Damansara|2016, Ditemani Alunan "Sampai Jadi Debu" from Banda Neira
Aku berjalan ke arah ruang kosong di beranda besar tepi lapangan terbang. Tempat ramai orang berkumpul menunggu masa untuk berlepas atau menunggu orang yang tersayang pulang dari percutian. Tempat yang aku kira paling bermakna di situ dengan pelbagai macam perasaan yang tertanam menjadi memori. Tempat kegemaran aku; dan aku pasti antara tempat kegemaran dia dengan alasan yang berlainan.
Dia ikut sama di belakang ku kemudian perlahan duduk bersila. Malam itu dia agak senyap berbanding masa masa sebelum ni. Dia tak berapa sihat tapi dia gagahkan diri juga menemani aku mengharung malam yang aku kira antara malam paling menyedihkan dalam hidup. Itu antara perkara yang membuatkan aku sayang pada dia; sepertinya ada seseorang yang hanya mahu mendengar, memahami dan meletakkan perasaaan yang lain dulu sebelum perasaan dirinya sendiri.
Dia ambil air mineral dari dalam beg dan dia buka penutupnya. Perlahan dia teguk, kemudian dia hulurkan sebotol dari dalam begnya kepadaku sambil tersenyum. Aku capai dan letak di tepi lunjuran kaki ku. Aku ambil getah di pergelangan tangan, menyanggul rambut dan terus memandang ke hadapan.
Ada dataran berlampu biru dan hijau; mengerlip sepanjang laluan kapal terbang berlepas. Ia kelihatan seperti angkasa yang dihiris leper dan dibentangkan menjadi karpet; cantiknya sampai aku lupa kemuraman aku sebentar tadi. Di sebelah pula kapal terbang berderet menunggu masa untuk terbang. Ada kenderaan yang kebiasaannya digunakan untuk mengangkat bagasi bergerak ke sana ke mari; tapi tiada apa apa di belakangnya. Mungkin pekerja baru selesai mengisi bagasi ke dalam kapal terbang atau tiada kapal terbang yang baru berlabuh.
Pandanganku beralih ke sepanjang beranda itu. Ada yang mengambil gambar sendiri dengan telefon bimbit, ada yang bergerak tawa dengan rakan-rakan, ada yang duduk menyandar ke bagasi yang diletakkan di dinding dan ada yang berjalan-jalan melihat langit. Semuanya seakan-akan senyap; fikiranku seperti mematikan bunyi dan hanya menangkap pergerakan mereka.
Dia melapikkan kepalanya dengan beg dan perlahan berbaring; kemudian dia tutup matanya. Pipi dan hidungnya merah, seperti kepanasan dari dalam badan. Aku datang rapat dan aku letakkan tangan di dahi kemudian pipinya. Aku kira kalau terlampau panas mungkin aku ajak saja dia pulang. Namun wajahnya masih kelihatan tenang, dan perlahan dia buka matanya sambil tersenyum. Perlahan dia alihkan kepalanya di paha ku dan letakkan tangannya di tanganku yang masih terletak di pipinya. Dia tutup mata kembali; nafasnya turun naik perlahan; setenang-tenang angin malam yang meniup wajah aku malam itu.
Aku mengusap pipinya perlahan kemudian aku ambil tapak tangannya dan melukis bentuk sebutir bintang; tanda aku mahu dia berehat dan tidur. Dia hanya tersenyum dan mengangguk.
Aku kembali memandang dataran.
Aku mula berfikir tentang perkara yang mahu aku lakukan tahun depan; terlampau banyak tapi saat ini, mereka seperti polaroid yang belum siap. Masih kabur.
Dan anehnya, aku dapat menerima kekaburan seperti itu sekarang.
Sesuatu yang bertentangan dengan perangai aku sebelum ni yang tak sabar mahu menuju masa hadapan. Semua perkara perlu berada dalam perancangan dan kawalan dan kalau ia tak menjadi seperti apa yang aku mahu, fikiranku pasti runsing.
Kali ni tidak.
Aku seperti selesa dengan keadaan itu; dengan kewujudan dia yang tiba tiba ada; dengan kemungkinan yang tahun tahun selepas ni kewujudan dia mungkin beransur hilang.
Selesa dengan keadaan senyap seperti itu walaupun kebiasaannya aku memilih kata kata untuk mengisi masa antara aku dan orang lain. Rasanya seperti tiada masa yang terbuang dan setiap saat sunyi bermakna sesuatu yang memenuhi ruang kosong di celah-celah keberadaan aku dan dia.
Rasanya seperti kemungkinan kemungkinan tak lagi menakutkan aku tetapi membuatkan aku bersyukur yang aku telah berjumpa dengan dia; untuk aku ambil menjadi sesuatu yang dapat aku simpan dalam memori.
Memori yang aku pahatkan bersama beribu memori lain di situ; memori yang masih akan berlegar di situ dan takkan hilang, walaupun selepas aku dan dia sudah tiada mendebu ke angkasa.
YOU ARE READING
Si Romantik Yang Sudah Mati [Published]
Short StoryKita bertemu dengan seorang wanita, dia pencerita dan dia tidak memberitahu kita namanya. Dia membawa kita ke seluruh dunia, mengenalkan kita kepada watak-watak yang dia temui sepanjang kembaranya, ceritanya melankolik, tapi tidak pernah sentimental...