Bab 1

7.9K 351 21
                                    

Lama termenung di gigi pantai, Nur Ameenah atur langkah. Suhu yang dingin dalam cuaca panas yang melegakan. Tiga tahun di sini, tiada satu pun yang berubah. Jalannya, bangunannya, tumbuhan semulajadi dan warna airnya masih kekal seperti mula-mula dia menginjakkan kaki ke sini.

Nafas dilepas panjang...

"Mungkin sudah sampai masanya aku pulang." Nur Ameenah bermonolog sendirian. Bak peribahasa, hujan batu di negeri sendiri, hujan emas di negeri orang tetapi lebih baik hujan batu. Itulah yang dia rasakan sekarang. Rasa rindunya membuak-buak.

Lebih-lebih lagi bila teringatkan emaknya. Emaknya ada menelefon dua hari lepas untuk bertanya khabar. Seorang emak yang rindukan anak-anaknya. Dua-dua sudah merantau ke Kanada. Seorang bekerja tetap di Kanada, seorang pula menyambung pelajaran di peringkat PHd. Tinggallah Puan Zainab keseorangan di kampung, menjaga ayam, itik dan pokok orkidnya.

Tiga tahun di Kanada, luka Nur Ameenah tetap tidak terubat. Belum pulih seperti sediakala. Kesan calar dan torehan masih berbekas di hati. Betul cakap maknya dulu, bawa diri bukan satu jalan penyelesaian yang sesuai.

"Baliklah Meen. Mak rindu Meen." Sayu mendengar suara seorang emak merayu pada seorang anak supaya pulang ke pangkuannya.

"Nantilah mak, Meen fikirkan." Ameenah menjawab perlahan, rasa bersalah mengikut kata hati selama ini. Sampaikan mak sendiri diabaikan. Kalaulah ayah masih hidup... Dan kalaulah anaknya masih hidup...

"Mak tahu, Meen marahkan kami." Semakin lirih suara Puan Zainab.

Marah? Bila masa pula dia marah? Kemarahan tidak pernah wujud dalam hatinya. Namun di Quebec ini, dia telah menemui sesuatu. Sesuatu yang begitu berharga iaitu harga dirinya yang sudah lama hilang.

"Kalau tak, takkan Meen tinggalkan mak berseorangan kan?" Serkap Puan Zainab.

"Meen sambung belajarlah mak. Sementara abang ada lagi kat sini, ini lah peluang Meen. Nak harapkan Meen datang sendiri dan keluarkan duit memang Meen tak mampu."

Alasan yang dirasakan agak kukuh diberikan.

"Mak bimbangkan..."

"Meen dah besar mak. Tahulah Meen jaga diri Meen sendiri." Cantas Nur Ameenah laju. 

"Lagipun abangkan ada tolong tengokkan Meen. Mak tu jaga kesihatan, makan jangan ikut sedap mulut saja. Ingat sikit mak tu ada darah tinggi." Nur Ameenah mula membebel. Risau terbit dari hati teringatkan emaknya yang suka makan ikut sedap mulut.

"Mak tak apa. Umi kamu ada, abah kamu ada, Az..." terhenti ayat Puan Zainab. Mulutnya tersasul lagi, hampir menyebut nama yang menyebabkan anaknya membawa diri.

"Maaf Meen, mak tersasul." 

Talian di hujung sana sunyi sepi.

"Meen... umi dan abah pun rindukan Meen. Mereka selalu tanya pasal Meen. Baliklah Meen." Pujuk Puan Zainab tanpa henti. Doa tidak pernah putus supaya dilembutkan hati anaknya.

"Diorang semua tak salah Meen. Perkara tu pun dah banyak tahun berlalu. Lupakan semuanya, mulakan hidup baru. Ajal, maut, jodoh, pertemuan semuanya ditangan Tuhan. Kita hanya mampu merancang." Sambung Puan Zainab.

"Insya Allah Meen akan balik, mak. Meen pun dah penat hidup kat negara orang. Meen tak dapat nikmati kehidupan seperti di Malaysia. Meen rindukan kuih mak dan nasi lemak sambal sotong mak. Mak jangan risau, nanti sampai masanya, Meen baliklah. Cuma tak tahu lagi bila."

Memang dia tidak pernah tahu bila kakinya akan dijejakkan semula ke Malaysia. Pernah terfikir, pernah merancang tetapi semuanya atas kuasaNya. Mungkin dalam masa terdekat. Buat apa berlama-lama lagi di negara orang, tidak berkesudahan dan tiada titik noktahnya.

Duit simpanan hasil dari kerja sampingan yang dibuat di sini juga agak banyak. Cukuplah untuk menampung kehidupannya selepas pulang ke Malaysia untuk sebulan, dua. Memandangkan mata wang Ringgit Malaysia agak rendah dari mata wang asing, duit yang diperolehi dirasakan cukup mewah.

"Baliklah Meen, mak akan sentiasa tunggu Meen."

Hati Nur Ameenah tersentuh lagi. Hatinya tidak sekeras mana, tetapi disebabkan kejadian beberapa tahun lepas dikeraskan hatinya, dikuatkan semangatnya. Perasaannya sayu. Mata merenung kedai usang di depan. Dari kedai itu, telinganya dapat menangkap lagu dendangan Elton John.

Just passing through

And it's no sacrifice

Just a simple word

Its two hearts living

In two separate worlds

But it's no sacrifice

No sacrifice

It's no sacrifice at all


Mutual misunderstanding

After the fact

Sensitivity builds a prison

In the final act


We lose direction

No stone unturned

No tears to damn you

When jealousy burns

Lagu yang menyentuh perasaannya tika ini. Kadang-kadang pernah terfikir kenapa perlu membawa diri ke Kanada? Kecewakah aku? Putus cintakah aku? Semuanya tidak.

Rasanya tidak pernah dirinya bercinta. Apatah lagi putus cinta, tetapi lebih teruk dari itu. Perkahwinan yang dibina terlerai ikatan di suku jalan. Ya, memang kecewa bila suami sendiri lebih percayakan orang lain dari isteri sendiri. Bertambah kecewa bila anak yang dikandung pergi buat selama-lamanya sebelum sempat melihat dunia.

Kecewa dan sakit hati yang dibawa jauh untuk diubati ternyata bukan mudah. Kesannya masih terasa.

Lama dirinya terpaku di depan kedai itu. Dia hanya tersedar apabila lagu tersebut habis berputar dan berganti dengan lagu lain. Langkah kaki disambung lagi menyelusuri sepanjang jalan di situ.

Sambil berjalan dia teringat pula pesan abangnya suatu masa dulu. Jangan diturutkan hati, jangan diikutkan perasaan semuanya patut ditanam ke dasar hati yang paling dalam. Itulah pesan abangnya sewaktu dia mula-mula sampai ke sini tiga tahun lepas. Mujurlah ada abang dan kakak iparnya sebagai tempat dia mengadu dan meluahkan perasaan.

Kaki yang melangkah membawanya ke tengah-tengah bandar Quebec, Kanada. Kaki terus diayun tanpa hala di setiap pelosok jalan St. Jean. 

Pengajiannya pula sudah berakhir. Banyak budi baik abangnya yang tidak terbalas. Dia tidak akan sekali-kali menyusahkan abangnya lagi. Cukuplah beban yang abangnya terpaksa tanggung selama tiga tahun dia membawa diri ke sini.

Mata dijamu dengan jalan yang dipenuhi dengan peninggalan sejarah dan merupakan salah satu jalan utama Old Quebec ke Upper Town. Bangunan bangunan antik di sepanjang jalan yang memukau mata.

Fikir dan terus berfikir. Mungkin semua yang berlaku ada hikmahnya. Kalau bukan disebabkan perkara itu, dia tidak mungkin berada di sini mendapatkan PHd. Kadangkala, pernah terlintas di benak nama lelaki yang pernah mewarnai hidupnya, menceriakan hari-harinya. Dan juga pernah melukai hatinya, meninggalkan luka yang paling dalam. Tercalar hingga kini. Belum pulih sepenuhnya.

Kaki melangkah lagi melewati Cote de la Fabrique, rue de Buade, hingga rue Du Tresor dan mata menghala pada satu dataran yang lebih tinggi dari yang lainnya. Di sana terletak Fairmont Le Chateau Frontenac, sebuah hotel mewah yang berdiri teguh dan mewah. 

Ia merupakan landmark terpenting Kota Quebec dan dikenali sebagai "mahkota" dari Quebec. Chateau Frontenac adalah sebuah hotel yang memang sengaja dibangun menyerupai bentuk istana iaitu Chateau style. 

Langkah kaki diteruskan tanpa tujuan. Sesekali matanya meliar ke sekeliling. Nafas dihela dalam bila terbayangkan wajah sugul emaknya.

"Meen.. rindukan mak sangat-sangat."








HATI YANG TERCALAR (sudah terbit)Where stories live. Discover now