depan rumah awak. Tolong cepat, boleh?” Ayat yang terakhir itu lebih berbunyi bagaikan suatu perintah dan bukan suatu permintaan. Ini tentu Ummi dengan Puan Sri tu dah kaw tim bagi nombor telefon aku kat dia.
“Tak nak masuk dulu, jumpa Ummi dan Babah saya?” pelawa Husna.
“Nope, saya nak cepat.”
Aik, nak bawa anak dara orang keluar, kok iya pun, jumpalah mak bapanya. Macam tak beradablah pula. Hm, macam mana ni Husna, belum jumpa, baru bercakap sekali, dah ada yang tak berkenan di hati.
“Nawwal Husna? Are you coming?” terdengar suara kurang sabar Zahrain di corong telefonnya. Boleh ke kalau aku jawab “No”? Hajjah Rahmah yang berada di hadapannya sudah mengangkat kening seolah bertanyakan siapa pemanggilnya. Kalau aku tak pergi, boleh tenang ke duduk di rumah malam ni? Mesti Ummi hampa, Babah pula….apa aku nak cakap kepada dia? Memang sah tiada pilihan langsung.
“See you in a minute,” jawab Husna ringkas.
“Ummi, itu Zahrain, dia dah sampai.”
“Eh, ajaklah dia masuk dulu, jumpa Babah.”
“Dia nak jalan dulu Mi, dia bimbang kalau jalan jam,” Husna berbohong sunat demi menjaga hati ibunya. Bagus lah tu, belum apa-apa lagi aku dah berbohong dengan Ummi, getus Husna dalam hati. Ah, jangan fikir banyak, Husna, jumpa dia malam ini, tengok apa jenis orang si Zahrain ini, lepas tu senang buat keputusan, fikir Husna dengan hati yang tawar.

YOU ARE READING
Projek Memikat Suami
RomanceNAWWAL HUSNA, baru sehari pulang ke tanah air selepas tamat pengajian, dia dikejutkan dengan berita peminangannya. Demi ummi dan babah, Husna bersetuju dengan permintaan itu meskipun dia tahu sangat sukar untuk bersama dengan lelaki yang memang tak...