"Abang nak makan dulu ke?"tanya Sofea sebaik sahaja aku turun ke dapur. Perut dah berbunyi minta diisi. Tambah pula bau masakan isteri, perut tak lapar pun jadi berbunyi.
"Bolehlah. Kejap lagi abang nak pergi cari barang-barang nak niaga petang ni. Fea dah makan ke belum ni?"
Sofea mengelap tangannya menggunakan tuala kecil lalu pinggan disusun ke atas rak. Mangkuk yang berisi nasi goreng dibawa ke meja.
"Macam manalah Fea nak makan kalau abang tak ada depan Fea. Tak lalu jadinya,"jawab Sofea bersahaja. Tangannya laju saja menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan lalu dihulurkan kepadaku.
"Amboi! Pagi-pagi dah menjual nampaknya?"usikku.
"Belajar dari siapa?"jawab Sofea. Keningnya sengaja dinaikkan. Menyakat. Kerusi ditarik lalu dia melabuh duduk di depanku.
Sofea. Isteri yang sudah hampir setahun aku nikahi. Entah macam manalah rasa sayang tu boleh ada dalam hati aku. Sudah lah Mak Yam tu garang. Boleh pula dia yang pinang aku.
Tapi kalau tak kerana dia yang datang bertanya, tak adalah bidadari cantik ni depan aku sekarang.
Tengok dia senyum, rasa macam masalah aku semua hilang. Bahagia.
"Kenyang dah ke?"tanya Sofea tiba-tiba. Nasi di dalam pinggannya dah habis. Licin.
"Kenyang apa? Abang makan pun belum, Fea dah habis makan dah?" Soalku hairan. Baru tadi dia sendukkan aku nasi. Ini nasi yang dalam pinggan dia habis dulu. Bini aku ni biar betul!
Dia berjalan ke sinki sambil menatang pinggan kosong sambil menjawab, "Fea ni, makan nasi tapi abang tu makan muka Fea. Kenyang ke tenung Fea macam nak telan tadi tu?"
Sinis betul bini aku ni!
"Tengok bini sendiri pun tak boleh ke?"
Sofea dah menjeling. Muncung tu dah boleh nak sangkut baju. Punya panjang.
"Tengok sampai nak terkeluar biji mata. Hari-hari tengok, tak puas lagi ke?"balasnya. Pili air dipulas. Tangan dicuci kemudian dia kembali duduk menemani aku makan.
"Abang ni pagi petang siang malam doa. Biarlah abang dapat tengok isteri abang selalu. Biar kasih sayang kita ni berkekalan sampai bila-bila."
Sofea tersipu sendiri. Pipinya memerah. Malu agaknya.
"Abang keluar kejap. Nanti selesai membeli, abang balik. lepas Zohor kita keluar."
Kerusi aku tolak rapat ke meja. Kunci kereta di dalam kocek aku keluarkan. Sofea mengiringi aku sampai ke muka pintu dapur. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dan aku akan mencium dahinya seperti selalu.
"Duduk rumah elok-elok. Kunci pintu semua. Phone jangan silent. Apa-aoa terus call abang."
"Iya. Fea faham. Dah hafal dah." Bibirnya dan membentuk muncung itik.
"Abang pesan sebab abang sayang!"
Aku terus berjalan ke kereta. Enjin dipanaskan seketika dan aku terus memandu ke kedai runcit yang biasa aku pergi. Sempat aku tengok jam di tangan. 9.00 pagi.
Kedai runcit masih lengang. Aku terus mengambil tepung, minyak dan beberapa keperluan lain dan membawanya ke kaunter. Setelah melunaskan bayaran, beg plastik aku bawa ke kereta dan letakkan di kerusi belakang. Elok sahaja aku masuk ke dalam kereta, sebuah motor ditunggan laju menghentam belakang kereta aku. Cepat-cepat aku keluar dari kereta.
"Sorry, bro! Sorry. Tak sengaja."
Seorang remaja berusia dalam lingkungan 16 tahun berkali-kali meminta maaf. Wajahnya menunduk. Takut barangkali.
Aku memeriksa tempat yang dilanggar. Kemek. Plat kereta juga pecah. Beratus juga terbang ni kalau nak repair.
"Bapak kau siapa?"tanyaku.
"Hussaini."
"Bagi aku nombor dia."
Aku mendial nombor yang diberi. Selepas salamku bersambut, aku menceritakan apa yang terjadi. Dia berjanji untuk datang ke kedai dan meminta aku menunggunya.
"Nama abang apa?"
"Adam."
"Adam? Nama mak abang?"
"Ani."
"Jadi abang anak Pak Long Leman?"
"Bapak kau siapa?"
"Zali. Abang anak Pak Long! Ayah saya dah lama cari abang. Dia nak sangat jumpa abang!" Bersungguh dia bercerita. Seolah-olah pencarian bapak dia penting sangat.
"Kenapa nak jumpa aku? Aku tak paham apa kau cakap ni budak. Yang aku tau, aku nak bapak kau settlekan benda ni." Mata aku menunjuk ke arah bahagian belakang kereta yang kemek.
"Tak apa. Kita tunggu bapak saya sampai. Allah bang! Abang anak Ani kan bang? Mana Mak Cik? Kenapa dia lari dulu? Kenapa dia tinggalkan kampung ni?"
Aku dah pening. Budak ni disampuk ke apa. Apa benda dia merepek? Pak Long la. Pastu cakap macam kenal mak aku. Siapa budak ni? Utusan orang ke apa?
Pagi-pagi dah bagi kepala aku pening!