Bab 1

954 12 0
                                    

"CIK NA, sakit..." Dalam tangisan, budak yang berumur 10 tahun itu berteriak kesakitan. Telinganya ditarik dan dipulas. Malah, bahunya juga turut menerima habuan.

"Ooo, kau tahu sakit? Habis tu, yang kau curi buah rambutan aku tu, tak apa pula? Hah!" Tamparan hinggap di bahu kanan budak itu lagi.

Saat dia melihat budak itu berada di dalam kawasan pagar rumahnya, hatinya cukup panas.

"Meen tak curi." Sendu suara anak kecil itu kedengaran.

Dia tidak mahu melawan. Jika melawan, lain pula jadinya. Kesal kerana bersetuju dengan cadangan Rayhaan sebentar tadi untuk mengait buah bersama.

"Ibu! Bukan salah Meen. Haan yang ajak Meen..."

"Haan! Jangan duk bohong dengan ibu. Kau, Meen! Mari sini!" Telinga Ameena sekali lagi ditarik kasar oleh tangan milik Roziana.

Ameena hanya menurut walaupun terpaksa menahan kesakitan yang teramat sangat.

Roziana menarik Ameena hingga sampai ke pekarangan rumah Nenek Azizah. Rayhaan hanya ikut dari belakang. Takut untuk melawan.

"Meen! Ya Allah, cucu aku." Nenek Azizah berlari anak mendapatkan cucunya setelah melihat apa yang berlaku. Tangan tuanya menarik laju badan Ameena dan memeluknya erat.

"Ana, apa masalah kau ni? Kenapa buat Meen macam ni?" Nenek Azizah mengusap lembut badan Ameena. Cucunya itu menangis dalam pelukannya.

"Mak Jah tanyalah anak tak guna ni. Dahlah mak kandung tinggalkan macam tu aje. Lepas tu kurung ajar pula. Kalau Mak Jah tak boleh ajar budak ni, biar Ana aje yang ajar. Senang!" pekik Roziana dengan nada tidak puas hati.

Dia cukup benci melihat wajah anak kecil di depannya kini. Mungkin wajah itu mengingatkannya kepada seseorang. Iskandar dan isterinya!

"Apa pula Meen dah buat kali ni, Ana? Haan, apa yang Meen dah buat?" soal Nenek Azizah kepada Roziana dan Rayhaan.

"Nek..."

"Haan! Diam. Jangan kurang ajar sangat nak menjawab."

"Ibu..." Rayhaan kembali menundukkan kepalanya. Tidak sempat memberitahu perkara sebenar kepada Nenek Azizah.

Matanya mencari raut wajah Ameena yang menangis dalam pelukan Nenek Azizah. Kepalanya digelengkan. Maafkan Haan, bisik hati Rayhaan. Kalau bukan dia yang mengajak Ameena mengambil buah rambutan sebentar tadi, semua ini takkan terjadi.

"Dah, jom balik. Meen, kau ingat ya. Jangan memandai nak kawan dengan Rayhaan lagi!" pesan Roziana lagi dalam keadaan marah.

Rayhaan hanya melangkah perlahan membuntuti langkah ibunya. Roziana masih lagi membebel tidak puas hati. Rayhaan hanya diam saja.

Nenek Azizah hanya melihat dua beranak itu melangkah pergi. Kepalanya digelengkan.

"Jom, sayang. Kita masuk, dah nak maghrib ni." Tangan tua Nenek Azizah memegang lembut bahu cucunya itu.

"Nek..." Sayu kedengaran suara anak kecil itu.

"Jom, naik dulu. Meen mandi, lepas tu nenek letak ubat," pujuk Nenek Azizah dengan lembut.

Mereka berdua mengatur langkah menaiki rumah kayu yang sederhana besar itu. Terdapat tiga buah bilik dan cukup selesa untuk mereka berdua tinggal di situ.

Sebaik saja mereka sampai di ruang tamu rumah, Ameena menarik lembut tangan neneknya. Nenek Azizah menghentikan langkahnya dan menoleh ke arah cucunya.

"Nek, Meen tak salah. Haan yang ajak Meen makan rambutan. Meen tak curi," jelas Ameena dengan jujurnya. Sayu suaranya.

"Ya, sayang. Nenek tahu, cucu nenek tak buat benda jahat macam tu," pujuk Nenek Azizah lagi sambil mengusap lembut kepala cucunya.

Kembalikan CintaWhere stories live. Discover now