Farizan merupakan seorang peniaga nasi lemak kukus. Dulu perniagaannya sangat laku ketika nasi lemak kukus menjadi tarikan kepada semua orang di Malaysia. Gerainya sentiasa penuh dikunjungi orang ramai. Farizan juga mempunyai seorang makwe cun bernama Normala. Farizan sangat mencintainya sehingga bekerja keras dengan perniagaan nasi lemak kukusnya untuk meminang Normala.
Satu hari, perniagaan nasi lemak kukus Farizan merudum teruk. Ia disebabkan oleh trend terbaru yang melanda negara iaitu kemunculan nasi lemak cheese. Kebanyakan makanan tradisi di Malaysia pada ketika ini sungguh sibuk dengan cheese. Semuanya cheese. Jangan sampai masak asam pedas pun letak cheese.
Akhirnya perniagaan Farizan lingkup kerana tak mampu bersaing lagi dengan kemunculan nasi lemak cheese. Gerai-gerai dan restoran yang menjual nasi lemak cheese tumbuh pesat bagai pembangunan di Malaysia menjelang wawasan 2020. Kerana perniagaan yang lingkup, Normala pun meninggalkan Farizan mengikut seorang lelaki kaya dari Sarawak. Tinggallah Farizan terkontang-kanting keseorangan menghadapi detik kejatuhan. Ditambah pula dengan kleptokrasi yang semakin melampau di negara ini, membuatkan Farizan terasa sangat sengsara.
Hidup Farizan terus tak keruan. Menambahkan lagi tekanan Farizan adalah dia tak dapat melupakan Normala. Dia memang sangat mencintai dan mengasihi Normala. Farizan adalah seorang lelaki yang cukup setia bila hatinya sudah mula bertaut pada seorang wanita. Mereka berpisah hanya melalui mesej Facebook. Nombor telefon Normala juga sudah ditukar.
Dengan kecanggihan dunia zaman sekarang ini, Farizan melalui saluran media sosial seperti Facebook, digunakan untuk stalk Normala. Kelihatan Normala begitu gembira bersama dengan pakwe barunya di Sarawak. Dia juga sudah berpindah ke Sarawak.
Oleh kerana tekanan yang makin menggila, Farizan membuat keputusan nekad ke Sarawak dalam misi mendapatkan kembali Normala. Farizan sudah bosan menjadi seorang loser. Selama ini hidupnya hanya seperti untuk ditinggalkan. Ditinggalkan ibu bapa, kawan-kawan dan kini kekasih.
Selama ini Farizan hanya membiarkan saja setiap yang berlaku tanpa cuba berjuang mendapatkan kembali apa yang dihajati. Dengan nekad tak mahu lagi menjadi seorang loser, Farizan terus membeli tiket penerbangan sehala ke Sarawak. Sepatutnya Farizan move on saja tapi apakan daya, dia tetap mahu mendapatkan kembali Normala.
Ini adalah pertama kali Farizan keluar dari Semenanjung Malaysia atau lebih tepat lagi, Lembah Klang. Pertama kali dia akan mengembara ke satu tempat jauh di dalam hidupnya. Ini semua dibuat kerana cintanya terhadap Normala yang memang tak berbelah bahagi.
Mungkin ini satu titik permulaan yang akan merubah hidup Farizan untuk selamanya. Namun Farizan tetap berdebar untuk memulakan pengembaraannya. Untuk Normala, dia redah saja dirinya ke Sarawak. Atau mungkin ada sesuatu yang lain telah menanti Farizan di sana. Jikalau pun Normala masih menolaknya, Farizan hanya mahu mendengar penjelasan dari mulut Normala sendiri.
YOU ARE READING
Gerek
RomanceFarizan merupakan seorang peniaga nasi lemak kukus. Dulu perniagaannya sangat laku ketika nasi lemak kukus menjadi tarikan kepada semua orang di Malaysia. Gerainya sentiasa penuh dikunjungi orang ramai. Farizan juga mempunyai seorang makwe cun berna...