Dulang berisi dua cangkir kopi Sofea letak di atas meja. Kemudian dia berlalu ke dapur dan meninggalkan aku bersama lelaki yang baru aku kenal seminggu yang lalu.
"Jemput minum bang. Air bujang je ni."
Semalam, selepas fikir semasaK-masaknya, aku jemput abang Hussaini datang ke rumah. Aku sendiri tak tahu adakah apa yang aku buat ni betul. Tapi, kalau aku pilih untuk lupakan je, hati aku sendiri tak tenang.
"Air bujang pun tak apa," kata abang Hussaini sambil meneguk air kopi perlahan.
"Bang, maaf la kalau saya nak tanya. Abang kenal mak ayah saya ke?" Tak tunggu lama, soalan yang dari malam tadi berlegar-legar dalam kepala aku luahkan.
"Lama. Lama sangat. Mak kau tak pernah cerita ke pasal aku?" Tanya abang Hussaini. Cangkir kopi diletakkan kembali ke atas piring. Dia duduk bersandar. Menanti soalan selanjutnya daripada aku agaknya.
"Tak. Hidup saya cuma saya dan mak. Tak ada ayah. Tak ada sesiapa. Saya celik mata, saya cuma ada mak."
Dada aku rasa nak pecah. Hal yang paling aku benci nak dibincangkan. Sakit. Tapi tak luka. Pedih, tapi tak ada darah.
"Aku ini adik ayah kau. Ayah kau yang bertanggungjawab sampai kau lahir. Tapi, aku rasa kau pun tahu apa yang jadi. Aku dah lama cari mak kau. Aku tau dia dah lahirkan anak. Tapi dia hilang. Puas aku tanya orang. Tak ada sesiapa yang tahu korang kat mana. Bila masa kau balik sini pun tak ada dapat khabar berita. Kalau tak sebab hal anak aku tu, sampai ke sudah aku tak jumpa kau. Aku...aku pakcik kau, Adam."
Nafas aku hela berat. Aku ada pakcik. Pakcik yang tak pernah aku tahu kewujudan dia. Aku ada saudara lain dalam kampung ini. Jauh dalam hati, aku rasa marah. Tapi nak aku hampur pada siapa? Tuhan? Kalau dulu, mungkin ya. Tapi sekarang, aku cuba untuk tidak.
"Tak apalah abang. Saya dah terima takdir hidup saya. Saya dah gembira macam ini. Apa yang jadi, itu ujian untuk saya. InsyaAllah, saya okay. Saya okay."
"Kalau kau ada masalah atau apa-apa, kau call abang. Datang rumah. Pintu rumah sentiasa terbuka. Tak apalah. Abang gerak balik dulu. Abang datang sekejap je ni. Nak kenal anak buah sendiri. Tak pernah abang jumpa. Akhirnya, ada juga rezeki abang."
Aku hantar abang Hussaini sampai ke laman. Aku tunggu sampai dia hilang daripada pandangan. Kemudian aku masuk ke rumah, dulang aku bawa ke dapur. Sofea sedang duduk di kerusi meja makan. Menunggu aku agaknya. Dulang aku letak di tepi sinki. Aku hampiri dia. Kerusi aku tarik lalu aku labuhkan duduk di situ.
"Kenapa sayang?" Tangan aku capai. Aku genggam. Erat. Harapkan sedikit kekuatan dari dia mengalir ke dalam tubuh aku.
"Apa saja ujian, Fea tahu abang kuat. Fea tahu, abang boleh hadap. Fea doakan abang selalu tenang dan sabar."
Aku koyak senyum diwajah. Aku tahu aku menikahi gadis yang penuh ikhlas dalam jiwa. Aku dah tak keseorangan lagi.
"Abang, nak tanya boleh?"
"Apa sayang?"
"Bila nak bawa Fea jenguk kubur mak? Fea tak pernah ke sana lagi."
Ziarah kubur mak? Aku sendiri dah bertahun tak ke sana.
"Nanti abang fikir. Okay, sayang?"
"Sekali jadilah, abang. Fea nak kenal mentua Fea. Biar mak tahu, Fea ada untuk jaga abang."
"InsyaAllah."
Aku bangun lalu menuju ke bilik. Persoalan Sofea kian berlegar dalam kepala. Ziarah kubur mak, maksudnya aku kena jejakkan kaki aku ke tempat itu lagi. Tempat yang penuh kenangan. Kepahitan yang dah lama aku tinggalkan.
Mampukah aku?