Bab 1

540 7 0
                                    

BAB 1

Nur Asiah masih lagi berdiri di tepi jendela, memerhati malam yang kian larut, sesekali kedengaran cengkerik dan unggas-unggas malam menegurnya. Di dada langit tiada sebutir bintang pun yang berkelip, untuk menemani alam maya saat ini.Tapi deruan ombak tak pernah berhenti menghempas pantai walaupun malam diselubungi kegelapan . Suasana malam cukup sepi,kosong, hitam dan kelam, bagaikan mengerti keadaan hatinya saat ini. Dadanya tepu dan kepalanya bercelaru. Dia mengerling ke arah katilnya yang dihiasi cantik .Tapi di bawah katil pula ada beg pakaiannya yang sudah siap berisi dengan pakaian dan barang keperluannya. Dalam kepalanya, dia akan bertindak bila sudah tengah malam, saat semua orang sedang nyenyak tidur.

Bodoh! Siapalah lelaki yang paling bodoh ni, kalau dah rasa kemaruk sangat nak berbini, pergilah cari orang lain, datang cari aku nak buat apa? Bodoh! bodoh! bodoh sangat, sampai menyusahkan aku! Dalam dunia ni dah tak ada perempuan lain ke? Sampai kena kahwin dengan budak baru lepasan sekolah. Heh! Aku ni baru aje habis SPM, hingus aku pun masih meleleh, nak buat apa? Aku ni bukannya reti apa pun. Masak nasi pun hangit lagi,eh...eh...periuk karan mana boleh hangit. Ah...apa-apa ajelah. Betul! Aku tak nak kahwin, aku nak sekolah lagi. Aku nak masuk U. Siapalah lelaki bodoh dari Marikh yang telah menyusahkan hidup aku ni? Ingat ini zaman Tun Teja ke? Tun Fatimah ke? Muda-muda dah kena kahwin. Ayah pun satu, kolot sangat, entah apa yang dipandangnya makhluk dari Marikh tu, sampai setuju terus untuk kahwinkan aku. Tolong!!! Aku tak nak kahwin. Sayang sekali jeritan Nur Asiah yang melengkin kuat itu tiada siapa yang mendengarnya,kerana suaranya itu tersekat dicelah kerongkong,tak mampu untuk dikeluarkan.

Nur Asiah melepaskan keluhan lemah, jalan di hadapannya hitam dan gelap,bercabang-cabang dan berduri, kalau mengikut kata hati , mahu saja dia melompat jendela ini dan melarikan diri, meninggalkan keluarga dan tinggalkan lauk pauk kenduri yang telah siap dimasak oleh penduduk kampung secara bergotong-royong. Memang nak lari pun, tapi taklah lompat, karang patah kaki, macam mana nak jalan? Sia-sia saja usaha nak melarikan diri , bukan main lagi terjun tingkap , alih-alih setakat dekat pangkin saja yang mampu dia pergi. Ish...tak ada maknanya melarikan diri.

Kalau nak lari kena rancang dengan teliti, baru tak terkantoi, tapi kalau aku lari...aku nak pergi mana? Tak kanlah lari dalam kampung ni juga? Ish...ish...lagilah tak bermakna usaha aku. Nak pergi mana? Alah pergilah mana pun asalkan tak payah kahwin. Tapi kata pepatah, kalau ikut hati, mati dan ikut rasa maka binasa. Ah!!! Nur Asiah melepaskan jeritan yang masih tersekat di anak tekak ,buntunya fikiran. Dia tidak mahu binasa dalam hidupnya lantaran tidak mahu menurut kata kedua orang tua. Dia tidak terlintas pun untuk menjadi anak yang mendurhaka kepada ibu bapa.Tuhanku! Tolonglah hamba-Mu yang tidak berdaya ini.

Esok dia akan dinikahkan dengan pemuda yang menjadi pilihan keluarga. Tak pernah terlintas pun di benaknya dia akan dikahwinkan dalam usia semuda ini. Nur Asiah benci, Nur Asiah sakit hati, lantaran itu dia tidak pernah ambil tahu tentang lelaki tersebut. Selama bertunang sekali pun dia tidak pernah melihat tunangannya ,melihat gambar pun dia tidak sudi, dia cukup terkilan dengan tindakan ayah yang terus saja menerima pinangan lelaki itu , tanpa bertanya kepadanya, tanpa berfikir panjang, macamlah aku ni kemaruk sangat nak kahwin . Arghh!!! Ayah memang kejam, tak bertimbang rasa ,bukan ayah tak tahu aku suka belajar . Bukan ayah tak nampak keputusan percubaan SPM aku dulu, bukan calang-calang tau, 6A . Jadilah...dah layak tu kalau nak masuk U. Ayah tak adil,takkanlah dia terdesak sangat nak kahwinkan aku? Dah kena suap atau kena kelentong agaknya! Eeeee...tak mungkin, ayah aku baik dan tak bodoh, cuma mudah kesian dengan orang.Mustahil dia termakan kelentong dan mudah sangat setuju tanpa berbincang dengan aku. Aku ni seorang saja anak perempuan dia. Itu yang pelik dengan sikap ayah ni, tapi untuk melawan ayah,adalah sesuatu yang tak masuk akal. Ayah cukup garang, kata-katanya tak boleh dilawan. Meningkah cakap ayah bagaikan menadah lava gunung berapi, yang pastinya dia akan membakar diri sendiri . Mak tolong Nur!!! Nur Asiah menjerit dalam hati, ah...tak guna minta tolong mak, sebab mak pun sama dengan ayah. Ya ALLAH... tolonglah aku!!!

Tika ini berbagai rasa yang sedang bergelut di dalam hatinya ,rasa cemas, resah, sedih, marah dan gementar bercampur baur menjadi satu. Fikirannya serabut dan kusut, manakala badannya terlalu letih dan lemah. Sememangnya dia tidak bersedia untuk perkahwinan ini, kahwin paksa, macam orang zaman dulu-dulu.Tapi pada siapa dia harus mengadu? Mak? Dia akan tetap menyokong ayah . Kata-kata ayah tak pernah mak bantah. Ah! Nur Asiah melepaskan keluhan buat kesekian kalinya. Tiba-tiba pintu bilik di buka. Mak Esah menjengukkan kepalanya.

"Eh! Nur, kenapa tak tidur lagi? Dah larut malam ni, tak baik pengantin tidur lewat, nanti masuk angin dan hilang seri wajah."Nur Asiah hanya menatap wajah Mak Esah tanpa mengucapkan apa-apa, dia tahu Mak Esah dapat membaca riak di wajahnya,tanpa dipaksa air matanya mula meleleh menuruni lurah pipinya yang putih gebu.

"Sudahlah Nur,bawalah bersabar, mungkin ini adalah takdir Nur. Sebenarnya ayah berniat baik, dia inginkan Nur bahagia."

"Tapi, Nur masih muda, Nur masih nak belajar dan belum puas lagi Nur duduk dengan mak, lagi pun Nur belum dapat membalas jasa mak dan ayah," dalam suara yang tersekat-sekat Nur meluahkan apa yang dia rasa.

"Tak mengapalah Nur, dengan mengikut cakap ayah tu Nur dah pun membalas jasa kami, mak tahu Nur anak yang baik, Nur tak pernah melawan cakap kami. Mak selalu berdoa agar Nur bahagia."Mak Esah memeluk Nur Asiah erat, mendamaikan jiwa anak gadisnya yang keresahan.

"Mak, Nur takut." Nur Asiah semakin memeluk maknya, seperti anak kecil yang sedang ketakutan.

"Biasalah Nur, pengantin baru memang merasa demikian, mak dulu pun takut juga nak jumpa ayah, maklumlah tak kenal. Dahlah, jangan fikir macam-macam lagi, jangan nangis lagi nanti bengkak mata tu, rehatlah! Nur perlukan kesihatan yang baik dan rehat yang secukupnya untuk hari yang bersejarah esok," Mak Esah menepuk-nepuk bahu anak gadisnya.

Sebaik saja Mak Esah keluar dari biliknya, Nur juga beredar ke bilik air untuk berwudhuk, dia perlu mencari ketenangan dengan sembahyang hajat, dia ingin bermunajat pada ALLAH, berserah pada ALLAH kerana Dialah yang lebih tahu akan untung nasibnya.

Vote and Comment 👇

Persis Bidadari SyurgaWhere stories live. Discover now