Part 1

882 7 0
                                    

Oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Saifulislam.com; 2008)

Jika yang disuruh pilih, ukurannya adalah harta, maka harta itu mudah dikira.

Jika yang disuruh pilih, hitungannya adalah rupa, maka rupa tidak luput dinilai mata.

Andai yang disuruh pilih, ketentuannya adalah keturunan, maka keturunan itu sudah jelas di ketentuan.

Akhirnya yang disuruh pilih itu, adalah pada yang beragama. Sedangkan agama itu sulit sekali mahu diukur.

Kata Peter F. Drucker, “sesuatu yang tidak boleh diukur, sulit sekali untuk mengurusnya”.

Justeru bagaimanakah yang dikatakan seseorang itu beragama? Adakah pada pakaiannya, solatnya, ilmunya, bakatnya, usrahnya, atau apa? Amat payah, pilihan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu ialah pada sesuatu yang amat abstrak.

Namun akhirnya dalam sulit itu, segala puji bagi Allah kerana melorongkan ramai anak muda hari ini agar memilih yang sulit itu. Hatta yang tidak pernah kisah dengan tuntutan-tuntutan agama pun, masih mahu satu-satunya hari permulaan perkahwinan mereka, disimpan aurat agar berkat. Mahu pernikahan itu sandarannya adalah agama.

Seorang pembaca bertanya, apakah setelah membaca buku AKU TERIMA NIKAHNYA, dan memulakan perkahwinan dengan baik, maka baiklah perkahwinan itu?”, tanya Encik Rushi, pegawai pemasaran Galeri Ilmu tatkala kami berbual selepas sesi tandatangan saya di Pesta Buku Selangor 2008 tempoh hari.

“Agaknya apa komen ustaz?”, tanya beliau kepada saya.

Senyap seketika.

IA HANYA PERMULAAN

Permulaan yang baik, bukanlah suatu jaminan. Ia hanya suatu permulaan," saya bersuara.

“Setelah rumahtangga dibina di atas dasar agama pun, tiada jaminan jugakah ustaz?" tanyanya lagi.

Saya ingin menjawab TIDAK. Bahawa dengan memilih calon pasangan hidup yang beragama itu adalah jaminan kepada ketenangan dan kebahagiaan. Kerana memilih itu sendiri sudah dalam seribu kepayahan.

Tetapi realiti tidak mengizinkannya.

Entah mengapa, semenjak terbitnya buku AKU TERIMA NIKAHNYA, isu-isu berkaitan dengan rumahtangga muncul seperti subjek utama penulisan dan fikiran saya pula. Selain yang selaras dengan isi buku, banyak juga yang kontras menjelma. Perelokkan rumahtangga dengan agama, mesej awal saya. Kini saya dibentangkan dengan bab kedua, iaitu permulaan yang bersandarkan agama, belum cukup untuk menjamin bahagia!

Banyak benar perkara yang berlaku, dan menyaksikan perkara-perkara yang banyak itu, sungguh mendebarkan. Dan lantaran itu coretan ini saya nukilkan dengan mata yang basah tatkala mengenangkan kenalan dan taulan yang rumahtangganya dilambung ombak, biar pun zaman pernikahan dan awal rumahtangga mereka, kami bersama meliku dakwah!

Aku Terima NikahnyaWhere stories live. Discover now