Dah berbulan memohon ,baru sekarang dapat ditunaikan ,tak apalah asalkan dapat juga jenguk mak dan ayah serta adik-adik. Tapi dalam hati bagai digeletek ingin tahu,apakah mimpi Aiman mengajak Nur Asiah pulang ke kampung. Sebenarnya apalah jauhnya sangat Kampung Kuala Sungai Baru yang terletak di Melaka tu dengan Kuala Lumpur? Kalau nak balik tiap-tiap minggu pun boleh,tapi apakan daya, Nur Asiah tak berupaya melakukannya. Dapat macam ni pun dah beribu syukur,dapatlah dia melempiaskan rasa rindunya yang menggunung.
Kereta yang dipandu oleh Aiman selaju 120km sejam pun masih terasa perlahan,kalau boleh biar laju lagi,tak sabar rasanya nak menatap dan membelek wajah tua mak,rindu yang sekian lama bersarang ingin dileraikan.
Nur Asiah memandang ke arah suaminya yang sedang tenang memandu,entah kenapa Aiman tiba-tiba saja mengajak dia pulang, rasa macam tak percayalah pula.Agaknya doa dia semasa solat hajat selama ini telah dimakbulkan oleh Allah. Tuhanku! Terima kasih,sesungguhnya hati-hati kami ini adalah milikmu. Nur Asiah meraut muka,segaris senyum menghias bibir.
“Kenapa senyum?” Aiman bertanya, rupa-rupanya tingkah Nur diperhatikan. Nur Asiah senyum lagi.
“Tak ada apa,saja terasa nak senyum.”
“Yalah tu…suka sangatlah tu ,balik negeri dia.” Senyuman Nur Asiah masih berbunga.
“Mestilah, tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain,” Nur Asiah mengiakan.
“Abang, terima kasih.”
“Kenapa?”
“Sebab bawa Nur balik kampung, jumpa mak.”
“Hmm…” tanpa apa-apa ulasan, Nur Asiah menunggu ,tapi tiada kata yang keluar dari mulut suaminya,ah…biarlah lelaki memang begitu. Komunikasinya selalu tergantung, bicaranya tak jelas dan maksudnya susah nak sampai.
Sebaik saja kereta menjalar memasuki Kampung Kuala Sungai Baru, hati Nur mula kembang kuncup, detak-degup jantungnya seakan kedengaran di telinga. Wajah Nur mula berubah, kemerahan penuh ceria, dia rasa bahagia saat ini. Pandangan mata Nur tak pernah sehala, dia menoleh ke kiri dan kanan ,melihat jalan-jalan yang penuh kenangan, penuh nostalgia dan penuh kebahagian. Oh…kampungku! Seakan berbisik dia menuturnya.
Dedaun kepala melenggang-lenggok ditiup angin, angin pantai yang menderu bagai menyambut ketibaan Nur Asiah dan suaminya. Semua panorama indah yang berada disekeliling kampungnya belum berubah, masih seperti dulu. Masih ada orang yang sedang memancing di atas batu pemecah pantai,masih ada anak-anak kecil yang bermain di tepi jalan atau pun tepi pantai, masih ada jiran-jirannya yang suka bertenggek di pangkin tatkala hari siang yang terlalu panas. Mereka akan duduk beramai -ramai sambil makan cucur atau cicah mempelam muda atau paling tidak pun bergosip.
Mak Esah dan Pak Khalid berlari dari dapur dan menjenguk keluar jendela sebaik saja mendengar bunyi enjin kereta yang memasuki perkarangan rumah.Senyum Mak Esah sudah sebesar dulang .Pak Khalid mempamerkan wajah gembira untuk anak dan menantu kesayangannya.Menantu yang dicanangnya ke sana sini. Menantu yang amat dibanggakan, maklumlah orang bandar,orang Kuala Lumpur lagi.
Mak Esah berlari turun sampai ke laman, membuka pintu untuk Nur Asiah. Dengan wajah yang gembira, senyuman tidak pernah lekang dari bibir Mak Esah.Gembira kerana anak perempuan seorang yang dirindui sudah berada di depan mata. Nur Asiah menyalami dan mencium tangan Mak Esah,kemudian mencium kedua pipinya lalu tangan Mak Esah merangkul tubuh Nur Asiah. Alangkah kurusnya tubuh Nur! Detik hati Mak Esah, terkejut dia seketika.
“Mengapa kau kurus sangat nak?” Mak Esah bertanya perlahan tatkala Nur Asiah membalas rangkulannya. Nur Asiah tidak menjawab,tapi pelukannya semakin erat dan air matanya deras menuruni pipi. Nur Asiah tidak perlu bercerita, naluri seorang ibu sudah dapat membaca apa yang tersirat di bening mata anaknya dan pelukan kemas Nur telah memberitahu bahawa anak itu sedang menderita. Tuhanku...! Sabarkanlah anakku! Doa Mak Esah dalam hati.
YOU ARE READING
Persis Bidadari Syurga
Teen FictionKetetapan takdir yang tertulis tidak mampu diubah lagi. Nur Asiah terpaksa berserah saat dia dikahwinkan dalam usia muda dengan lelaki yang tidak dicintai kerana tidak mahu menjadi anak derhaka. Sewaktu rakan sebayanya berlumba-lumba memanjat tangga...