bab 7

3.4K 23 0
                                    


"Jemputlah masuk, Puan Sri! Terima kasihlah sudi datang ke teratak buruk kami." Bermanis-manis mulut Hajjah Rahmah dengan wanita anggun yang bakal menjadi besannya.

"Alah, Hajjah. Apa pulak teratak buruknya. Laman depan Hajjah saja pun, dah kalah rumah saya. Banyaknya bunga," balas Puan Sri Maimun yang tidak pernah sombong dengan darjat suaminya.

"Assalamu'alaikum, Puan Sri. Jemput masuk," ucap Husna sambil bersalam dan mencium tangan Puan Sri Maimun.

"Haaa, ni pun Husna. Apa pulak Puan Sri-Puan Sri ni, panggil Auntie Mai sajalah. Ada rezeki, nanti Husna panggil Mama ya," jawab Puan Sri Maimun sambil mendakap dan mencium pipi Husna kiri dan kanan. Amboi, mesranya dia, fikir Husna. Wal hal ini kali pertama jumpa. Hairan juga Husna, bagaimana Puan Sri ini jadi mesra sangat dengan dia.

"Zahrain, tengok Husna ni. Kan manis? Untung Mama kalau dapat dia sebagai menantu." Muka Husna dah meruap-ruap kemerahan. Ya Allah, manalah aku nak letakkan muka ni fikirnya. Semalam bukan main lagi aku menyeringai dengan si Zahrain ini. Husna menundukkan mukanya, malu nak memandang wajah Zahrain. Makin sukalah Puan Sri Maimun melihat gelagat Husna. Di bandaraya ni, mana lagi nak jumpa gadis bersikap pemalu begini. Yang lepas laku, memang berlambak-lambak.

Zahrain tak menjawab, hanya ada senyuman pendek yang dipaksa di wajahnya. Husna melarikan diri ke dapur, buat-buat sibuk membantu Mak Dah. Wal hal semua makanan dah siap, tinggal nak bawa keluar ke ruang makan sahaja.

Bila Husna menatang talam membawa hidangan ke ruang makan, semua orang berhenti berbual. Tiga pasang mata tak lepas-lepas memandang segala gerak gerinya. Selesai menghidang, Husna menjemput mereka makan.

"Amboi! Sedapnya bihun. Husna masak ke?" Puji Puan Sri Maimun. Jadi tak selesa Husna dibuatnya, bihun biasa-biasa sahaja, kenapalah dipuji berlebihan.

"Ummi yang masak, Auntie. Una tolong potong-potong bawang saja." Jawapan lurus dari Husna.

"Tak makan Zahrain?" Tanya Hajjah Rahmah bila melihat Zahrain langsung tidak mengusik bihun di pinggannya. Sudah ditegur barulah dijamahnya bihun itu. Terpancar perasaan bosan di wajahnya. Bosan hanya duduk dan mendengar dua orang wanita separuh umur berbual-bual.

Husna mengambil dulang untuk masuk semula ke dapur. "Eh, Husna. Marilah makan sekali, temankan kami. Boleh kita bersembang-sembang." Ajak Puan Sri Maimun. Husna tidak ada pilihan lain, dia mengambil tempat duduk di sebelah Umminya.

Banyak juga soalan dari Puan Sri Maimun. Tentang pelajarannya, tentang pengalamannya di U.K., tentang kakak-kakak dan abangnya. Satu-satu dijawab Husna. Zahrain pula diam membatu, hanya sekali-sekala menyuap makanan atau menghirup minuman. Selepas habis bihun di pinggannya, Puan Sri Maimun membuka topik hangat yang menjadi mimpi ngeri Husna.

"Husna, Ummi kamu dah bagi tau kan tentang hajat keluarga kami?" Dia bertanya sambil matanya tak lepas-lepas memandang Husna. Anak gadis itu memandang ke bawah. Agak-agaknya macam mana muka si Zahrain tu sekarang? Mencebik ke? Senyum sinis ke? Apa aku nak jawab ni? Berputar-putar Husna berfikir. Tak mahu, tapi dek mengingatkan Babah, terpaksa jawab mahu. Nak jawab mahu pula, malulah. Malu teramat sangat nak jawab mahukan anak bujang orang. Maka akhirnya, tak terjawab dia soalan itu.

"Auntie datang ni nak tanya jawapan Husna. Kalau Husna setuju, Auntie sekeluarga bersyukur sangat, dapat menantu yang baik. Kalau Husna tak setuju, yelah, tak ada rezeki kami lah tu," lembut cakap Puan Sri Maimun. Husna yang mendengar, menjadi bertambah malu. Malu dengan mulia bicara seorang wanita yang berdarjat tinggi kepadanya. Wal hal siapalah dia, gadis hingusan yang baru tamat belajar, yang tidak punya apa-apa, melainkan keluarga yang menyayanginya. Husna terus berdiam diri, dia benar-benar kelu. Matanya tak lepas memandang kedua tangannya di atas riba.

Projek Memikat SuamiWhere stories live. Discover now