Faiq bersalaman dengan Nenda Rosnah dan dijemput duduk sementara menanti Delisha turun. Tak sangka sampai saja tadi, dia dipelawa masuk dari luar pagar. Terpaksa turutkan kerana hormatkan Nenda Rosnah. Dalam hati berdebar juga lebih-lebih lagi Nenda Rosnah serius semacam menyambutnya.
Sempat Faiq WhatsApp Delisha beritahu hal ini. Harap-harap cepatlah Delisha turun.
"Mama papa kamu sihat, Faiq?" soal Nenda Rosnah. Walaupun saudara jauh, namun hubungan mereka tak pernah terputus.
"Sihat. Nenda sihat?" Faiq berbudi bahasa.
"Sihat. Ni ajak Isha keluar, kamu tak ada kerja ke? Dengar kata, kamu ni memang tak kerja langsung, kan? So, ini ajelah kerja kamu, ya?" Sinis kata-kata Nenda Rosnah buat Faiq tersindir.
Faiq berasa tak selesa disoal begitu.
"Saya memang ada plan nak kerja. Tengoklah sehari dua lagi. Sekarang ni saya busy sikit, nenda." Faiq memberikan alasan. Cuba berbaik sangka.
"Busy atau sengaja sibukkan diri? Enjoy sana sini pun, satu kesibukan rupa-rupanya, ya?" Air muka Faiq sedikit berubah disindir begitu. Masak dia kali ni diazankan cukup-cukup. Berpeluh nak menjawab.
"Errr, bukan selalu nenda... Saja aje, isi masa lapang. Nak masuk kerja, company papa ada masalah sikit, tunggu settle semua, baru saya masuk kerja," jawab Faiq dalam nada hormat.
Nenda Rosnah angguk.
"Patutnya kamu bantulah papa kamu, settlekan masalah dia. Bukan buat tak tau..."
Faiq senyum tawar, mati kutu sekejap.
"Insya-Allah nenda, dalam masa terdekat ni." Hentam sajalah labu, janji ada jawapan.
"Nenda berterus terang sajalah. Mulai hari ini, nenda tak suka kamu bawa Isha keluar."
Nenda Rosnah tegas. Terkesima Faiq sekejap. Arahan ke ni?
"Tapi nenda, sebelum ni selalu aje kami keluar, nenda tak ada halangan pun. Kenapa sekarang tak boleh pula?" Hairan Faiq, kenapa baru sekarang mahu dikongkong Delisha?
"Sebab nenda rasa kamu tak ikhlas dengan Isha. Kamu hanya nak berseronok. Nenda tak berkenanlah lelaki yang tak ada masa depan macam Faiq ni. Nenda kalau boleh, nak cari jodoh yang terbaik untuk Isha."
Nenda Rosnah yakin akan kata-katanya.
Faiq tak sedap hati.
"Tak, nenda. Faiq betul-betul cintakan Isha. Faiq memang ada plan nak kahwin..."
Nenda Rosnah gelak tiba-tiba, bikin Faiq lagi seram.
"Nak kahwin dengan Isha? Faiq, Faiq. Kamu tak layak jadi suami Isha. Nenda pun tak berkenan dengan perangai kamu. Okey, baik nenda berterus terang aje. Mulai hari ini, boleh tak kamu lupakan Isha? Jangan jumpa dia lagi? Kamu carilah perempuan lain, rasanya playboy macam Faiq ni, tak ada masalah, kan?"
Perasaan Faiq bagai direntap. Tak sangka, Nenda Rosnah akan berterus terang begini. Tidak, Delisha sebahagian daripada nyawanya masakan mahu berpisah?
"Kami dah bercinta 3 tahun, kami pun dah kenal lama, sejak sekolah lagi. Rasanya kami dah cukup kenal hati budi. Memang saya ni tak sempurna tapi saya ikhlas cintakan Isha. Sepanjang kami bercinta, saya tak pernah curang." Faiq bersungguh-sungguh terangkan.
"Kalau kamu cintakan Isha, bukan macam ni caranya. Usung dia ke sana ke mari, bergaul bebas tak kira halal haram, rosakkan dia dengan perkara yang bukan-bukan. Kalau kamu jujur dengan Isha, kamu baliklah. Jangan buat Isha macam ni. Hormat dia sebagai perempuan. Belajar menjadi lelaki yang bertanggungjawab. Kalau tak, nenda tak akan tunggu lama nak jodohkan Isha dengan lelaki lain kalau macam inilah gaya kamu. Kamu belum layak untuk Isha buat masa ni."
YOU ARE READING
HALALKAN HATI YANG KUCURI
Lãng mạn♤ PESTA BUKU MABOPA 2017 ● 26 JULAI - 30 JULAI 2017 ♡ MAEPS SERDANG, SELANGOR TERBARU AUGUST DI MAEPS ■ HALALKAN HATI YANG KUCURI - MIA KIFF ■ BIDADARI BERMATA JELI - HANA ILHAMI ■ SPLIT - NURUL AIN SYUHADA ■ HATI YANG TERSAKITI - NURIFFA