Embun membelek wajahnya di cermin. Setelah berpuas hati dengan sanggul dan wajahnya dia mengambil sehelai selendang panjang lalu dikenakan di kepalanya. Dia tersenyum lagi. Pintu almari ditutup perlahan. Dia melihat melalui jendela yang sengaja dibuka luas. Di luar telah diletakkan tangga untuk memudahkan pergerakannya. Dia melekapkan telinganya ke dinding. Dinding itu bersebelahan dengan bilik Nek Kuntum. Dia benar-benar berharap Nek Kuntum sudah terlena. Malam ini bulan mengambang penuh. Selalunya tika malam mengambang penuh Nek Kuntum akan tidur sehingga menjelang esok pagi. Sentot juga selalu menemani Nek Kuntum. Andai Sentot ada pun dia tidak takut. Dia tahu kelemahan Sentot. Sentot takut pada lada kering. Itu yang ada di dalam tangannya kini. Andai Sentot muncul dihadapannya pasti dia akan meramaskan cili kering itu dan melemparkan ke arah Sentot. Biar Sentot mengelupar kepanasan. Embun tersenyum sendiri.
Embun memanjat tingkap dan menuruni tangga yang sedia ada di situ.
"Ehem," satu suara yang sedang berdehem kedengaran di cuping telinga Embun.
Embun terperanjat. Hampir jatuh dia dibuatnya. Andai kata tangannya tidak dicapai oleh seseorang pasti terbongkar rahsianya.
"Maafkan abang. Abang tidak sangka boleh menyebabkan Embun terkejut," kata Yusoff dengan perlahan. Dia pasti Embun curi-curi keluar semata-mata mahu ke majlis keramaian. Jika tidak masakan Embun keluar dari rumah melalui tingkap. Macam pencuri sahaja lagaknya.
"Abang," marah Embun tetapi dia bersuara separuh berbisik. Bimbang Nek Kuntum akan terjaga dari lenanya.
"Wah, tidak sangka ya, berani juga Embun keluar. Sudah macam pencuri," Yusoff mengusik.
"Abang buat apa di sini. Bukankah sudah Embun pesan tunggu sahaja Embun di sana," Embun bersuara sambil lekas-lekas dia menarik tangan Yusoff.
"Abang sudah tunggu tetapi Embun tidak muncul, makanya disinilah Abang. Abang bimbang andai ada sesuatu yang berlaku pada Embun. Cantik Embun malam ini. Ini selendang yang abang hadiahkan dulu ya?" tanya Yusoff sambil membelek wajah manis milik Embun.
Embun tersenyum malu bila dipuji begitu.
"Warnanya kena sekali dengan mu sayang," Yusoff memuji lagi.
"Sudahlah. Ada-ada sahaja abang ni. Pandai menanam tebu di bibir," balas Embun sambil tersipu malu.
"Nenek mu sudah tidur Embun?" terus sahaja Yusoff bertanya perihal Nek Kuntum. Jika Nek Kuntum sedar akan tindakan Embun malam ini harus teruk Embun dikerjakan.
"Kenapa? Abang takut?"
"Tentu sahaja. Melihat wajahnya saja abang sudah ketar," akui Yusoff. Bukan dia sahaja malah rata-rata orang di kampung ini takut dengan Nek Kuntum.
Embun ketawa. Langkahnya seiringan dengan pujaan hatinya.
"Lain benar wajahnya dengan mu Embun. Apa benar Embun ini cucunya?"
"Abang." Embun memukul bahu Yusoff. Yusoff ketawa.
"Terangkan bulan malam ini. Kata orang hantu banyak berkeliaran tika ini," kata Yusoff lagi, sengaja mahu bercanda dengan Embun.
"Ada-ada sahaja abang ini. Abang takut sama hantu ya?"
"Hantu? Mana ada hantu di dunia ini Embun."
"Peliklah abang ini. Adalah. Mungkin abang belum ketemu lagi. Nanti kalau sudah abang melihatnya, jangan-jangan terus sahaja Embun abang tinggalkan di sini."
Yusoff ketawa lagi.
"Yang ada hanyalah syaitan. Yang tugasnya menyesatkan manusia," terang Yusoff.
"Apa-apa sahajalah. Lekas sikit, nanti lewat pula kita sampai di sana."
Yusoff melajukan langkahnya. Namun baru beberapa langkah sahaja, langkahnya terhenti.
"Kenapa bang?"
"Abang rasa seperti ada orang yang sedang mengekori kita," Yusoff bersuara perlahan. Embun segera menghampiri kekasihnya. Matanya turut meliar memerhatikan sekelilingnya. Cahaya bulan mengambang memberikan sedikit cahaya di dalam kepekatan malam.
Grrrrr... Grrrrr.
Bunyi menderam itu semakin jelas kedengaran. Embun bersembunyi di belakang Yusoff. Yusoff pula memperkukuhkan kekudanya. Bersedia untuk menunggu apa jua serangan dari pihak musuh.
Dan tiba-tiba muncul satu susuk tubuh dari balik semak. Makhluk itu tidak pernah dilihat oleh Yusoff sebelum ini. Makhluk itu menderam kasar sambil menyeringai ke arah Yusoff.
"ALLAH," jerit Yusoff.
Terperanjat dia melihat bentuk rupa makhluk itu. Badannya gempal. Wajahnya bulat dengan dihiasi taring yang berwarna putih. Matanya bulat dan cerlungannya bisa melumpuhkan pandangan. Jelas kedengaran deraman dari makhluk itu.
Melihat makhluk itu Embun menapak ke hadapan. Dia sudah biasa mengadap wajah buruk belaan Nek Kuntum ini. Dia meramas-ramas cili kering sambil membaca mantera yang sering didengarinya tatkala Nek Kuntum mahu menghukum makhluk ini.
"Balik aku cakap," tengking Embun. Tengkingan dari Embun benar-benar membuatkan Yusoff bertambah terkejut. Tidak pernah dia melihat Embun berkelakuan begini. Dia mengenali Embun sebagai gadis pingitan yang lemah lembut.
"Grrr..Grrr.." Makhluk itu menderam. Semakin kuat dan semakin menghampiri Yusoff.
"Kau dari sisa hina. Wujud kau kerana aku yang membela. Nyah kau dari sini. Datang bila hanya kau di puja," lantang suara Embun.
Yusoff menelan air liur. Sungguh ketika ini bukan makhluk itu yang digeruninya sebaliknya sikap dan wajah Embun yang ditakutinya. Hilang semua kelembutan yang dimiliki oleh dara itu.
Makhluk itu semakin menghampiri. Kukunya yang tajam dan hitam itu semakin jelas kelihatan. Embun tidak menunggu masa yang lama untuk dia membalingkan cili kering yang telah diramas tadi.
"Arghhhh...." Makhluk itu menjerit. Lantang daan kuat. Namun tidak lama kemudian jeritan itu bertukar dengan suara orang merintih. Merintih kerana menahan kesakitan yang amat sangat.
"Abang. Abang tidak apa-apa?" tanya Embun kepada Yusoff yang kelihatan seperti orang kebingungan.
"Embun?" ada sesuatu yang mahu ditanya oleh Yusoff. Namun soalan itu seolah-olah tidak mampu keluar dari kerongkongnya.
"Ya Embun ini. Tadi bilang tidak takut sama hantu. Baru tengok Sentot sudah kecut. Hingga Embun pun abang sudah tidak kenal," perli Embun dengan lirikan mata yang mengoda.
"Sentot?"
"Itulah Sentot, belaan Nek Kuntum," akui Embun. Dia jujur. Baginya tiada apa yang perlu disembunyikan. Gadis yang berusia 16 tahun itu merasakan itu hanyalah perkara biasa.
Yusoff menelan air liur. Langkahnya dilajukan lagi. Dia tidak berkata walau sepatah. Peristiwa sebentar tadi memperlihatkan sisi lain milik Embun yang baru disedarinya. Ketika ini terngiang-ngiang di benak akan kebenaran kata-kata dari emaknya. Embun adalah pewaris Nek Kuntum. Dukun yang sentiasa ditakuti kerana ilmu hitamnya.
"Abang. Jangan laju sangat. Penat Embun mahu mengekori langkah abang," laung Embun sambil turut melajukan langkahnya.
Yosoff seperti tidak mendengar akan kata-kata dari Embun. Sebaliknya dari langkah yang laju dia mula berlari perlahan dan akhirnya berlari laju meninggalkan Embun yang jauh dibelakang.
"Abang," suara Embun bertukar perlahan bila melihat Yusoff lari meninggalkannya. Air matanya berjujuran. Kenapa begini sikap Yusoff? Embun menghentikan langkahnya. Dia menunggu seketika namun hampa bila Yuoff terus hilang dari pandangannya.
"Sampai hati abang," lirih suara Embun. Dia berpaling. Kembali menuju ke rumah Nek Kuntum dengan hatinya yang hampa dan kecewa. Dia terasa dengan sikap Yusoff meninggalkannya tanpa kata. Walhal dia sanggup keluar dari rumah secara diam demi Yusoff. Air mata Embun keluar tanpa di paksa. Dia menangis sendiri merentas pekat malam.
YOU ARE READING
Waris Dukun Hitam
HorrorEmbun, pewaris keturunan dukun hitam, seorang dukun yang benar-benar ampuh di zaman silam. Kedua-dua orang tuanya dibunuh oleh neneknya sendiri yakni Nek Kuntum semasa dia kecil. Sejak kecil Embun hanya didedahkan dengan segala macam sihir dan ilmu...