bab 8

3.9K 25 1
                                        


"Husna, cepat siap. Sekejap lagi Zahrain sampai. Jangan biar dia tunggu kamu," Hajjah Rahmah menggesa anak bongsunya. Hari ini mereka hendak ke butik pengantin untuk menempah pakaian pengantin. Baik sunggah, Zahrain tu, fikir Hajjah Rahmah. Sibuk-sibuk kerja di pejabat, sanggup dia ambil masa bawa Husna memilih baju pengantin.

"Ummi, jomlah pergi sekali. Una mana tahu nak pilih baju pengantin ni Ummi," merengek-rengek Husna mengajak Umminya ikut sekali. Kalau boleh dia tak mahu langsung berjumpa dengan Zahrain. Eh boleh ke tak jumpa langsung dengan bakal suami? Habis tu bagaimana nak kahwin?

"Una, apa susahnya nak pilih baju pengantin tu? Mama kamu kata baju pengantin tu nak ditempah dari pereka terkenal. Ummi tak ingat pulak namanya. Kalau dia pereka terkenal, tentulah cantik baju kamu tu nanti. Ummi banyak kerjalah Una, majlis kamu tu nak dijalankan dua minggu lagi. Walaupun kita nak buat kecil-kecilan, masih banyak juga yang Ummi perlu sediakan." Kan Hajjah Rahmah dah nak masuk mode berleter?

"Alaaaaa, Ummmiiiii, jomlah" percubaan terakhir Husna untuk memujuk Umminya.

"Dah, dah, pergi bersiap. Mama Una kata Zahra, kakak Zahrain pun ikut. Una mintalah dia tolong pilihkan," Hajjah Rahmah sudah malas nak melayan anak bongsunya itu. Dah nak kahwin, makin menjadi-jadi pulak manjanya. Dia sendiri sibuk bersiap hendak ke rumah saudara mara terdekat untuk menjemput ke majlis akad nikah Husna.

Tepat pada waktu yang dijanjikan, kereta mewah Zahrain menjalar masuk ke laman rumah Husna. Cepat-cepat Husna mendekati kereta itu. Cepat pergi, cepat balik. Inilah kali kedua dia keluar bersama Zahrain. Dalam hati dia tak berhenti-henti berdoa agar pertemuan kali ini tidaklah huru hara macam kali pertama dulu.

Bila tiba di kereta itu, Husna tersedar ada seorang wanita muda cantik yang duduk di sebelah bakal suaminya. Dia terus membuka pintu belakang kereta. Nak tunggu bakal suami membuka pintu kereta? Tak payah haraplah.

"Ini Zahra, my sister." Ringkas saja Zahrain memperkenalkan kakaknya.

"Hi," Itulah saja cara wanita itu menyapa Husna, tanpa menghulurkan tangan untuk bersalam. Biarlah, agaknya susah dia nak memusingkan badannya untuk menghulurkan tangan dari depan, bisik hati Husna.

"Assalamu'alaikum, saya Nawwal Husna. Nice to meet you." Balas Husna dengan senyuman.

Ucapan salamnya tidak dibalas. Zahrain pula dengan tanpa lengah terus menekan minyak. Sebaik saja kereta bergerak, kedua beradik yang duduk di hadapan itu terus berbual sesama mereka, bagaikan Husna tiada di dalam kereta. Lantaklah, getus Husna, lagi senang aku, rehat-rehat sajalah di belakang ini.

Lagak sombong kedua beradik itu berterusan sehingga mereka bertiga melangkah masuk ke dalam butik pereka fesyen terkenal, Zulhazri Amin. Husna yang bukan kaki fesyen pun kenal Zulhazri Amin. Busana rekaannya menjadi rebutan di kalangan golongan elit ibu kota. Turut menanti mereka adalah seorang wedding planner bernama Yasmin Ali.

"Hello, Zara! Hi, Zahrain! Terima kasih daun keladi kerana memilih butik saya untuk busana pengantin for the wedding of the year!" Nampaknya Zulhazri Amin ni termasuk dalam golongan "mesra alam." Baguslah aku pun dah bosan kena cold shoulder dengan dua beradik ni, fikir Husna.

"A-ha, this must be the lucky girl who managed to snatch the most eligible bachelor in Malaysia!" kata Zulhazri bila terpandang Husna.

"Assalamu'alaikum, saya Nawwal Husna," lebar senyuman Husna, Zulhazri ni memang pandai buat orang selesa dengannya. Agaknya dah bertahun dia melayan karenah pelanggan yang bukan sembarangan orang di butiknya itu.

"Wa'alaikumsalam, sweetie. Zahrain, your bride is soooo sweeeet, lucky you," tak habis-habis lagi pujian Zulhazri. Malas Husna nak memandang muka Zahrain, sebab dia yakin tentu terpalit senyuman sinis di wajahnya bila mendengar Zulhazri memujinya.

Projek Memikat SuamiTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang