11 tahun kemudian
"MEEN!" panggil Rayhaan sedikit kuat kerana sudah berulang kali dia memanggil nama gadis itu, tetapi tiada balasan daripada Ameena.
"Haan! Terkejut Meen," marah Ameena sambil menampar lembut bahu Rayhaan yang kini berhadapan dengannya.
"Itulah, mengelamun aje kerjanya."
"Mana ada," sangkal Ameena.
"Haisy, dia yang mengelamun, mana nak sedar." Rayhaan ketawa perlahan.
"Meen buat apa dekat sini?" soalnya lagi sambil matanya ralit melihat wajah Ameena.
Makin lama makin cantik Ameena pada matanya. Kini, sudah ayu bertudung. Mata bundar gadis yang berada di hadapannya cukup membuat hatinya berdebar.
"Meen tunggu Qilla. Janji nak balik hostel sekali," jawab Ameena pula dan melihat sekeliling.
"Qilla pergi mana?" soal Rayhaan lagi.
Dia mula rapat dengan Ryana Aqilla disebabkan Ameena juga. Ameena yang memperkenalkan mereka walaupun mereka bertiga sekelas dan mengambil jurusan yang sama.
"Qilla lambat sikit. Dia pergi ATM, lepas tu dia kata nak singgah News kejap," jelas Ameena.
"Oh..." Rayhaan mengangguk.
"Meen nak balik kampung tak minggu ni? Boleh kita balik sekali," ajak Rayhaan pula.
"Tak apalah, Haan." Sayu saja jawapan yang kedengaran dari bibir Ameena.
Dia ingat lagi, minggu lepas dia tumpang naik kereta Rayhaan untuk pulang ke kampung. Selepas beberapa kali Rayhaan mengajaknya untuk pulang bersama. Serba salah dia mahu menolaknya.
Entah macam mana, ibu Rayhaan dapat tahu mereka pulang bersama. Malam itu juga, rumahnya diserang oleh ibu Rayhaan. Malu kepada jiran apabila neneknya ditengking dan dia dihina. Apabila ingatkan kembali, memang dia takkan berkawan dengan Rayhaan lagi. Tapi, tak sampai hati pula. Sebab mereka berdua agak rapat. Dari kecil lagi.
"Meen jangan ambil hati apa yang ibu Haan cakap hari tu. Ibu gurau aje," balas Rayhaan, cuba memujuk Ameena.
"Haan, kita dah tahu kan yang ibu Haan memang tak sukakan Meen dari kecil lagi. Tak apa. Kalau Meen nak balik, Meen naik bas," balas Ameena lembut.
Dia tidak boleh marahkan Rayhaan kerana Rayhaan tidak bersalah.
"Meen, jangan macam ni."
"Dahlah Haan. Lagipun Meen balik rumah Qilla minggu ni." Jujur Ameena menuturkan kata.
"Oh, kalau macam tu, tak apalah. Tapi, kalau Meen nak balik kampung, bagi tahu Haan ya?"
"Insya-Allah. Tu Qilla dah sampai." Ameena berbalas senyum dengan Aqilla sebaik sahaja melihat rakannya itu menapak mendekati mereka berdua.
"Haan pun ada?" sapa Aqilla lembut sebaik sahaja sampai di hadapan Ameena dan Rayhaan.
"A'ah, saja tegur Meen. Tengok dia duk sorang aje kat tangga ni," balas Rayhaan pula.
"Oh, Qilla pergi ATM tadi. Sorry Meen. Aku lambat sangat ke?" soal Aqilla kepada Ameena pula.
"Tak adalah. Jomlah kita balik. Aku tak solat asar lagi ni." Ameena terus mengajak Aqilla balik ke asrama.
"Kami balik dulu, Haan," kata Aqilla kepada Rayhaan.
"Aku pun dah nak balik ni. Okay, bye."
Ameena membuntuti langkah Aqilla. Mereka berdua terus menuju ke tempat letak kereta di mana kereta Aqilla berada.
"Aku lambat sangat ke tadi?" soal Aqilla dalam perjalanan ke kereta. Dia rasa serba salah pula.
YOU ARE READING
Kembalikan Cinta
RomanceComel! Itu kata Ryan Amsyar. Saat pertama kali melihat Ameena Jasmin. Namun, dalam hatinya telah terukir satu nama, Mellina. Dia lelaki yang setia pada cinta. Akhirnya, dia dan Mellina diijab kabul. Tetapi, bahagia yang dicari hanya seketika. Hanya...