Bab 5

418 7 0
                                    

RYAN bersiap-siap untuk keluar berjumpa dengan Mellina. Dia sudah berjanji mahu menjemput Mellina pada pukul 3.00 petang.

Saat tiba di ruang tamu, dia melihat ahli keluarganya serta Ameena sedang menonton televisyen setelah siap menjamu selera sebentar tadi. Kakinya terus melangkah mendekati ahli keluarganya.

"Angah nak pergi mana handsome-handsome ni?" tegur Aqilla saat melihat abangnya mendekati mereka.

"Angah nak keluar kejap," jawab Ryan jujur.

"Nak ikut." Laju saja Aqilla menjawab. Sudah lama dia tidak keluar bersama abangnya itu.

"Qilla, angah nak keluar jumpa buah hati tu," tegur Puan Amira.

Dia gembira saat mengetahui anaknya sedang hangat bercinta dengan anak kawan baiknya.

Ryan Amsyar telah menceritakan kepada ahli keluarganya yang dia sedang bercinta dengan Mellina, anak kepada kawan baik mummynya, Datin Maisara. Alhamdulillah, percintaan mereka diterima baik oleh ahli keluarganya. Dia juga tidak menyangka Mellina adalah anak kepada kawan mummynya. Kecil sungguh dunia.

Mellina merupakan seorang model. Cantik, tinggi dan sempurna pada matanya. Saat pertama kali melihat Mellina, hatinya telah terpaut. Mereka berdua berjumpa ketika menemani kawannya makan malam. Bermula detik itu, mereka sering berjumpa dan berkawan dengan lebih rapat. Walaupun Mellina tiga tahun tua daripadanya, dia tidak kisah.

"Alah, sekali-sekala takkan tak boleh. Adik nak tengok juga bakal kakak ipar," sakat Aqilla pula. Kalau dapat ikut, rezekinya.

"Kalau nak ikut, siap cepat," balas Ryan.

Aqilla seakan-akan tidak percaya.

"Betul ni?" soal Aqilla sekali lagi.

"Nak pergi ke tak?" Soalan dibalas soalan pula.

"Okey, okey. Jom Meen, kita siap." Aqilla terus menarik tangan Ameena.

"Kau pergilah, aku tak ikut," balas Ameena pula.

Segan pula jika dia ikut serta. Lebih baik duduk di rumah dengan Nenek Safura saja.

"La, kenapa pula kau tak nak ikut?" Mood Aqilla untuk keluar mengikut abangnya turut terbantut saat mendengar jawapan daripada Ameena.

"Aku..."

"Pergilah, Meen. Keluar dengan mereka." Belum sempat Ameena menjawab, Nenek Safura terus menyuruh Ameena turut mengikut mereka berdua keluar.

Tanpa banyak soal, Aqilla terus menarik tangan Ameena untuk bersiap. Ameena terpaksa mengikut. Dia betul-betul segan untuk keluar bersama Ryan serta bakal isteri lelaki itu.

Sebaik sahaja mereka berdua siap menukar pakaian dan mekap ala kadar, mereka terus menapak turun ke bawah mendapatkan Ryan yang setia menunggu.

Saat matanya terpandang baju yang dipakai Ryan, matanya terbuntang. Baju mereka sama warna. Lelaki itu memakai T-shirt putih serta kemeja denim di luar. Malu menguasai diri.

Kenapa aku tak perasan? marah Ameena dalam hati. Seakan-akan mahu pengsan saat melihat senyuman Ryan.

Sebaik sahaja mereka bertiga menapak keluar dari rumah menuju ke kereta Ryan yang diparking di tempat letak kereta, Aqilla terus menyakat dirinya.

"Amboi, kau... Tiru angah aku. Ada apa-apa yang aku tak tahu ke?" sakat Aqilla dengan suara perlahan. Tidak mahu abangnya mendengar perbualan mereka.

"Mana ada." Ameena terus menyiku lembut lengan sahabatnya itu. Merah padam mukanya akibat malu.

"Kau duduk depan, ya? Baju dah sama tu." Aqilla terus-terusan menyakat Ameena.

Kembalikan CintaWhere stories live. Discover now