BAB 2

226 6 0
                                    

1941

Kuala Rompin,

Dia berjalan dengan langkah yang perlahan. Sesekali wajahnya mengukir senyuman manis. Ditangannya ada seberkas pucuk paku yang baru sahaja dipetik. Kadang-kadang dia mengumam kecil. Bukan lagu yang didendangkan tetapi satu jenis ratib yang sentiasa didengari dan dihafalnya. Tiba-tiba langkahnya terhenti apabila dia merasakan ada yang mengekorinya. Dia berpaling, namun tiada sesiapa. Langkahnya semakin laju. Jantungnya bergerak laju seiring dengan langkahnya.

"Embun!!"

Langkahnya terhenti apabila namanya di seru. Dia berpaling. Wajah cuaknya berubah manis dan tersipu malu apabila melihat wajah lelaki yang memanggilnya.

"Abang, Embun ingatkan siapa lah tadi. Lain kali jangan begini. Bikin hati Embun takut sahaja," marah Embun, manja.

"Kenapa? Embun takut?" pemuda yang menyapanya bernama Yusoff. Teruna yang sudah berusia 18 tahun semakin menghampiri gadis pingitan itu.

"Mestilah. Jalan ini selalu sahaja ada pengacaunya. Eh, abang dari mana? Berpeluh begini?" soal Embun sambil kakinya tetap melangkah. Kali ini langkahnya lebih perlahan dan melenggok.

"Dari belakang mahu ke depan," Yusoff berseloroh.

Embun ketawa menampakkan barisan giginya yang putih dan bersih itu.

"Ada-ada saja lah abang ni."

"Malam ini Embun pergi tengok keramaian?" tanya Yusoff lagi. Sudah menjadi adat setiap tahun akan diadakan satu keramaian untuk menjalinkan kemesraan antara penduduk.

"Kenapa?" Embun bertanya. Dia menjeling sekilas ke sebelah kirinya. Terasa bagaikan ada mata yang sedang memerhati tingkahnya.

"Iyalah, Embun harus ke keramaian. Malam ini malam penghabisan. Malam ini abang akan berpencak silat," kata pemuda itu sambil membuka pencaknya. Kukuh dan kemas langkahnya.

"Buat apa?" Embun pura-pura tidak mengerti.

"Buat apa? Sampai hati Embun berkata begitu. Penat abang berlatih semata-mata hendak tunjuk pada Embun malam nanti. Embun datang ye," Yusoff memujuk. Ini lah masanya untuk dia menunjukkan kehebatannya kepada gadis itu. Biar gadis itu terpegun dan terpersona dengannya.

Embun mengeluh perlahan. Bukan dia tidak mahu melihat pujaan hatinya berpencak silat malam nanti. Namun apa kan dayanya. Hidupnya tidak seperti orang lain. Banyak pantang larang yang tidak boleh ditentang. Tambah-tambah lagi pasti dia akan di halang untuk bersuka-sukaan dengan orang kampung di baruh. Hidupnya sudah umpama kera dihutan. Disingkir dari orang ramai.

"Embun tak boleh janji. Tengoklah dulu," akhirnya itu yang dijawab oleh Embun. Tidak mahu memberi sebarang harapan kepada Yusoff.

"Malam ini malam terakhir Embun. Embun datanglah. Abang ambik Embun di rumah," Yusoff terus memujuk. Dia tetap mahu Embun berada di keramaian itu.

"Apa abang tak malu?" Embun menduga.

"Apa yang hendak di malukan," balas Yusoff. Jawapan itu benar-benar menggembirakan hati Embun.

"Abang, Embun ini pipit Abang Enggang. Mana boleh terbang bersama," balas Embun dengan perlahan.

"Lah, Embun pipit rupanya. Abang fikir Embun manusia," Yusoff mengusik.

"Abang!!" marah Embun. Namun kemudian dia ketawa bila melihat aksi jejaka di hadapannya.

"Boleh ye Embun. Abang jemput Embun di rumah."

Embun mengeluh perlahan. Dan kemudiannya dia mengangguk perlahan.

"Tapi abang tak payah ambil Embun di rumah. Biar Embun datang sendiri. Embun tidak mahu orang nampak kita berdua," balas Embun. Dia bertentang mata dengan jejaka dihadapannya. Memang wajah itu yang dirinduinya setiap malam.

"Kenapa? Embun malu?"

"Sudahlah, malas Embun nak layan abang. Embun balik dulu nanti nenek bising. Jumpa malam ni," jawab Embun sambil langkahnya semakin laju. Dia tahu jalan ini sudah menghampiri jalan besar. Pasti terserempak dengan orang yang lalu lalang. Dia harus mengelak dari dilihat orang.

"Jangan lupa ye sayang. Jika tidak abang mengamuk satu kampung kalau Embun tak datang," Yusoff menjerit perlahan. Dia sudah tidak berani berjalan berdua dengan Embun. Dia tahu Embun tidak mahu hubungan mereka diketahui orang.

Embun hanya ketawa. Dia kemudiannya berlari-lari anak meninggalkan jejaka pujaannya sambil di benaknya terfikir apa yang harus dia memberitahu neneknya untuk dia keluar malam ini. Dia tahu neneknya sudah mengingatkan agar menjauhi penduduk kampung.

"Lewat kamu pulang. Sudah dinihari baru nampak? Ke mana saja kamu ni Embun?" sergah Nek Kuntum.

"Er.. mencari pucuk paku lah. Ke mana lagi?" jawab Embun tanpa memandang wajah neneknya.

"Dengan aku kau mahu berbohong Embun. Kau jangan lupa, aku yang menjaga kau sejak dari kecil. Jangan sesekali kau mengingkari arahan aku Embun," Nek Kuntum mengingatkan sambil menjeling.

Embun tertunduk. Jika sudah begitu nada yang keluar dari bibir Nek Kuntum haruslah dia menutup mulut. Embun meletakkan pucuk paku yang dikutipnya di atas pangkin. Dia melepaskan lelah.

"Kau masih sahaja berhubungan sama Yusoff?" tanya Nek Kuntum, Tangannya ligat sahaja memisahkan daun sekentut dari batangnya.

"Mana ada. Err.. Embun sudah lama tidak berjumpa dengan dia," balas Embun.

"Bohong lagi. Kau memang tidak sedar diuntung Embun. Sama aku kau masih juga mahu menipu ya. Kau ingat aku tidak tahu? Bukankah kau sudah berjanji mahu ketemu dia majlis keramaian malam ini?" sergah Nek Kuntum.

Embun segera bangun. Bagaimana Nek Kuntum tahu akan perbualannya dengan Yusoff? Siapa yang memberitahu pada Nek Kuntum? Ada sesiapa yang memasang telinga? Patutlah dia merasakan ada mata yang memerhati geraknya sejak dari tadi.

"Mahu ke mana kau Embun. Aku belum habis bicara. Duduk!" Nek Kuntum bersuara lagi.

Embun mengalah. Dia kembali duduk di sebelah Nek Kuntum. Namun matanya tidak berani bertentangan dengan orang tua itu. Orang tua itu bukan calang-calang orang. Wajahnya sahaja sudah mengerunkan.

"Sudah ku bilang sama kau Embun. Jangan sesekali kau berhubungan dengan manusia di baruh. Mereka semuanya menyusahkan. Penuh muslihat," suara Nek Kuntum semakin tegas.

"Tapi nenek sendiri selalu membantu mereka," balas Embun.

Nek Kuntum ketawa.

"Bantu? Itu bukan pertolangan dari aku. Aku sekadar mengambil upah untuk menunaikan hasrat mereka. Kau akan menjadi penganti aku suatu hari nanti Embun. Kerana itu aku melarang kau untuk bersama-sama dengan mereka. Biar mereka takut pada kau. Baru mereka akan memuja kau," kata Nek Kuntum.

Embun menarik muka. Dia tidak mahu menjadi seperti Nek Kuntum. Hidup sendirian di hujung kampung. Terasing dari orang ramai. Namun setiap malam ada sahaja orang di baruh yang bertemu dengan Nek Kuntum. Ada sahaja yang di minta mereka. Paling ramai wanita-wanita yang meminta tangkal untuk mengikat nafsu suami mereka yang mata keranjang. Dia mahu hidup bahagia di samping Yusoff, buah hatinya.

"Kau jangan ingat Yusoff itu benar-benar suka pada kau Embun," kata Nek Kuntum lagi.

Embun masih tidak berkutik. Masih lagi memandang ke bawah.

"Malam ini kau jangan fikir kau akan ke keramaian itu. Sentot akan sentiasa menjaga kau. Kerana ini arahan dari aku," putus Nek Kuntum.

Kali ini Embun mendongak dengan linangan air mata. Tahulah dia kalau Sentot yang akan ditugaskan pasti dia tidak boleh ke mana-mana. Mungkin juga Sentot lah yang sentiasa mengawasi geraknya. Dia menyumpah Sentot di dalam hati.

Nek Kuntum kemudiannya berpaling ke belah kirinya.

"Kau jaga dia Sentot. Kalau dia terlepas, akan aku cukur kepala kau dan beri kau makan lada kering. Biar kau mengelupur. Faham!!" arah Nek Kuntum.

Embun melihat Sentot yang sudah menyeringai ke arahnya. Kurang ajar Sentot. Pasti suatu hari nanti dia akan mengajar belaan Nek Kuntum yang bermuka hodoh itu. Embun melangkah menuju ke dalam rumah. Rumah itu cantik dan sentiasa kemas. Tetapi gelap dan kelam. Tidak bercahaya.

Waris Dukun HitamWhere stories live. Discover now