BAHAGIAN II - WASIAT

273 11 0
                                    

          Sebelas malam, hari yang sama. Dazli tiba-tiba terjaga dari lenanya setelah dikejutkan bunyi ketukan yang kuat didengarinya. Pada mulanya dia berasa malas untuk menjenguk dari mana datangnya bunyi bingit itu kerana penatnya siang tadi belum hilang lagi. Tetapi kerana bunyi ketukan itu berulang kali menganggu tidurnya, dia terus bangkit dari katilnya dan mencari dari mana sumber bunyi tersebut.

          "Tengah-tengah malam buta macam ni nak main ketuk-ketuk. Kalau aku jumpa siapa yang kacau tidur aku, siaplah!", berkata Dazli sendiri dengan nada yang marah. Lantas dia menghidupkan lampu suluh melalui telefon pintarnya.

          Dazli yang dikenali dengan keberaniannya dengan selamba melangkah dalam gelap mencari dari mana datangnya bunyi ketukan itu. Langkahnya terhenti apabila bunyi ketukan yang didengarinya betul-betul berada di atas kepalanya. Perlahan-lahan dia suluhkan ke atas dan terlihat laluan ke loteng rumah agam tersebut.

          Tanpa berfikir lagi, Dazli terus menarik tali yang membuka tangga untuk ke atas dan mendakinya tanpa rasa sangsi. Setiap langkah yang diambil, semakin dekat bunyi ketukan yang didengari.

          *DUSH!* jatuh sebuah kotak dari atas rak yang berada di hadapan pintu loteng.

          "Tak guna, terkejut aku" keluh Dazli.

          Dengan penuh perasaan yang ingin tahu, Dazli mengambil kotak yang jatuh itu tadi, meniup debu-debu yang melekat pada sisi-sisi kotak dan membukanya perlahan. Di dalamnya terikat rapi segulung kertas dengan kain berwarna emas.

          "La Leggenda di Due Gemelli Mitici? Bahasa apa ni?" lebih banyak persoalan yang timbul dalam kepala Dazli setelah membaca tulisan yang tertulis pada dasar kotak tersebut. Setelah habis membelek-belek isi kandungan kotak itu, dia terus mengalihkan perhatiannya kepada gulungan kertas tadi. Kali ini dia berasa teragak-agak untuk membuka gulungan kertas itu, tetapi akhirnya keyakinannya muncul dan dengan teliti dia membuka ikatan kain emas yang melilitnya.

         Bergerak-gerak pantas anak mata Dazli membaca setiap isi kandungan kertas itu, namun sepatah apapun tidak difahaminya kerana surat yang seakan wasiat tersebut ditulis dalam bahasa asing.

          "The Legend of Two Mythical Twins", Lynn yang tiba-tiba muncul dari dalam gelap mengejutkan Dazli yang masih fokus menghadap kertas itu.

          "Itu wasiat yang ditinggalkan oleh moyang saya dan Vinn. Ditulis dalam bahasa Itali", Lynn menyambung kata-katanya setelah mulut Dazli kelihatan masih terkunci akibat sentapannya tadi. Dazli kelihatan seperti mahu bertanyakan sesuatu, namun Lynn menyampuk sekali lagi.

          "Oh ya, saya lupa nak perkenalkan diri. Nama saya Lynn, adik kembar kepada Vinn. Saya juga merupakan orang gaji yang telah diamanahkan untuk menjaga Villa Gemelli. Mesti tuan tak faham isi kandungan wasiat ni kan?", katanya sambil mengambil wasiat itu dari tangan Dazli.

          Dazli masih dalam keadaan keliru dan menganggukkan kepala tanda betul.

          "Sebuah keluarga, dengan satu pasangan kembar sahaja. Villa Gemelli, sekali kau melangkah masuk, maka tiada kesenangan bagimu tanpa menurut arahanku. Salah satu daripada anak kembarnya, bunuh satu keluarganya. Termasuk kembarmu, bunuh semua. Maka kebahagiaan, kekayaan dan kesenangan akan datang kepadamu sekelip mata. Tak dituruti arahanku, maka kau akan tinggal di sini selamanya, merana, bersama kembarmu dan keluarga", satu persatu ayat dalam bahasa Itali itu diterjemah oleh Lynn.

          Jelas Dazli tergamam mendengar setiap bait kata yang keluar dari bibir Lynn itu. Dengan wajah yang jelas penuh dengan perasaan yang bercampur baur, risau, takut, keliru dan sedih, Dazli hanya mampu menundukkan kepalanya dan memejam mata.

          "Tuan, sebab itulah saya dan Vinn masih tinggal di sini walaupun rumah ini sudah lama tidak bertuan, dan mungkin kami berdua akan tinggal di sini buat selamanya. Kami tak tergamak untuk melunaskan kehendak moyang kami", Lynn masih bernada selamba meneruskan bicara.

          "Tapi...tapi kenapa kehendak moyang kau kejam sampai camtu sekali?", akhirnya Dazli mampu menyusun kata untuk menanyakan persoalan-persoalan yang bermain di fikirannya, walaupun dia agak tergagap.

          "Suatu hari tuan akan tahu jawapannya, yang penting sekarang, ya atau tidak?", Lynn dengan tenang mengubah topik perbualan mereka.

          "Ya atau tidak? Maksud kau?"

          "Ya, tuan mahu bunuh seluruh keluarga tuan. Atau tidak, biarkan keluarga tuan merana hidup di rumah ini selamanya?", soalan yang amat tajam bunyinya namun dengan santai Lynn melontarkannya.

          "Karut! Semua ni karut! Aku tak percaya wasiat ni!", perasaan takut Dazli tadi mula bertukar menjadi amarah.

          "Tuan, cuba tuan fikir, andai benarlah wasiat ini dusta belaka, maka bukan pekerjaan kamilah menggaji buta di rumah tak berpunya, bertahun lamanya. Fikirkanlah tentang hal ini tuan", hujah yang cukup kuat daripada Lynn untuk mengunci mulut Dazli.

          Dazli memandang tepat ke arah mata Lynn dan bergegas turun ke bawah semula, meninggalkan wasiat itu di dalam kotak tadi. Dia terus melangkah pulang ke biliknya tanpa menoleh ke belakang lagi.

KEMBARWhere stories live. Discover now