Selesai makan malam Aiman mula merenung ke arah Nur Asiah dan membuat isyarat mata padanya. Nur Asiah faham sebab tadi Aiman telah memberi tahunya,masalahnya dia tak sampai hati untuk memberitahu mak dan ayah,pasti hati orang tuanya terguris dan terkoyak. Hati mana tak terguris kalau anak menantu yang balik sekali sekala tak nak tidur di rumahnya, malah sanggup pula menempah chalet yang terletak di hujung kampungnya.
Nur Asiah sedih, sedih sangat,terkilan sangat . Kalau ikut perancangan Nur ,dia ingin tidur bersama maknya,ingin memeluk maknya dan bersembang-sembang sampai pagi. Itupun setelah dia tidurkan suaminya.
“Abang, kita tidurlah kat sini,” Nur Asiah memujuk. Aiman mencerlun.
“Tak nak,abang tak selesa, banyak nyamuk,” alasan. Nur menjeling marah.
“Nanti apa pula kata mak dan ayah.” Nur seakan nak menangis.
“Awak tak faham ke, abang kata tak selesa! Tak selesalah!” Aiman mula marah, tapi marahnya masih dapat diperlahankan supaya mertuanya tidak dengar.
“Sampai hati abang!” Nur Asiah terkilan sangat. Memanglah dia tahu bilik ini tak secantik bilik tidur mereka di KL, tak sebesar bilik di sana,tak sewangi bilik di sana,maklumlah rumah kampung , bilik air pun ala kadar saja ,tapi tolonglah,untuk dua malam saja. Janganlah rosakkan hormat ayah pada abang,jangan abang hina ayah dengan ketidaksudian abang bermalam di rumahnya. Nur Asiah hanya berbicara dalam hati ,dia tahu kalau dia cakap pun tak guna. Aiman tu,ego dan baran,kalau putih katanya ,tak akan jadi hitam lagi.
“Ayah,mak,” Nur Asiah tak mampu mengeluarkan perkataan sebaik saja menghadap mak dan ayahnya yang sedang bersantai di anjung rumah.
“Kenapa Nur,” cuak hati Mak Esah melihat wajah Nur Asiah yang keruh.
“Ayah, maafkan Nur.” Tak sampai hati Nur Asiah, pasti hati ayahnya terguris.
“Cakaplah Nur,” Mak Esah mendesak.
“Kami tak tidur kat sini,” Nur Asiah memejamkan matanya, tak sanggup menatap bening mata ibu yang kehampaan. Sengaja dia menggunakan perkataan kami,agar tak nampak kesalahan pada suaminya seorang, dia tak mahu maruah suaminya tercalar dan rasa hormat keluarga pada suaminya terhakis, sebab Nur tahu,ayahnya terlalu sayangkan menantunya, tapi belum tentu menantunya suka pada bapa mertuanya. Nur Asiah benar-benar tersepit di tengah-tengah. Inilah yang dikatakan diluah mati emak, ditelan mati laki. Oh…peribahasa baru ke? Tak apalah ,lebih kurang samalah tu.
“Habis ,tidur kat mana?” Pak Khalid menyoal dengan suara yang kendur.
“Kat chalet, hujung sana tu.” Bila Nur membuka mata,ada manik yang jatuh, Pak Khalid merenung faham.
“Pergilah Nur,tapi pagi esok, balik sarapan kat sini,” Mak Esah mengizinkan, dia lebih mengenali hati anaknya dan Pak Khalid mengangguk,dia juga tahu seorang isteri wajib mengikut cakap suaminya.
“Mak ,maafkan Nur,” Nur Asiah memeluk Mak Esah sebaik saja menuruni tangga.
Mak Esah menghantar pandangan ke arah kereta yang sedang bergerak, hatinya diragut sayu sekali,ingatkan dia dapat bermanja-manja dengan Nur,minta Nur urutkan badannya ataupun berdua-duaan sekadar berbual kosong.
YOU ARE READING
Persis Bidadari Syurga
Teen FictionKetetapan takdir yang tertulis tidak mampu diubah lagi. Nur Asiah terpaksa berserah saat dia dikahwinkan dalam usia muda dengan lelaki yang tidak dicintai kerana tidak mahu menjadi anak derhaka. Sewaktu rakan sebayanya berlumba-lumba memanjat tangga...