Puting Beliung

238 21 0
                                    

Kita akan terserempak dengan suatu puting beliung yang sangat besar. Ia sampai hingga di hadapan rumah kita, menerbangkan semua benda yang ia langgar.

Apabila terperangkap di dalamnya, keadaan begitu cemas dan gila. Kita terdedah kepada segala-galanya tetapi kita tidak mampu melihatnya kerana ribut terlalu deras dan kabut. Kita melayang dan tertolak di dalamnya.

Puting beliung itu telah sampai ke sini. Dalam versi maya.

Kita tertarik dalam arus angin kencang dan terperangkap di dalamnya.

Tidak, tidak. Sebenarnya ia yang terperangkap di dalam kita. Walaupun nampak seperti tenang.

Ia seperti perasaan seseorang ketika ia melarikan diri sebentar daripada tempat kerjanya untuk pergi melancong bagi merehatkan minda. Sedangkan tekanan itu sentiasa ada walaupun ia dapat bergembira sekejap. Dan apabila ia keluar daripada tempoh pelancongannya, tekanan itu datang berlonggok.

Manusia sentiasa ditekan dari semua bahagian walaupun ia tidak merasakannya. Seperti berada di dalam guli yang jatuh ke dalam air, kita tidak merasakan bahawa udara di dalam guli sedang bergelut dengan tekanan air dari luar kaca guli.

Bukan dipaksa tetapi terpaksa berfikir - Makan minum apa hari ini. Nak buat apa hari ini. Nak pilih saluran tv apa. Pukul berapa nak tidur dan bangun.

Yang peritnya, apabila puting beliung datang, kita bukan sahaja terdedah dengan amukan perasaan. Kadang-kadang kita perlu menggunakan banyak daripada masa kita untuk menyembunyikan amukan itu daripada orang lain. Dan untuk kebanyakan masa - daripada diri sendiri.

Terpaksa berpura-pura gembira walaupun sedang marah atau sedih. Seolah-olah hanya ada istilah gembira dalam akhlak.

Apa tidak bolehkah marah dan sedih dalam akhlak?

Jika tidak, maka hipokritlah semua yang mengaku berakhlak kerana ia berhujah bahawa ia tidak mempunyai fitrah marah dan sedih. Gila? Bahkan menipu diri sendiri.

Kebebasan daripada tekanan itu hanya terdapat di syurga. Tak ada puting beliung. Tak ada sakit. Tak ada kecewa. Tak ada cemburu, rindu atau marah. Semua manusia mesti merindui kebebasan itu. Kalau tidak rindu, bagaimana nak masuk syurga?

Ini kerana siapa-siapa yang tidak merasa peritnya kehidupan di dunia, tidak merasa sakit dengan puting beliung dunia ini, masakan ia boleh merindui syurga tatkala ia sudah pun lega dengan kehidupannya di dunia.

Seperti sudah mencintai keadaan dirinya seadanya di dalam puting beliung itu, lalu rasa rindu pada kebebasan di luar sana akan lenyap.

Walhal berada di luar puting beliung sangat melegakan!

Introvert & TuhanWhere stories live. Discover now