Fatin segera keluar dari kenderaan. Sejak dari tadi dia merasa seram sejuk. Terkocoh-kocoh dia membuka pintu rumah. Dia menoleh ke belakang untuk memastikan yang dia tidak diekori. Entah kenapa dia merasakan dirinya sedang diperhati oleh seseorang tapi setiap kali dia menoleh tiada sesiapa hanya bulu tengkuknya terasa seperti ada hembusan nafas. Fatin lekas-lekas menuju ke kamarnya. Dia hanya perlu tidur.
Baju yang dipakainya diletakkan di dalam bakul. Fatin mencapai tuala lalu masuk ke bilik air. Biarpun sudah mencecah pukul 4 pagi, namun dia perlu mandi. Dia tidak boleh tidur dalam keadaan badan yang melekit. Selesai mandi dia merebahkan badannya ke katil.
"La, aku tak letak baju dalam bakul ke tadi? Rasanya dah letak," bicara Fatin sendiri.
Fatin bangun dan menuju ke muka pintu. Satu persatu dia mengutip baju yang berselerakan di atas lantai. Dia masukkan baju-baju di dalam bakul dengan perasaan yang tertanya-tanya. Mungkin dia keletihan hingga dia terlupa, fikirnya sendiri. Dia kembali merebahkan badannya ke katil.
Matanya perlahan-lahan cuba di tutup. Dia kemudiannya merasakan pintu biliknya dibuka perlahan. Dia cuba membuka matanya namun matanya seolah-olah terasa amat berat. Sukar untuk di buka.
Disebalik pintu itu dia nampak seorang lelaki memakai baju t-shirt berwarna kelabu dan berseluar jeans. Dia cuba lagi untuk membuka matanya. Namun masih gagal. Lelaki itu semakin menghampiri dirinya. Dia cuba untuk bangun namun tidak berjaya. Badannya terasa seperti melekat di katil. Semakin dekat semakin jelas wajah lelaki itu.
"Abang," suara itu hanya mampu bergema di kerongkong Fatin.
Lelaki itu tersenyum dan membelai lembut wajah Fatin. Kemudian mata Fatin terus tertutup rapat.
"Fatin, Fatin," Rahimah mengejutkan anak daranya.
Fatin mengosok mata. Badannya terasa sakit dan lemah.
"Mak," Fatin bersuara perlahan. Dia kembali memejamkan matanya.
"Bangun. Ni apa ni tidur sampai terselak macam ni? Pukul berapa balik malam tadi," marah Rahimah.
"Orang mengantuk ni mak. Kejap lagi orang bangunlah," kata Fatin sambil terus menarik selimut untuk menutup badannya yang terdedah. Sejuk pendingin hawa benar-benar menyengat badannya.
"Bangun mak kata. Dah pukul 9 pagi. Semua orang tunggu kat meja makan tu. Bangun!" marah Rahimah sambil menarik kembali selimut.
Fatin merengus kasar. Dalam enak-enak tidur emaknya datang menganggu. Kemudian dia teringat pada lelaki yang hadir semasa dia mahu melelapkan mata. Terus sahaja dia membuka mata. Seingatnya sebelum tidur dia mengenakan baju tidur, bila masa pulak bajunya bersepah di lantai.
"Abang Adzim?" dia bersuara perlahan. Bila diingati wajah Adzim yang muncul di benaknya.
"Kau ni dah kenapa? Pergi mandi," marah Rahimah pada anak daranya.
Fatin mencapai tuala dan menuju ke kamar mandi. Dia cuba mengingati apa yang berlaku namun sikit pun dia tidak ingat. Apa yang dia perasan kehadiran seseorang ke kamarnya. Seseorang yang dia sukainya dalam diam. Tapi mana mungkin. Lelaki itu tidak mungkin melakukan hal sebegitu. Sejak dari kecil dia mengenali lelaki itu. Dia tersenyum sendiri. Mungkin kerana selalu impikan lelaki hingga terbawa dalam mimpi. Fatin membelek pehanya. Dia terasa sakit di situ.
"Eh, lebam apa pulak ni," kata Fatin sambil menekan-nekan lebam sebesar bila golf di pahanya. Sakitnya terasa.
"Pukul berapa balik malam tadi?" Karim bersuara. Suaranya kasar dan tegas.
"Entah, lupa tengok jam," jawab Fatin dengan selamba.
"Apa nak jadi dengau kau ni Fatin? Asal malam minggu je keluar, subuh hari baru nak balik," marah Karim.
"Fatin temankan Kirah."
"Teman Kirah? Laki dia pergi mana?" marah Karim.
"Zahid balik lambat. Fatin tunggu Zahid balik baru lah Fatin balik. Kalau ayah tak percaya, telefon Kirah. Tanya dia sendiri."
"Fatin, ayah bukan apa. Fatin tu perempuan. Bahaya balik lewat malam. Lagipun apa kata jiran-jiran kita ni," sampuk Rahimah.
"Itulah awak Mah, suka masuk belah budak ni. Naik lemak dia," kali ini Karin mensasarkan Rahimah.
"Sudahlah bang, depan rezeki nak berleter apanya," tegur Rahimah. Pantang sungguh kalau ada orang yang berleter di hadapan rezeki.
Karim mendiamkan diri.
"Mana Abang Adzim?" soal Fatin.
"Dah keluar. Ada masalah kat tapak projek katanya," jawab Rahimah.
Fatin mengangguk. Adzim adalah dua pupunya. Anak kepada sepupu emaknya. Adzim baru sahaja bekerja dengan syarikat ayahnya sebagai jurutera awam. Baru seminggu Adzim dirumahnya sebelum mendapat rumah sewa yang lain. Biarpun ayahnya mengajak Adzim untuk terus tinggal di situ tetapi Adzim menolak. Maklumlah banglo tiga tingkat ini hanya dihuni oleh mereka tiga beranak. Abang dan kakaknya masing-masing sudah mempunyai keluarga dan kehidupan sendiri. Sesekali sahaja meraka akan pulang dan tidur disini.
"Lepas ni nak pergi mana pulak? Keluar lagi?" sindir Karim.
"Malas nak keluar, badan rasa letih. Entahlah mak, sakit badan-badan Fatin ni," rungut Fatin sambil menyudukan mee goreng ke mulutnya.
"Mana tak sakit. Orang lain pukul 9 malam dah tidur. Anak awak ni pukul 9 start kereta keluar. Cuba tengok Adzim tu Fatin. Dia lelaki. Kalau balik lewat pun tak apa. Tapi dia balik kerja duduk rumah. Kau balik kerja, salin baju lepas tu keluar. Apa nak jadi dengan kau ni Fatin," Karim kembali berleter.
Fatin meletakkan garfu dan bangun dari kerusi.
"Nak pergi mana tu, mee goreng tu kan tak habis lagi," Rahimah menegur.
"Malas lah makan. Tak ada mood. Mak jangan kacau orang nak tidur," jawab Fatin dengan kasar.
"Abang ni, tak habis-habis nak berleter tau," marah Rahimah pada suaminya.
"Awak jangan bagi muka sangat pada anak bongsu awak tu Mah. Nanti muka kita dicontengnya. Dah lah, saya pun tak ada mood nak makan."
"Eloklah tu. Kalau macam saya tak payah masak. Masak pun tak ada orang nak makan. Bibik, bibik. Kemas meja ni," marah Rahimah. Seleranya untuk makan turut terbantut.
Fatin merebahkan badannya. Entah kenapa dia merasakan badannya umpama dihempap dengan batu bertan beratnya. Lemah dan sakit. Pahanya juga terasa sakit dan sengal. Dia menyelak skirtnya.
"Eh kat sini pun ada lebam jugak ke? Tadi kat paha belah kanan. Ini kat paha belah kiri pulak," terkejut Fatin bila melihat lebam sebesar bola ping pong di paha kirinya. Dia mengosok-gosok pahanya yang putih dan gebu. Sengalnya semakin menjadi-jadi.
Fatin bergolek-golek di atas katil. Ada perkara yang sedang bermain di mindanya. Adakah betul Adzim yang masuk ke dalam biliknya malam tadi? Ataupun semua itu sekadar mainan perasannya? Sebahagian dari hatinya seolah-olah mengiyakan apa sahaja yang berlaku antaranya dengan Adzim malam tadi. Dan sebahagian pula seolah-olah menolak segala tindakan Adzim. Tidak mungkin lelaki yang sentiasa jalan menunduk dan sentiasa menjaga solatnya akan berkelakuan begitu. Sakit kepala Fatin memikirkan hal itu.
YOU ARE READING
Waris Dukun Hitam
HorrorEmbun, pewaris keturunan dukun hitam, seorang dukun yang benar-benar ampuh di zaman silam. Kedua-dua orang tuanya dibunuh oleh neneknya sendiri yakni Nek Kuntum semasa dia kecil. Sejak kecil Embun hanya didedahkan dengan segala macam sihir dan ilmu...