Usai menunaikan solat subuh tadi, Nur Ameenah terus melangkah ke dapur. Menolong emaknya menyediakan nasi lemak. Tekaknya teringinkan nasi lemak emaknya. Lama sungguh tak merasa sambal sotong killer emaknya.
Selesai sahaja Nur Ameenah menghiris timun, Puan Zainab bersuara.
"Meen, tolong mak boleh tak?" Belakang badan anaknya yang masih berbaju tidur, dipandang.
"Tolong apa mak?"
"Tolong bagi makan ayam itik kat belakang tu. Mesti dah lapar tu. Nasi dalam besen atas meja tu." Balas Puan Zainab sambil tangan menunjukkan besen berwarna hijau di atas meja makan.
Nur Ameenah membalas dengan anggukan. Besen di atas meja diambil. Kaki diayun keluar melalui pintu dapur.
"Kurr.. kurr.." Nur Ameenah memanggil ayam dan itik yang sudah berkeliaran mencari makan.
Nasi diletakkan di dalam bekas makanan yang sudah disediakan di belakang rumah sebelum dia melangkah ke kebun orkid emaknya.
Bibir mengoyak senyum nipis bila melihat pokok-pokok bunga orkid yang menjadi hiasan di laman rumahnya. Emaknya memang seorang yang rajin berkebun.
Empat tahun lepas dialah yang selalu menolong emaknya menanam pokok bunga orkid. Tangan mengusap kelopak bunga orkid. Cantik dan lembut.
Nafas ditarik dan dihembus perlahan. Lama sungguh rasanya tidak menghirup udara segar di kampung. Walaupun kampungnya terletak berdekatan dengan bandar Kuala Lumpur, namun segarnya tetap terasa.
"Assalammualaikum.."
Terangkat bahu Nur Ameenah, terkejut mendengar suara orang memberi salam. Suara garau yang cukup sebati dengan dirinya satu masa dulu. Terus Ameenah keraskan badan.
"Ehemm..!"
Mendengar deheman dari belakang, lantas Nur Ameenah berpaling.
"Waalai..kum..musalam.."
Tergagap-gagap Nur Ameenah menjawab. Tidak menyangka ada orang yang akan bertandang ke rumahnya awal-awal pagi. Jantungnya hampir luruh menyembah bumi kerana di depannya terpacak seseorang yang ingin dielaknya sebaik mendarat semalam.
"Encik nak cari siapa?" Nur Ameenah berlagak tenang.
"Ehh... Meen. Bila balik? Meen... Sihat?" Lelaki itu pula bersuara tergagap-gagap.
Sudah lama tidak memandang perempuan yang pernah menjadi suri hidupnya. Yang memporak-perandakan hidupnya. Yang membunuh kepercayaannya pada wanita. Walaupun dalam samar cahaya, wajah itu tetap menarik di mata lelakinya.
Berderau darahnya mendengar si lelaki menyebut namanya. Jantung mula berdegup tak sekata, laju mengepam darah. Lelaki yang bertakhta di hatinya. Dari dulu dan sampai sekarang, mungkin...
Nafas ditarik dan dihembus berulang kali. Cuba menenangkan hati, mententeramkan akal. Rasa tidak enak hadir berhadapan dengan dengan lelaki itu apatah lagi dalam keadaannya yang masih berbaju tidur. Walaupun tidak seseksi mana, tetapi tetap kurang sopan.
'Macam mana aku boleh tak dengar langsung bunyi enjin kereta dia ni?' Wajahnya diraup kesal.
"Sihat saja. Baru balik semalam." Dingin jawapan Nur Ameenah.
Dapat dirasa si lelaki merenungnya tajam. Dijawab lebih kurang, malas melayan mata miang si lelaki dari dulu tak pernah berubah. Bila 'nak', renung macam nak telan. Bila 'tak nak', dia dipinggirkan.
"Lee nak jumpa mak kejap, nak ambil barang yang umi pesan." Beritahu Khairul Azlee. Lagi lama merenung batang tubuh di depannya, lagi kuat rindu mencengkam hati. Hati memberontak, akal pula menafikan apa yang dirasa.
![](https://img.wattpad.com/cover/103549588-288-k963474.jpg)
YOU ARE READING
HATI YANG TERCALAR (sudah terbit)
RomanceAzlee "Kau bukan perempuan yang sesuai untuk aku. Kau tu perempuan kampung, anak orang gaji rumah aku mana layak nak bergandingan dengan anak Tan Sri macam aku. Aku dah kutip kau jadi isteri pun dah cukup bagus. Ameenah ...