SUNGGUH, Riana tak pernah terfikir kepulangannya ke kampung kali ini adalah kepulangan yang sangat menyedihkan.
Dia tak pernah menyangka perbualan dengan ayahnya malam semalam adalah perbualan terakhir antara mereka.
Sangkanya, ayah cuma sakit biasa-biasa tetapi setiba di rumah, hanya sekujur tubuh kaku terbaring di tengah ruang tamu menjamu matanya.
Dia sudah penat meraung, sudah penat menangis, pitam berkali-kali dan sehingga mentari sudah muncul di ufuk timur mengganti gelap malam, dia bagai tidak mahu percaya, satu-satunya insan tempat dia berteduh sudah dipanggil pergi menghadap Ilahi.
"Kalau Ayu dah ada teman istimewa, bawa dia bertemu ayah, ya?"
Persoalan yang ayahnya timbulkan malam itu tersangat janggal di pendengaran Riana. Berpuluh tahun hidup, tak pernah sekalipun ayah berbicara tentang teman hidup dengannya. Yang dia tahu, ayah mahu dia berjaya dulu dalam pelajaran.
"Kalau masih belum ada teman, berdoalah supaya Tuhan hantar lelaki baik-baik untuk jadi teman Ayu."
Dia tak pernah terfikir untuk berdoa tentang itu. Tapi kalau ayah masih hidup, dia boleh beritahu tentang Arif. Walau bukan sebagai teman istimewa, dia boleh perkenalkan Arif sebagai teman yang boleh dipercayai.
"Ayah.... Ayu nak tunggu habis belajar dulu baru nak fikir tentang semua tu."
Dan perbualan malam itu ditamatkan dengan pesanan, jaga diri, jaga solat dan jaga maruah. Pesanan terakhir pastinya.
"Sekarang dah pandai bawa jantan balik kampung, ya?" Suara sinis yang menerjah telinga menghentikan lamunan Riana. Kepala perlahan diangkat.
Zarul sudah tercegat di depannya. Awal pagi sudah menyinis.
Balik dari kubur tadi, Riana hanya duduk di belakang rumah untuk mencari tenang. Tapi, adanya lelaki ini, mana mungkin akan ada makna tenang.
"Kau nak apa?"
"Aku nak kau suruh jantan tu pergi dari rumah ni hari ni juga!"
Riana ketap bibir. Memanglah dia tak suruh pun Arif hantar dia sampai ke kampung. Tapi kalau Arif tak hantar, tak mungkin dia sempat tiba di sini malam tadi. Dan kalau dia tak sampai, haruslah jenazah ayah terpaksa ditangguh pengebumiannya.
Jadinya, dia harus berterima kasih juga pada Arif, bukan menghalau.
Memanglah dia tak alu-alukan kedatangan Arif. Semalam pun dia tak tahu lelaki tu tidur di mana kerana dia sendiri pun langsung tak tidur. Tapi bagi buta dia sudah nampak Arif ada di dapur rumah menghadap sarapan yang ibu sediakan.
"Kau dengar tak apa aku cakap?"
"Dia tetamu aku...."
"Tapi aku tak suka!"
Dada Riana mula turun naik. Bergaduh dengan Zarul memang sudah menjadi rutin. Tapi untuk kali ni, dia bagai hampir hilang sabar.
"Rumah ni rumah arwah ayah aku. Jadinya, aku tak perlu jelaskan pada kau siapa yang lebih berhak." Bukan mahu berlagak tapi dengan Zarul ni memang tak boleh nak bagi muka.
"Oh! Kau tak tahu, ya?" Zarul gelak kuat, macam orang kurang siuman pula gayanya.
"Ayah kau dah tukar nama ibu aku sebagai pemilik rumah dan tanah tapak rumah ni. Nama kau cuma ada pada tanah kebun sekangkang kera kat hujung sana tu aje."
YOU ARE READING
MERAH CINTA DIA
RomanceNikah kahwin bukan perkara main-main. Dan Riana serius bila dia kata sudah bersedia menerima Arif sebagai imamnya. "Kalau nak nikah senyap-senyap, kena nikah kat Siam." Arif menduga. "Okey! saya tak kisah." Mudah Riana bersetuju. Arif berfikir se...