Part 21

37 0 0
                                    

Diperhatikan jam, telah masuk waktu solat fardhu zuhur sepuluh minit lalu. Gelisah Haji Zain tidak dapat memenuhi perintah Allah pada awal waktu. Badan dan pakaiannya tidak suci, darah kotor datang dari makhluk berbulu menyelaputi tubuhnya. Jika diikutkan hendak sahaja dia ke bilik mandi membersihkan diri tetapi dikenangkan darah yang terlekat darah kotor, Haji Zain membatalkan niatnya. Khuatir jika tidak melalui saluran yang betul bakal mengundang sesuatu. Boleh sahaja dia berjalan pulang sendiri namun kasihan hendak ditinggalkan Ustaz Basir sendirian. Mundar mandir, Haji Zain menanti kedatangan anak sulungnya, Ustaz Baharin. Pintu rumah dibuka seluasnya. Ustaz Basir semakin lama semakin lemah, tersandar atas kerusi. Dalam keresahan, akhirnya Ustaz Baharin tiba bersama Rizzman. Rizzman berkeras untuk mengikut, tiada apa yang mampu menghalangnya. Mujurlah datangnya mereka bersama kereta, memudahkan urusan membawa pulang Ustaz Basir.

Ustaz Baharin meluru ke arah Haji Zain, disangka ayahnya cedera parah, resah wajahnya, tanda tanda untuk tewas berair mata mula terbit. 'Jangan pegang.. bukan darah aku.. darah kotor' beritahu Haji Zain sejurus mengelak. 'Tolong papahkan Ustaz Basir.. bawa dia pulang.. jangan bawa masuk.. alaskan daun pisang di halaman rumah.. baringkan dia.. faham?' sambung Haji Zain memberi arahan. Dipapah Ustaz Basir di kiri dan kanan, ringan badannya meskipun berperut sedikit buncit. Rizzman menutup hidung, bau darah di dalam rumah busuk bukan kepalang. 'Pakcik bagaimana?' tanya Rizzman kepada Haji Zain. 'Kalian pulang dulu.. aku selesa berjalan kaki' jawab Haji Zain. Ditutup rapat pintu rumah, petang ini mereka wajib membersihkan sisa di dalam rumah. Tidak mahu dihalau dua, datangnya segerombolan. Terik selepas hujan, perjalanan Haji Zain tidak ditegur orang kampung. Mereka sekadar melihat.

'Bawakan aku kain pelikat..' pinta Haji Zain. Mereka berempat selamat tiba. Telefon Rizzman berdering, majikannya meminta dia untuk kembali bekerja esok. 'Ya.. ya.. baiklah bos' bicara Rizzman, adat orang makan gaji wajib menurut. Haji Zain meminta dia dan Ustaz Basir dimandikan dengan air campuran tujuh biji perahan limau nipis. Sambil berbaring di atas daun pisang, Ustaz Baharin meratakam air pada tubuh Ustaz Basir terlebih dahulu kemudian barulah tubuh ayahnya. Baju yang diselaputi darah diminta Haji Zain untuk dibakar, Ustaz Baharin melaksanakan tanpa banyak soal. Tubuh kering Haji Zain tidak bertutup hanya sekadar berkain pelikat menutupi pusat, Ustaz Basir dipapah naik dalam keadaan pakaiannya serba serbi basah. 'Yang perempuan sila ke dapur..' suruh Haji Zain. 'Mak kamu dan Zaiton kemana?' soal Haji Zain, sejak dia pulang tidak kelihatan kelibat isterinya.

'Mak masuk wad.. risau memikirkan abah.. darah tingginya naik mendadak.. makcik Zaiton temankan mak..' Ustaz Baharin memperjelaskan keberadaan ibunya dan Zaiton. 'Haih.. mak kamu tu.. berapa kali dah aku pesan..' Haji Zain tidak menghabiskan kata katanya, hatinya tidak senang mendengar berita tersebut. 'Nanti petang bawa aku ke hospital.. bagi aku selesaikan Ustaz Basir dulu..' sambung Haji Zain. Dibaringkan Ustaz Zain menghadap ke arah kiblat dibantu Ustaz Baharin. Ditekan ibu jari kaki sebelah kanan Ustaz Basir, terjaga Ustaz Basir, kelihatannya sedikit terkejut. Matanya celik, mulutnya dikunci, menyimpan tenaga. Haji Zain bangkit dari silanya, diurut urut bahu Ustaz Basir. Tidak semena mena didudukan Ustaz Basir dengan cara yang kasar. Menjerit Ustaz Basir dibuatnya, sakit sememangnya sakit tetapi setidaknya telah memulihkan struktur tulangnya. Bukan sebarangan, ada bacaan yang tersendiri. Jika tidak berilmu, jangan berani dicuba, tambah sakit dari sihat. Ustaz Basir sudah boleh mengerakkan tangan dan kaki cuma belum mampu berdiri. Disandarkan tubuh Ustaz Basir. 'Terima kasih Zain' ucap Ustaz Basir. 'Sama sama.. aku nak ke hospital jenguk si Milah.. macam macam hal pula' keluh Haji Zain, dia mengenakan pakaian sehari harinya.

'Baharin.. nanti kamu sediakan air mutlak setempayan.. kamu perahkan tiga puluh tiga biji limau nipis kedalamnya lepas tu tutup elok elok.. tunggu sampai aku balik' perintah Haji Zain. Seperti biasa, Ustaz Baharin akan memenuhi arahan ayahnya itu. 'Rizzman tolong hantarkan pakcik ke hospital boleh?' tanya Haji Zain, meskipun dia tahu Rizzman tidak akan menolak tetapi bertanya terlebih dahulu lebih baik.

Setengah jam lagi, azan asar akan berkumandang. Haji Zain dan Rizzman telah jauh meninggalkan rumah menuju ke hospital yang terletak di kampung sebelah, satu satunya hospital yang terdapat disitu. Sebuah hospital dikongsi tiga buah perkampungan. Suri dan Dr. Sayrah ke dapur menyediakan minum petang, Syikin lena tidurnya. Abdul Halim sudah merebahkan badan, beralaskan lengan dia tidur berhampiran Syikin. Ustaz Basir masih tersandar, badannya mula rimas dengan pakaian basah tetapi apakan daya, hendak bangun pun payah. Jika dipaksa tubuh yang dimamah usia  itu, khuatir lebih lama sakit bertapa dalam tubuh.

'Jemput minum..' pelawa Dr. Sayrah. Diletakkan dulang berisi teh panas dan cucur manis dihadapan Ustaz Basir. 'Terima kasih nak.. bukan pakcik tak sudi cuma makanan sebegini boleh melambatkan proses pemulihan pakcik.. boleh pakcik dapatkan segelas air suam?' Ustaz Basir menolak lembut, bukan dirinya tidak minum teh atau tidak menjamah cucur cuma adakalanya gula membinasakan, lebih baik dijauhkan adakalanya. Kebetulan Suri berada berdekatan, terdengar akan permintaan Ustaz Basir. Segera dia ke dapur mengambil segelas air suam, terus bergerak ke ruang tamu. Diserahkan kepada Ustaz Basir. Diteguk perlahan, penuh dengan adab.

Abdul Halim menjerit, mengeliat tubuh. 'Panas! Panas! Panas!' jeritnya berulang kali. Berlari Dr. Sayrah mendapatkan ayahnya. Ustaz Basir bingkas bangun memaksa diri, Abdul Halim memerlukannya. Melompat dia ke arah Abdul Halim, tidak lepas gelas di tangannya berbaki separuh lagi. Dibaca Ayat Kursi, ditiup pada air, disimbah pada belakang tubuh Abdul Halim. Secara kasarnya, tiada sebarang kecelakaan pada baju. Ustaz Basir merentap baju Abdul Halim. Terserlah kesan terbakar, berair lecurnya.

Sayrah IIWhere stories live. Discover now