Fatin menjeling ke arah Kirah yang asyik memandang bungkusan yang diberikan oleh Mak Dukun tadi. Hairan dia melihat ketaksuban Kirah.
"Kirah, kau percaya ke mende ni boleh mujarab?" soal Fatin sambil terus memandu.
"Insya ALLAH," jawab Kirah dengan penuh yakin.
"InsyaALLAH? Kau tahu tak apa maksud kalimah tu. Maksudnya, jika diizinkan ALLAH. Apa yang kita buat ni sah-sah benda syirik tau. Menyekutukan ALLAH. Tak kan ALLAH nak izinkan?" balas Fatin.
"Kau kata syirik? Bila masa aku sembah berhala? Suka hati je kau cakap aku menyekutukan ALLAH. Aku ganyang kau kat sini jugak, baru kau tahu. Aku ni berusaha untuk menyelamatkan rumahtangga aku. Aku bukan tak percaya pada ALLAh, tapi aku ni berusaha. Lagipun, Mak Dukun tu dia guna ayat-ayat suci tau. Kau tak dengar dia sebut bismillah sebelum buat upacara tadi," Kirah mempertahankan tindakannya. Lupa dia, menyekutukan ALLAH bukan semata-mata menyembah berhala. Tetapi andai seorang manusia itu meminta pertolongan selain dari ALLAH dan menyakininya, itu juga tergolong didalam perkara-perkara syirik. Dia hanya mendengar permulaan kalimah yang disebut oleh Mak Dukun. Dia tidak mendengar selebihnya. Tanpa dia sedar itu semua adalah helah dari Mak Dukun untuk menyakinkannya yang Mak Dukun menggunakan ayat-ayat suci. Dan Kirah benar-benar terpedaya.
"Eh, ada ek?" soal Fatin sambil cuba mengingati adakah Mak Dukun ada melafazkan kaalimah itu.
"Itulah kau, asyik ingat yang buruk sahaja," marah Kirah.
"Tapi kan benda apa yang suruh kita naik rumah dia tadi? Mencacak bulu roma aku beb. Serius, seram gila," Fatin meluahkan perasaannya.
"Entah. Kau tanya aku buat apa? Kenapa kau tak tanya Mak Dukun je tadi. Mungkin khadam dia kot. Sebab bila Mak Dukun tu sampai terus je benda tu lari, beb. Power kan Mak Dukun tu. Benda macam tu dia control macam gitu jek," puji Kirah. Kagum dia pada kehebatan Mak Dukun.
"Kirah kau perasan tak, muka Mak Dukun tak macam selalu kan? Nampak macam orang tua. Padahal masa kita pergi rumah dia minggu lepas, nampak cantik je. Mak Dukun tu muda lagi kan? Aku rasa dalam 50-an je. Tapi malam ni nampak macam umur 80 tahun beb. Seram aku kalau nak tenung muka dia lama," Fatin berkata lagi.
Kirah mendiamkan diri. Sikit pun dia tidak memberi respon pada pertanyaan dari Fatin. Ini kerana dia juga turut memikirkan hal yang sama. Kenapa wajah Mak Dukun amat berlainan sekali?
"Alamak, minyak nak habis. Bukan kat area sini ada stesen minyak ker? Kena isi minyak ni. Kalau tak bertolak lah kita ni," kata Fatin. Rasanya tadi macam penuh sahaja minyak keretanya.
"Entah mana aku tahu," jawab Kirah. Sesekali matanya menjeling ke arah cermin sisi. Dari tadi dia seperti melihat kelibat sesuatu namun dia tidak mempastikan apa bendanya. Kerana sesekali sahaja kelibat itu kelihatan.
Fatin menjeling. Sakit hatinya mendengar jawapan dari Kirah.
"Kau tengok apa? Main toleh-toleh belakang macam tu. Bukan ada kereta pun belakang kereta kita ni. Kau rasa siapalah yang nak lalu jalan ni melainkan kita je," balas Fatin.
"Aku rasa macam ada bendalah yang ikut kita. Kejap ada kejap tak ada."
"Kau jangan macam ni Kirah. Kau jangan. Dah lah kita je ni. Wei, meremang bulu roma aku ni," kata Fatin. Tiba-tiba dia merasa seram sejuk.
"Betul lah. Eh tu bukan stesen minyak ke?"
Fatin merasa sedikit kelegaan apabila melihat stesen minyak yang masih beroperasi walau jam sudah menunjukkan pukul 3.15 minit pagi. Dia segera memberi signal ke kiri. Kenderaan yang di pandunya membelok ke kiri dan masuk ke kawasan stesen minyak itu, Fatin memperlahankan kenderaanya dan menghampiri pam minyak yang bernombor tiga.
"Sunyi je lah," Kirah bersuara bila melihat suasana stesen minyak itu yang sunyi sepi.
"Tiga pagi kot. Agak-agaklah. Mat rempit pun dah balik rumah tidur. Kau pergi kaunter, aku isi minyak," arah Fatin.
"Naik isi berapa ni?"soal Kirah lagi.
"Tiga puluh dah lah. Lepas tu kau tengok lah kalau ada cd Yassin ke, beli sekali wei," suruh Fatin. Entah kenapa lain macam dia merasakan suasana pada malam ini. Sejak tadi dia merasakan ada sepasang mata yang memerhati. Namun dia tidak berani bersuara pada Kirah. Bimbang Kirah akan menjadi takut. Kerana ini dia ingin segera sampai ke rumahnya.
"Gila. Mana ada kat sini, penakut jugak kau ni Fatin. Tak ada apalah, perasaan aku je tadi. Kalau ada pun dah terjongol depan kita tadi. Dah lah, aku turun dulu. Buka pintu ni," marah Kirah.
Kirah masuk ke dalam kedai serbanika. Sesekali dia memicit bahunya, terasa lenguh. Mungkin disebabkan tekanan yang dialaminya sejak akhir-akhir ini. Kirah menuju ke kaunter. Kelihatan petugas yang berada di situ tertidur. Kirah merengus perlahan. Dia mengetuk meja kaunter.
"Hello, ini nak berniaga ke tak nak?" Kirah mula bersuara kuat. Mana tidaknya, berkali-kali dia mengetuk meja mat bangla itu makin sedap tidur.
Lelaki itu membuka matanya dengan perlahan. Terpisat-pisat dia dibuatnya.
"Ayoooooo" jerit pemuda itu.
"La, ingat mat bangla tadi. Jerit ni kenapa, nak isi minyak ni," marah Kirah. Dia pun hampir-hampir menjerit sebab terkejut dengan jeritan pemuda itu. Itulah tidur lagi semasa kerja.
"Minyak tiga puluh tambi. Pam nombor tiga," kata Kirah sambil menghulurkan not lima puluh ringgit pada pemuda itu.
Pemuda itu mengambil wang yang dihulurkan Kirah dengan tangan yang terketar-ketar.
"Ni dah kenapa pulak mamat ni. Macam nampak hantu sahaja," bicara Kirah sendiri.
Usai mengambil baki wang Kirah keluar namun sempat dia menjeling ke arah pemuda yang sudah pucat mukanya. Dia juga merasa seram sejuk. Jangan-jangan stesen minyak ini berpuaka.
"Fatin, cepatlah blah," kata Kirah sambil memegang lengan Fatin.
"Kenapa kau ni, main pegang-pegang pulak," Fatin menepis.
"Wei, aku seram lah wei. Jangan-jangan tempat ni ada puaka tak?" kata Kirah. Matanya meliar memerhati suasana disekelilingnya.
"Kau ni kan, mulut kau tu yang dah macam puaka. Sudahlah pergi masuk dalam kereta," marah Fatin.
Serentak itu juga bulu tenguk Fatin meremang. Terasa macam kulit tengkuknya dihembus perlahan. Bulu romanya merinding. Segera dia meletakkan kembali pam minyak itu walaupun baru setengah sahaja minyak yang baru diisi ke keretanya. Kirah sudah tidak senang duduk di dalam kereta. Resah dan gelisah. Sempat Fatin menjeling ke dalam stesen minyak. Kelihatan pemuda yang bertugas sedang memerhati ke arah mereka dengan mata yang terbeliak.
Kereta dihidupkan dan terus keluar dari stesen minyak yang agak usang itu. Fatin melihat melalui cermin untuk memastikan stesen minyak itu benar-benar wujud. Ternyata stesen minyak itu masih berada di situ. Fatin melepaskan nafas lega, terasa rugi pulak kerana tidak mengisi penuh minyak keretanya.
Tanpa disedari oleh mereka berdua. Ada sesuatu yang sedang berada di atas bumbung kereta mereka. 'Benda' itu lah yang sedang ditenung oleh pemuda India di stesen minyak tadi.
YOU ARE READING
Waris Dukun Hitam
HorrorEmbun, pewaris keturunan dukun hitam, seorang dukun yang benar-benar ampuh di zaman silam. Kedua-dua orang tuanya dibunuh oleh neneknya sendiri yakni Nek Kuntum semasa dia kecil. Sejak kecil Embun hanya didedahkan dengan segala macam sihir dan ilmu...