Bab 1

4.6K 91 1
                                    

BERJALAN dengan fikiran melayang, itulah yang Riana alami sekarang. Perkataan kenapa bagai memenuhi ruang fikiran.

"Kenapa Mazni pergi kelas tak tunggu aku?"

"Kenapa Sara tak kejutkan aku?"

"Kenapa..

Sreeetttttt...

Bunyi tayar kereta terseret di jalan raya beserta hon yang panjang buat tubuh Riana automatik kejung. Mata terus terpejam rapat. Langkah terhenti dan kaki bagai terpaku ke bumi.

Saat itu, dia hanya menunggu masa untuk dilanggar. Yang terlintas bagai kilat ke fikirannya ialah mati.

Tapi, lama tegak di situ, tiada kesakitan yang dia rasa. Kenapa dia tak rasa apa-apa?

Mata dibuka. Dia masih tegak di tengah-tengah jalan raya. Belum sempat menoleh, dia sudah disergah suara garau.

"Hoiii!!"

Terangkat bahunya kerana terkejut. Kejutan untuk kali kedua dalam tempoh beberapa detik.

"Kalau nak mati pun, jangan mati depan aku!" Suara marah menerjah telinganya.

Perlahan Riana berpaling dan matanya terus terpaku. Tuan punya kereta ke ni? Kenapa kacak sangat? Matanya boleh meragut degup jantung tapi....

"Kalau nak bunuh diri pun, tolong cari kereta orang lain. Suwey tahu tak??" Suara sergahan itu buat Riana terkelip-kelip memandang empunya suara. Walau sinar matanya nampak garang tapi boleh buat hatinya bergetar.

"Tepi! Aku dah lambat ni." Serentak dengan itu, lelaki itu berpusing kembali ke keretanya. Masa yang sama, bunyi hon dari kereta yang bersusun di belakang kereta lelaki itu meriah bergema.

Langkah Riana undur ke belakang. Tapi, kereta Satria Neo itu masih di situ. Sebaliknya tiga biji kereta yang di belakangnya bergerak dulu.

Masih tegak di situ, akhirnya kereta tersebut bergerak pergi.

Riana mahu meneruskan langkah tetapi entah kenapa kakinya bagai tidak berupaya untuk diangkat.

Beberapa detik berlalu, tiba-tiba dia nampak Satria tadi berundur ke belakang dan berhenti betul-betul di depannya.

Pemandunya keluar. Jarak dia dan lelaki itu cuma terpisah oleh kereta.

"Kau nak ke mana?"

Senyap.

"Kau bisu ke?"

Masih senyap.

Pintu bahagian pemandu ditutup dan lelaki itu datang ke arahnya.

Riana yang masih berdiri di situ bagai sudah bergoyang lutut. Apa yang mahu dilakukan lelaki ini? Memang dia salah sebab melintas jalan tak tengok kereta. Tapi..

Pintu bahagian penumpang dibuka oleh tuan empunya kereta.

"Masuklah. Aku hantar kau ke klinik. Mana tahu kau dah jadi bisu sebab terkejut."

"Saya tak apa-apa." Terus suara Riana terkeluar. Mana ada orang jadi bisu sebab terkejut. Tak pernah dia dengar cerita sebegitu.

"Oh! Boleh bercakap." Terangguk-angguk lelaki tersebut.

"Masuklah. Aku hantar kau. Nak ke kelas kan?"

Riana masih tegak di situ. Buku yang terpegang di tangan kanan dipindahkan ke tangan kiri. Mengelek buku di pagi hari di dalam kampus, haruslah nak ke kelas.

MERAH CINTA DIAWhere stories live. Discover now