Bab 1

2.6K 43 1
                                    


ANGIN bertiup lembut pada malam itu. Namun, kedinginan malam tetap saja mampu menggetarkan mereka yang masih berembun di luar. Sesekali kedengaran cengkerik berbunyi di kiri dan kanan jalan yang sunyi. Seakan-akan saling berlumba untuk menjulang gelaran juara di malam hari.

Kelihatan sebuah teksi sedang dipandu perlahan melalui sebatang jalan di hadapan sebuah kawasan perumahan. Halim sempat menjeling deretan rumah di kawasan perumahan itu yang sedang dilaluinya kini. Pandangannya berubah pula kepada jam digital di dalam teksi yang memaparkan pukul 11.55 malam. Dadanya berdebar tiba-tiba apabila mengenangkan sebuah rumah banglo di pinggir jalan yang terletak hampir 300 meter di hadapan.

Halim menekan satu suis. Alunan lagu daripada radio yang tadinya perlahan kedengaran menjadi halwa telinga, mulai kuat berkumandang di dalam teksinya kini.

"Ehem! Ehem!" Halim berdeham sekali dua untuk mengusir rasa debar yang semakin menebal dalam hati. Rasa takut yang hadir cuba dikawal. Teksi terus dipandu sebaik yang mungkin.

Sara yang berada di tempat duduk belakang teksi itu menjeling sekali lalu tingkah si pemandu.

"Macam-macam," bisik Sara perlahan. Agaknya pemandu ini takut kerana terpaksa menghantarnya ke rumah banglo itu? Sudahlah di perhentian teksi di pekan tadi tiada sesiapa yang sudi menghantarnya ke situ. Rata-rata pemandu teksi yang ditemuinya semuanya memberikan jawapan yang negatif.

"Ehem!"

Halim berdeham lagi. Kali ini lebih kuat daripada yang tadi. Entah kenapa terasa dingin tiba-tiba. Terasa bulu romanya tegak berdiri. Terasa bagaikan ada mata yang sedang memerhati. Jantungnya pula semakin kuat berdegup. Rasa takut semakin kuat mencengkam apabila pintu pagar rumah banglo itu sudah kelihatan di pandangan mata.

"Abang takut ke?" tegur Sara sambil berkerut dahi. Soalannya tidak berbalas. Kerutan di dahi semakin menambah. Sara mula menjengah ke luar tingkap teksi memerhati rumah banglo yang menjadi destinasinya. Hanya bumbung rumah banglo itu sahaja yang kelihatan dari luar. Dinding batu tinggi yang dihiasi lampu-lampu yang cantik menyala, teguh memagari di sekeliling kawasan rumah tersebut.

Teksi yang dipandu Halim mula terhenti tanpa sebarang sebab. Tanpa sebarang amaran awal. Hentinya betul-betul di hadapan pintu pagar rumah banglo tersebut. Halim menelan liur. Dia yang tadinya tenang mulai menggigil sedikit. Kedua-dua tangannya masih kemas menggenggam stereng kereta.

"Ya Allah..." Halim merintih perlahan. Matanya sedikit terjegil apabila memerhati ke arah pintu pagar rumah banglo itu. Ketakutan semakin menebal mencengkam diri. Dia mula kelam-kabut cuba menghidupkan semula enjin kereta dengan tangan yang terketar-ketar.

"Waktu-waktu ni juga kau nak buat perangai, kan?!" Halim menjerkah dek hilang sabar setelah beberapa kali mencuba untuk menghidupkan enjin keretanya, namun masih lagi gagal. Di antara sabar yang kian menipis dan takut yang kian menebal, dia lebih berasa takut di saat ini.

"Tak apa abang. Memang inilah rumahnya yang saya cakap tadi. Berapa ringgit abang tambangnya?" Sara mula melepaskan soalan.

Halim tidak mengendahkan. Tangannya terus memulas kunci kereta berulang kali.

"Abang? Berapa ringgit?" tegur Sara lagi setelah soalannya masih lagi tidak berjawab. Dia terus memerhati tingkah Halim. Sesekali kepalanya menggeleng perlahan. Pandangannya ditala semula kepada rumah banglo yang terletak di pinggir jalan itu.

Pelik-pelik orang kat sini. Sudahlah tadi di stesyen teksi tiada sesiapa yang sudi menghantarnya ke rumah banglo ini dan sekarang, si pemandu teksi ini pula takut semacam dengan rumah banglo ini. Kenapa ya? Sara terus berbicara dalam diam.

Orang GajiWhere stories live. Discover now