Soalan:
Tuliskan sebuah karangan yang berakhir dengan "Selamat Datang Ramadhan!"
Jawapan :
Aku melangkah longlai meninggalkan tempat itu. Aku berpaling ke belakang sekali-sekala, untuk menguatkan lagi gambaran dan ingatan akan tempat tersimpannya jasad ayah yang akan aku bawa sebagai kenangan untuk beberapa waktu lagi.
Aku memandang ke kanan, di arah sana ada ibu yang aku cintai. Aku pandang kiri, di sana jalan ke arah kecemerlangan dan tanggungjawab.
Aku berasa berat sekali untuk melangkah ke kiri, mungkin kerana di sana adalah dunia susah payah bagiku. Aku juga terkenang saat air mata ibuku mengalir bagi melepaskan anak-anaknya ke dunia di jalan kiri yang aku katakan tadi.
Aku memandang ke hadapan. Abang sedang menunggu di keretanya. Di belakang keretanya, sahabatku Julaybib juga sedang menanti. Entah sahabat atau kekasih aku tidak tahu. Sebab dia dan aku terlalu rapat. Ah! Kau hanya sebuah kereta jua.
Pandanganku melewati sekeliling jasadku. Penuh dengan nisan-nisan sayu yang mengucapkan, 'Selamat tinggal budak kampung Parit Tanjung yang akan berangkat ke Bandar Sunway!' Panjang sekali ucapannya.
Sebuah basikal yang dibonceng budak gemuk menghampiri dari arah rumah. Di belakang kelihatan kaki kurus berkulit gelap. Aku pasti itu adik bongsuku Arif.
Dan di hujung jalan sana, aku lihat seseorang bersaiz semut yang pakaiannya kelihatan seperti ibuku.
Aku melambai semangat.
Di kejauhan, aku nampak ada pergerakan di situ. Ya, ibu sedang membalas lambaian. Dan tentu dia yang menghantar Arif ini ke sini.
Tentu aku ada tertinggal barang.
"Ada apa Arif?" Aku dan abang bertanya tidak serentak.
Dia seperti tidak tahu jawapan.
"Emak kirim salam kat kakak," katanya dengan wajah yang kelihatan biasa bercampur sedikit sugul. Aku tak perasan hal itu.
Aku menyuruh adikku balik kerana jam sudah pun menunjukkan pukul tujuh petang. Adikku menjerit 'Bye!' dari jauh. Dia tidak dapat menoleh untuk melihatku sebab dia takut untuk bergerak banyak kerana kayuhan kawan gemuknya yang melelong.
Aku membalas laungan 'Bye!'.
Dia membalas lagi, kali ini lebih jauh. Aku membalas sambil memulas kunci kereta. Dia membalas dengan sayup. Aku membalas sambil memakai tali pinggang keledar. Kali terakhir aku mendengar suaranya sudah begitu jauh sekali. Kawasan perkuburan menjadi sunyi kembali.
Pemanduan kali ini, menjadikan aku sakit tekak lagi. Jumaat lepas aku sudah sakit tekak. Kalau memandu seorang selama lebih empat jam, aku memang akan sakit tekak. Ini kerana aku akan menyanyi akan bercakap sepanjang perjalanan supaya aku tidak bosan dan mengantuk. Dan selalunya, volumenya kuat.
Kali ini, ada kereta abang di hadapan. Alhamdulillah tidak terlalu bosan macam dua hari lepas ketika balik ke Perak ini.
Ketika aku sampai di rumah, jam sudah pun melepasi pukul 12.
Aku mengantuk sangat tapi aku tidak mahu tidur. Aku perlu menyiapkan assignment yang gagal aku siapkan di rumah gara-gara kesibukan menguruskan rumah tangga selepas kehilangan ketuanya. Juga kerana kelajuan internet di kampung yang sangat mendukacitakan.
Aku ingin menghantar sms kepada ibuku untuk memaklumkan bahawa aku telah selamat sampai. Aku lihat skrin telefon, ada misscall daripadanya empat minit yang lalu.
Aku menelefon dia kembali.
Suaranya jadi serak yang lain sekali kerana menangis. "Kak, Arif ni....."
Mataku terbeliak, "Kenapa dengan Arif, mak?"
Apakah dia jatuh dari basikal semasa balik tadi? Atau dia tidak pulang-pulang? Atau dia jatuh dalam parit atau bendang? Macam-macam dalam kepala otakku, memikirkan sebarang kemungkinan yang negatif semuanya.
"Arif dok menangis teruk ni. Tadi waktu dia balik lepas jumpa kak, terus dia menangis teresak-esak. Ni malam ni pun dia menangis bila tengok gambar ayah."
Aku speechless. Baru aku teringat akan wajahnya yang sugul petang tadi. Dia elok-elok saja bermain game dan usik ibuku yang menangis ketika menghantar kami pulang tadi. Tak pula aku sangka dia akan jadi begitu.
Mungkin dia berasa sedih kerana semua abang dan kakaknya pulang pada hari ini. Abang, Kak Nadia dan aku tak ada. Abang Ngah dan Kak Lin pergi hantar Eilah ke MRSM Kubang Pasu dan mereka bercadang untuk bermalam di Jitra sahaja malam ini, di rumah keluarga mertua abang ngah. Yang tinggal hanya ibuku dan Arif dan labu-labunya.
Kedengaran suara Arif terbatuk-batuk hampir muntah di gagang telefon.
"Okay ka tu?" Tanyaku kepada ibuku.
"Tu dok peluk gambar ayah sambil tidoq. Kesian dia."
Aku pun mengingatkan ibuku supaya jangan lupa makan nasi, makan ubat dan sebagainya sebelum telefon diletakkan dan aku pula yang menangis selepas itu.
Jam satu sehingga lima, aku siapkan kerja. Dalam waktu itu, entah berapa kali aku pergi berjogging naik turun tangga rumah kerana ingin menghilangkan mengantuk. Aku terpaksa berpisah dengan emak sejauh ini (rasa macam jauhlah sebab drive beratus-ratus kilometer) demi menuntut ilmu. Takkanlah aku balik sini untuk tidur. Aku berkata kepada diri sendiri sambil mengenang ibuku yang melambai dari jauh petang tadi.
Alhamdulillah, keesokan harinya walaupun tidak cukup tidur, tidak makan sehingga malam, tidak sempat berehat dan sangat banyak kerja, semuanya dipermudahkan oleh Allah. Dengan kebahagiaan atas program Inter-Faith Dialogue di mana Islam kelihatan begitu indah apabila dipandang dari sudut orang yang baru mengenali Tuhan, juga eratnya ukhuwah yang dirasa.
Juga enaknya bihun goreng pak cik yang menjadi jamahan pertama hari itu, juga percuma (kerana ia santapan sempena majlis tadi). Dan juga segala kerja hari itu yang berjaya dihantar dengan selamatnya.
Di rumah, aku terus tertidur selepas switch on laptop dan selepas telefon ibuku, gara-gara terlalu mengantuk.
Pagi ini aku bangun dengan mengatakan, "Selamat Datang Ramadhan!"
YOU ARE READING
Introvert & Tuhan
RandomIntrovert dan anxiety, gabungan dua perkara ini membuatkan hidup agak mencabar. Tapi akhirnya membuatkan diri lebih mencintai diri sendiri dan lebih akrab dengan Tuhan. Ini cuma random posts aku sepanjang perjalanan itu.