Setinggi-tinggi Langit

1.5K 23 2
                                    

Sydney | 2015, Ditemani alunan "I'll Be Good" hasil Jaymes Young

Aku buka pili air. Merah, biru, merah, biru. Aku laraskan pili merah lebih seratus lapan puluh darjah. Pili biru hanya empat puluh lima darjah. Rambut aku tocangkan supaya tidak kebasahan. Aneh. Air panas menggigit gigit kulit tapi masih tak cukup suam. Berasap keluar dari tingkap yang aku biar terlapang.

Selesai berus gigi, aku kuak pintu----keluar menggeletar. Sejuk benar pagi itu. Aku buka telefon lihat laporan ramal cuaca. Katanya hari ini antara hari yang paling sejuk sepanjang bulan. Aku buka almari dan belek baju konti hari ini. Skarf hijau jade, jeans biru muda sedikit koyak di lutut dan jaket kulit coklat untuk rakaman di muzium hari ini.

Aku belek skrip yang tersedia untukku. Tugas hari ini mudah. Hanya berjalan-jalan, membebel-bebel tentang seni-seni lukisan yang aku tak faham lansung tapi buat buat faham. Tak perlu panjat gunung atau menyelam dalam tangki yang yang penuh berisi jerung-jerung.

Aku keluar dari hotel seawal boleh. Langit masih gelap kebiruan. Cuaca sejuk mencucuk tulang-temulang. Kulit pun membeku dengan cepat. Aku keluarkan topi dari dalam poket jaket dan tutup kedua belah telinga dengan rambut terurai panjang kebelakang.

Sepanjang jalan basah dek hujan subuh tadi. Matahari pun kelihatannya masih malu-malu untuk keluar. Aku perhati bas yang lalu lalang. Kemudian terdengar bunyi mesej masuk. Aku buka. Terpapar nama kau yang perlahan-lahan cuba aku lupakan. Kau hantar lagu lagu yang biasa kau nyanyikan dulu padaku. Aku biarkan bertanda biru. Teragak-agak mahu balas. Akhirnya tidak terbalas juga.

Bukan kerana kau tak layak dibalas. Tapi aku sendiri yang tak dapat lupakan kesalahan-kesalahan aku yang lalu. Aku kesiankan kau yang terlampau baik melayan kerenah aku yang entah apa apa. Kau tahu aku tak suka mengaku salah dan aku selalu harap kau sendiri faham tanpa perlu aku atur ayat maaf sedikit pun. Dan kau sentiasa sabar, sabar dan akhirnya tak sabar.

Sampai hari aku pulang dengar cerita yang kau sudah bersama yang lain, penat dengan ego aku yang tingginya lagi tinggi dari langit.

Si Romantik Yang Sudah Mati [Published]Where stories live. Discover now