DIA tidak mahu menangis tapi air mata tetap juga degil mahu keluar.
"Jangan jadi lemah sebab ujian. Tuhan hantar ujian pada hambanya untuk menguji kekuatan dan jadilah orang yang kuat kerana ujian." Suara orang di sebelah buat Riana malu pada diri sendiri.
Betullah! Dia selalu lemah bila berdepan dengan ujian. Seharusnya, ujian mengajar dia untuk jadi lebih kuat.
Tangan naik menyapu pipi yang basah. Kepala perlahan menoleh ke kanan dan saat yang sama, orang sebelah juga menoleh. Tak lama, cuma sekilas tapi sinar mata yang menyatu sudah mampu buat hatinya bergetar.
"Terima kasih." Terbit perkataan itu dari bibir Riana.
Si dia senyum dengan pandangan fokus pada pemanduan.
"Saya akan terima kasih awak jika awak sudi jadi kekasih saya."
Badan Riana terus menegak, tak berani untuk menoleh.
Kalau tadi bila Zarul ajak dia kahwin, kenapa dia tak rasa apa-apa? Malah rasa marah dan benci saja yang muncul.
Tapi kenapa saat ini, bila Arif menawarkan untuk menjadi kekasih, hatinya bagai dihujani rasa yang indah-indah? Walhal, Arif belum tentu serius atau hanya sekadar mahu menghiburkan hatinya yang sedang bersedih.
Tadi, ketika dia mengambil keputusan untuk mengikut Arif pulang ke kolej, Zarul sampai merayu mahu dia tinggal lebih lama dan akan menghantar dia pulang ke kolej. Tapi, yang dia rasa cuma mahu cepat-cepat keluar dari rumah itu?
Kenapa pula saat ini, hanya bersama Arif di dalam kereta, hatinya meminta agar perjalanan pulang ke kolej menjadi lebih panjang?
Duhai hati, janganlah macam-macam begini. Kita belum kenal siapa sebenarnya lelaki yang bernama Arif Zafuan ini?
"Kenapa diam?"
"Nak saya cakap apa?"
"Cakaplah yang awak sudi jadi kekasih saya."
"Itu dah kira kes memaksa."
Arif gelak perlahan. Suka bila Riana sudah boleh dibawa berbicara. Tapi yang benar, dia serius mahu Riana menjadi kekasihnya. Menjadi teman untuk dia sayangi dan lindungi.
Tiba-tiba kedengaran Riana mengeluh panjang.
"Keluhkan apa lagi?"
Riana tidak menjawah. Cuma diam tanpa suara. Yang sebenarnya, dia tak tahu bagaimana mahu luahkan apa yang berkecamuk dalam fikirannya.
"Tahu tak, Tuhan tak suka hambanya yang suka mengeluh bila berdepan dengan ujian?"
"Tahuu....Tapi...." Nafas Riana tarik panjang.
"Entahlah! Ujian ni, bebannya terlalu berat untuk saya pikul. Lepas ni, saya kena fikir untuk cari kerja, tangguhkan pengajian dulu dan kumpul duit. Lepas tu..."
"Jangan tangguh. Teruskan dan saya akan tanggung semua kos."
Selaju kilat, kepala Riana berpusing ke sebelah. Dia silap dengar ke?
Kelihatan si dia yang sedang memandu mengangguk kepala dengan wajah serius.
"Saya serius. Awak tak perlu cari kerja. Tumpukan pada study dan jangan risau tentang duit."
"Awak ada banyak duit ke?" Riana pandang Arif atas bawah. Macam tak mahu percaya dengan apa yang dia dengar.
Sebabnya, lelaki ni pun student juga dan jika dinamakan pelajar, haruslah duit pun dari ehsan orang tua. Lainlah kalau keturunan kaya raya yang lahir atas duit.
Tapi tengok gaya, lelaki ni macam biasa-biasa saja. Jeans lusuh, kemeja pun tak tahu jenama apa. Kaki pun berselipar jepun saja.
Dengan kereta lagi, dengan kos pengajian lagi, Riana tak percaya yang lelaki ini mampu tanggung dia untuk meneruskan pengajian.
Mendengar soalan gaya begitu dari Riana, Arif senyum senget. Tahu yang Riana pasti tak percayakannya.
"Kalau awak tak percaya yang saya ada banyak duit, cukuplah yang awak percaya saya serius dan saya mampu. Lainnya, awak tak perlu fikir."
"Awak ni sebenarnya pelajar juga ke atau..."
"Kalau saya kata saya tukang kebun kat UPM tu, awak nak ke jadi kekasih saya?" Arif gelak-gelak.
"Kenapa awak tak cakap yang awak ni pemandu bas UPM? Senang sikit saya tak payah jalan kaki jauh."
Makin galak Arif ketawa mendengar ayat balas Riana.
"Kalau bukan pemandu bas pun, satria saya ni boleh aje bawa awak ke mana-mana yang awak nak pergi."
Riana tak membalas. Terus diam. Tapi, otaknya tak henti berfikir, siapa sebenarnya lelaki di sebelahnya ini? Dan kenapa dia begitu cepat percayakan lelaki ini sedang selama ini, dia memang sudah nak percaya orang?
Kenapa dia juga senang berbicara dengan lelaki ini walau baru beberapa kali jumpa sedangkan selama ini, dia sangat kedekut bicara kecuali dengan orang yang betul-betul dia dah lama kenal?
"Saya serius dengan apa yang saya cakap tadi." Itu ayat yang Arif luahkan ketika menghantar Riana sampai ke depan kolej.
"Serius untuk yang mana satu? Tukang kebun? Banyak duit? Atau...."
"Jadi kekasih saya dan saya tanggung semua kos belajar awak." Arif memintas.
"Maknanya, saya PERLU jadi kekasih awak dan awak akan tanggung kos pengajian saya, begitu?" Riana tekankan perkataan perlu.
Perlu itu maksudnya wajib. Maknanya, nak atau tak nak, dia harus menjadi kekasih lelaki ini jika mahu teruskan pengajian dan ditanggung.
"Kekasih dan perempuan simpanan tu, tak sama kan? Atau awak maksudkan sama?" Soalan ditanya lagi.
Yalah! Siapa yang nak labur duit secara percuma kan? Haruslah ada ganjarannya. Tapi, Arif perlu tahu, dia bukan perempuan yang mudah untuk dibeli dengan wang ringgit.
Arif gelak mendengar soalan demi soalan dari Riana. Boleh tahan juga bila bertanya. Nampak gaya masa mula-mula jumpa macam berat mulut saja. Yalah, Riana kan terkenal dengan minah kutub di kalangan kawan-kawannya sebab susah nak senyum dan susah nak bercakap.
"Macam nilah..." Wajah si gadis dipandang tepat.
"Kalau awak takut saya nak jadikan awak perempuan simpanan. Apa kata awak jadi isteri saya terus. Kos belajar saya tanggung, elaun bulanan saya bagi. Minta apa saja jika saya mampu, saya bagi. Mahu?"Arif angkat-angkat kening
Dan, Riana terus jadi patung. Tiba-tiba saja dia rasa degup jantungnya jadi laju. Kenapa rasanya jadi berbeza bila Arif sebut perkataan isteri? Walhal masa Zarul sebut dia tak rasa apa-apa pun?
"Bye..Assalamualaikum..." Arif lambai tangan dan terus masuk ke dalam kereta.
Sehingga satria merah sudah hilang dari pandangan, Riana masih berdiri tegak di situ.
YOU ARE READING
MERAH CINTA DIA
RomanceNikah kahwin bukan perkara main-main. Dan Riana serius bila dia kata sudah bersedia menerima Arif sebagai imamnya. "Kalau nak nikah senyap-senyap, kena nikah kat Siam." Arif menduga. "Okey! saya tak kisah." Mudah Riana bersetuju. Arif berfikir se...