"Assalamualaikum.."
"Waalaikumussalam. Balik juga kamu ni. Ke mana tadi?" Soal Hajah Kamariah.
"Cari durian umi. Si Fasya ni lah, nak makan durian sangat." Jawab Mikael bagi pihak adiknya.
"Umi tahu tak, tadikan adik jumpa dengan Kak Ariana. Yang abang Mika gila-gilakan tu." Mulut Fasya kepoh seperti radio bergerak.
"Adik!" Mikael cerlungkan mata.
"Cantik ke?" Hajah Kamariah teringin hendak mengenali Ariana, gadis pertama yang mencuri hati anak lelakinya. Sebelum ni mana pernah anak lelakinya itu jatuh hati dengan mana-mana perempuan.
"Cantik tapi macam sombong sikit. Lagipun dia dah kahwin. Kesian abang Fasya ni." Lengan Mikael dipeluk erat. Kepalanya dijatuhkan di situ.
"Dah tak ada jodohlah adik. Umi, Mika naik dulu lah. Panas ni." Mikael menolak kepala Fasya yang melentok di atas lengannya. Punggung diangkat. Malas mendengar cerita tentang Ariana lagi. Dia perlu move on.
"Mika, umi nak kenalkan kamu dengan anak kawan walid. Mika berminat tak?" Soal Hajah Kamariah mematikan langkah Mikael.
"Mika ikut jer umi. Tapi Mika tak nak lah kenal-kenal. Cukuplah umi rasa dia yang sesuai untuk Mika. Yang mana terbaik bagi umi, bagi walid. Mika setuju." Mikael sudah penat, malas mahu bercinta lagi. Cukuplah ditolak Ariana, cukuplah sekali merasa bertepuk sebelah tangan. Sungguh perit dan pedih bila cinta tak berbalas.
"Dah itu cakap Mika, senanglah kerja kami." Haji Yaakob menyampuk, senang hati dengan persetujuan anaknya. Dalam benak mula merangka-rangka perkahwinan anak lelaki tunggalnya.
"Abang ni betul ke? Waa.. Ni macam bukan abang Mikael yang Fasya kenal je." Terkejut dengan jawapan abangnya. Biasanya abangnya lebih suka memilih sendiri. Dah banyak kali abangnya menolak usul uminya.
"Fasya, jangan masuk campur." Tegah Hajah Kamariah. Mata menjeling anak bongsunya. Kan Mikael menolak lagi, tak ke rosak rancangannya.
"Hmmm.. Yelah umi." Suara Fasya mengendur, ditegur uminya. Mukanya sudah monyok. Kaki diatur perlahan ke dapur, hendak minum air. Lepas kena marah dengan umi, tiba-tiba je tekak terasa haus.
******
Berita kehilangan Ariana menggusarkan hatinya, begitu payah meluputkan nama Kamelia Ariana dari kotak fikiran. Sehinggakan lafaz akad nikah tadi terpaksa diulang empat kali. Malu, tebal mukanya Tuhan saja yang tahu.
Ya, dia sudah selamat menjadi suami kepada Siti Maryam. Perempuan yang dia tak pernah kenal. Suara pun masih belum didengari. Mahalnya ibarat keluar emas seketul bila bersuara.
Penat melayan tetamu, dia meminta diri untuk membersihkan badan. Masuk ke bilik, ruang yang sederhana kecil itu diperhati. Siapa sangka umi dan walid carikan isteri untuknya yang datang dari keluarga biasa. Tidak senang dan tidak terlalu miskin. Bilik itu hanya ada satu katil kelamin, meja solek yang agak usang, almari baju dua pintu dan satu kipas berdiri. Cuaca yang panas terik hari ini membuatkan baju melayunya lencun dengan peluh.
Lantas baju melayu itu ditarik keluar dari tubuh. Badannya yang masih berlengas perlu dikeringkan peluh sebelum mandi. Suis kipas ditekan. Kipas yang bergerak tersengguk-sengguk itu ditenung. Nombor 3 pula ditekan. Kipas itu masih seperti tadi. Tersengguk-sengguk tetapi secara laju. Hampir terletus tawanya melihat pergerakan kipas.
"Macam sakit parkison pun ada kipas ni." Rungutnya.
Tengah sibuk membelek kipas, tiba-tiba pintu bilik itu ditolak dari luar.
"Astraghfirullah al'adzim.." Maryam menutup matanya. Terkejut, sebaik kaki melangkah ke dalam bilik matanya dijamu dengan badan kekar sang suami tanpa fabrik. Hanya seluar yang masih tersarung pada tubuh kekar itu.
"Tutup mata kenapa? Bukan buta pun mata kau kalau tengok aku bogel. Kau kan isteri aku." Mikael mengambil tuala dari dalam beg. Kaki diorak ke arah si isteri yang menundukkan muka. Sengaja dia acah-acah garang.
Melihat si isteri yang masih membisu, Mikael bersuara lagi.
"Nih, kau bila nak buka benda alah ni? Tak rimas?" Mikael menjeling. Tangan menarik-narik purdah yang dipakai isterinya.
Mahu gugur bola matanya teringatkan masa pembatalan air sembahyang tadi. Sungguh dia tak sangka isterinya berpurdah. Langsung tidak terlintas di fikirannya, walid dan umi akan mencarikan wanita berpurdah sebagai menantu.
"Ermm.. Maaf... Abang... Yam... Yam tak biasa." Suara Maryam tergagap-gagap. Kalut jari jemari runcingnya membetulkan kain nipis yang menutup dari batang hidungnya hingga ke leher.
"Lantak kaulah. Kisah apa aku. Tak payah nak berabang-abang dengan aku. Cukup adik aku Fasya je panggil aku abang."
"Habis tu Yam nak panggil apa?" Muka yang menunduk langsung tidak diangkat, terus memandang kakinya yang bersarung sarung kaki. Segan sebenarnya mahu melihat suaminya yang kacak.
"Panggil Mika dah."
Maryam mengangguk. Melihat beg sang suami yang berada di sebelah katil, laju dia bergerak ke situ. Beg baju Mikael dibuka. Ingin menyediakan keperluan untuk suaminya.
"Eh.. Eh.. Kau nak buat apa ni?" Mikael menghalang. Begnya ditarik kasar.
"Yam.. Yam.. Nak.. Nakk.." Terketar-ketar suaranya, takut. Abinya tidak pernah meninggikan suara.
"Nak apa!" Jerkah Mikael. Pantang betul bila orang lain menyentuh barangnya.
Terlompat Maryam terkejut.
"Allahu Akbar.." Dadanya dilurut perlahan.
"Tak payah. Kau pergi sana. Jangan sibuk hal aku. Dah, aku nak mandi." Mikael atur langkah keluar dari bilik, menuju ke bilik air yang terletak di sebelah dapur. Rumah orang tua Maryam tidak sesenang rumah orang tuanya. Sekadar cukup untuk anak beranak berteduh. Agak usang tetapi masih kemas dan bersih.
Maryam mententeramkan hatinya. Badannya masih tegak berdiri, tidak berganjak. Dia tahu suaminya perlukan masa untuk menerima dirinya. Dia juga begitu, masih kekok dan janggal bila berdepan dengan Mikael.
Dia hanya perempuan biasa yang tamat sekolah menengah di sekolah agama. Itu sahaja yang mampu abinya tanggung. Dia redha walaupun dia tidak berpendidikan tinggi tapi ilmu agama yang dipelajarinya cukup. Uminya sudah dua tahun meninggal dunia. Dia keseorangan di rumah bila abinya keluar menjaga kedai. Abinya membuka kedai runcit, di hujung simpang, tidak jauh dari rumah mereka. Hanya kedai runcit yang kecil tapi padat dengan barang keperluan. Cukuplah untuk menampung kehidupan mereka dua beranak.
Tak sampai sepuluh minit, Mikael muncul semula. Badannya sudah segar dan bersih.
"Kau termenung apa? Nak mandi tak?" Soal Mikael.
Maryam angguk.
"Kau nak solat dengan aku tak?" Tuala kecil yang tersangkut di atas bahunya dilap-lap ke rambutnya yang basah.
Angguk lagi.
"Dah tu, kenapa tercegat lagi. Cepatlah!" Naik seoktaf suara Mikael.
"Angguk, angguk tapi bergeraknya tidak." Ngomel Mikael lagi.
Maryam pula terlompat lagi mendengar suara tinggi sang suami. Mulutnya mengeluarkan bunyi, tersedu.
Terlepas ketawa dari mulut Mikael. Memang lawak isterinya, kerap terkejut.
Maryam menahan nafas, hidungnya dipicit. Cuba menghilangkan sedu. Elok saja hidungnya dilepaskan, dia kembali tersedu. Bahunya terangkat-angkat setiap kali mengeluarkan sedu.
Mikael menggeleng perlahan.
"Sini, aku tolong." Gamitnya. Tangannya pantas mencapai tisu yang berada di atas meja solek dan dikoyakkan tisu itu menjadi cebisan kecil sebelum dicalit ke lidahnya. Tisu itu kemudiannya ditampal ke atas dahi Maryam.
1 minit..
2 minit..
3 minit.
Sedu Maryam hilang. Berkesan juga teknik air liurnya.
"Terima Kasih." Maryam menarik tisu yang melekap di dahinya.
"Sama sama." Mikael menyimpul senyum, menahan ketawa.
'Dia tak geli ke dengan air liur aku kat tisu tu?' Hati Mikael tertanya-tanya sendiri. Rasanya kalau orang lain mesti dah buat muka jijik.
YOU ARE READING
Jodoh terindah buat Mikael (sudah terbit)
Storie breviMikael kecewa selepas cintanya tak berbalas. Dia hanya bertepuk sebelah tangan. Keputusan dibuat dan dia sanggup menerima perjodohan keluarga. Apa saja yang terbaik bagi uminya, itulah terbaik untuk dirinya juga. Siti Maryam, seorang gadis pemalu ya...