BAB 8

1.3K 68 14
                                    



"ADAM..."

Sayup-sayup suara perempuan memanggil namanya.

Adam Raiqal terjaga dari tidur.

"Adam..."

Bayangan seorang perempuan berdiri di hadapan pintu biliknya itu. Mata Adam Raiqal tidak berkedip melihat wajah bayangan perempuan itu.

"Anna..." Bayangan perempuan menyerupai arwah kekasihnya Anna Safiya. Adam Raiqal seperti dipukau. Wajah orang yang dirindui berada di depan mata. Perempuan itu menguntum senyuman nipis.

Dia bingkas bangun menuruni katil. Perempuan itu menarik tangannya menembusi pintu bilik.

Adam Raiqal terus melangkah membuntuti perempuan itu. Hala tujunya tidak diketahui. Adam Raiqal terus berjalan dan berjalan sehinggalah dia berada di dalam sebuah bilik yang sangat gelap. Tiba-tiba dia berada di sebuah rumah agam yang tidak diketahui. Perempuan yang menyerupai Anna Safiya itu sudah tidak kelihatan.

Liar matanya melihat sekeliling. Dia mengaturkan langkah. Dan dia berada di depan pintu sebuah bilik di ruang bawah. Dia menolak daun pintu bilik berkenaan. Kelihatan seorang wanita tua yang sedang mengukir patung sebesar tubuh manusia di dalam sebuah bilik yang hanya diterangi cahaya mentol. Bibir wanita tua itu seperti sedang terkumat-kamit membaca sesuatu ayat yang sukar untuk difahami. Seperti potongan ayat-ayat mentera.

Ukiran-ukiran patung itu begitu realistik di mata Adam Raiqal. Suara jerit-pekik di dalam bilik itu menyakitkan deria pendengaran Adam Raiqal. Wanita tua yang tekun menghadap ukiran patung berhenti dari meneruskan kerjanya.

Wanita tua itu seakan menyedari ada tetamu tidak diundang bilik kerjanya itu. Dia mengalihkan kepala pada Adam Raiqal, mata mereka bertaut. Wanita tua itu menyeringai garang ke arahnya. Bau busuk seperti bau bangkai menusuk ke lubang hidung Adam Raiqal.

Tubuhnya seakan kaku. Sekelip mata wanita tua itu berada di depan matanya. Menyeringai garang. Kedua belah bahunya dicengkam oleh jemari yang berkuku runcing dan tirus itu.

"Anak perempuan aku sedang menunggu kamu. He...he...he..." Tawanya terkekek-kekek.

Muncul patung cantik berhias dengan berkebaya labuh putih di sebelah wanita tua itu. Patung itu melirik senyuman yang sudah cukup meremangkan bulu roma Adam Raiqal. Patung itu kelihatan mula menggerak-gerakkan tubuhnya. Kedua belah tangan patung itu sudah memeluk lengan Adam Raiqal. Patung-patung yang masih tidak berupa bentuk mengerumuninya. Adam Raiqal ternggelam di dalam timbunan patung-patung tersebut.

Aarghhhhhh!

"Adam... Adam..." Tubuhnya digoncangkan dengan kuat.

Adam Raiqal membuka matanya.

Mak Wan dan Ziyad berada di sampingnya. Bajunya sudah lencun bermandikan peluh. Dia memandang sekeliling. Jeritannya tadi telah mengejutkan Mak Wan dan Ziyad.

Adam Raiqal meraup mukanya berkali-kali.

Astagfirullahalazim... dia bermimpi.

"Kamu tak apa-apa?" tanya Mak Wan lembut. Bimbang pula hatinya bila melihat Adam Raiqal meracau-racau dalam tidurnya.

"Saya cuma bermimpi ngeri, Mak Wan." Adam Raiqal membalas. Tidak diceritakan tentang mimpi anehnya itu kepada Mak Wan.

"Kamu pergi mandi. Bersihkan badan kamu tu. Kamu belum solat Isyak lagi kan? Lepas tu buat solat Tahajjud sekali. Sebelum tidur baca doa tidur dulu. Insya-ALLAH kamu terhindar dari mimpi-mimpi mainan syaitan." nasihat Mak Wan.

"Terima kasih Mak Wan." ucapnya.

"Mak Wan dengan Ziyad keluar dulu."

Adam Raiqal menganggukkan kepalanya.

Pintu bilik itu ditutup semula. Adam Raiqal cuba mengingati mimpinya semula. Dia bermimpikan seorang wanita tua, mannequin dan juga arwah Anna Safiya. Petanda apakah itu?

Esok... esok dia akan mencari Bella.


SEBUAH album lama digapai. Adam Raiqal membelek album lama itu. Wajah ibu yang dirindui. Ibu meninggal dunia ketika dia masih kecil. Usianya ketika itu baru berusia 7 tahun. Jasad ibu ditemui dalam keadaan kulit yang bersiat. Dia meraung-raung memeluk jasad ibunya yang tidak bernyawa. Orang sekeliling mengatakan ibunya dibunuh oleh orang yang berdendam dengan keluarga mereka. Siapa? Dia tidak tahu.

"Saya tak main anak patung. Saya budak lelakilah." ujarnya pada wanita cantik depan matanya itu. Wanita itu menghulurkan sebuah patung badut.

Dia menolak pemberian wanita itu lalu berlari pulang ke rumah yang berdekatan kawasan permainan yang menjadi lokasi budak-budak kampung itu bermain. Tambah pula ibunya sudah berpesan agar tidak menerima apa-apa pemberian dari orang yang tidak dikenali. Sehari selepas itu ibunya hilang dan ditemui mati. Kemudian ayahnya membawa mereka berpindah di kota dan berkahwin dengan ibu Melissa.

Otaknya tidak dapat mengimbas semula wajah wanita itu dengan jelas. Pelik. Memorinya seperti terpadam dengan sendiri. Album gambar itu disimpan semula ke dalam laci. Dia sudah bersiap-siap untuk keluar.

"Adam... mari kita bersarapan sama," panggil Mak Wan sebaik melihat lelaki itu berada di hujung tangga.

Adam Raiqal teruk menapak ke meja makan. Bau nasi lemak yang masih panas itu cukup buat air liurnya kecur. Lantas kerusi segera ditarik. Ziyad sudah bersendawa kekenyangan.

"Rindu benar saya dengan nasi lemak Mak Wan. Nasi lemak di luar tu lebih mementingkan keuntungan dari keaslian rasanya."

"Terima kasih, Adam. resipi nasi lemak ni pun Mak Wan belajar dari arwah opah kamu dulu."

"Saya tak berpeluang berjumpa dengan opah. ALLAH lebih menyayanginya."

Mak Wan memahami apa yang Adam Raiqal rasai. Kehilangan demi kehilangan menimpa keluarga lelaki itu. Hanya Adam Raiqal waris tunggal yang tinggal. Arwah datuk hanya dua beradik. Lebih menyedihkan bapa saudara Adam Raiqal meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri yang mengorbankan seluruh ahli keluarganya.

"Adam... kamu tak nak jenguk ke rumah lama kamu di sana?" soal Mak Wan tiba-tiba.

Adam Raiqal berhenti menyuap. Rumah itu banyak kenangannya. Tempat dia dilahir namun meninggalkan cerita pahit. Adam Raiqal ingin membuka mulut tetapi bunyi telefon bimbit di dalam kocek seluar telah mematikan niatnya. Dia segera menjawab panggilan tersebut.

"Emmm... baiklah. Aku akan ke sana."

Adam Raiqal menghabiskan nasi lemak yang masih berbaki. Air teh yang sudah suam itu dihirup perlahan.

"Mak Wan saya nak keluar sebentar. Saya mahu bertemu dengan Bella."

"Kamu nak cari Bella?"

"Saya rasa tak sedap hati Mak Wan. Saya tak boleh duduk diam menunggu berita tentang Melissa."

Helaan nafas dibebaskan.

"Hati-hati..." pesan ringkas dari Mak Wan.

Bersambung...

*Karya ini telah diterbitkan menjadi naskah novel. Boleh layari mall.karangkraf.com untuk membuat pesanan ;)

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 12, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

MANNEQUINWhere stories live. Discover now