SEBAIK sahaja Nenek Azizah terdengar bunyi kereta berhenti di hadapan rumahnya, dia terus melangkah ke pintu untuk menyambut tetamu yang tiba.
Dia telah menyiapkan segala keperluan tetamunya walaupun hanya sederhana. Ameena telah memberitahu tiga orang tetamu yang akan datang. Salah seorangnya lelaki. Jadi, dia telah menyiapkan bilik tamu untuk dua orang perempuan. Ameena tidur dengannya. Manakala, lelaki itu pula terpaksa tidur di bilik Ameena kerana bilik Ameena hanya mempunyai katil yang boleh memuatkan seorang saja.
Setelah Nenek Azizah membuka pintu rumah, dia terus melangkah keluar untuk menyambut tetamu yang tiba. Ameena melangkah laju mendapatkannya. Tersenyum bibir tuanya.
Ameena mendakap erat batang tubuh neneknya itu. Setelah melepaskan rindu kepada Nenek Azizah, perlahan dia meleraikan pelukannya. Dia menoleh ke belakang dan melihat Ryan sedang tersenyum kepadanya.
"Abang... Kenalkan, ini nenek Meen."
"Assalamualaikum, nek. Saya Ryan Amsyar, boleh panggil Ryan," ujar Ryan, memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Nenek Azizah.
Nenek Azizah laju menyambut salam lelaki di hadapannya itu.
"Waalaikumussalam. Mana yang lain?" soal Nenek Azizah hairan kerana hanya lelaki itu saja yang berdiri di hadapannya kini.
"Saya dah kejut tadi. Masih mamai lagilah tu." Ryan terus melangkah ke keretanya dan membuka pintu belakang sebelah kanan kereta.
Ameena dan Nenek Azizah turut mendekati kereta itu. Sebaik saja mereka mendekat, Nenek Safura melangkah keluar dari kereta diikuti oleh Aqilla.
Sejurus Nenek Azizah melihat Nenek Safura, dia terus melangkah ke arah Nenek Safura dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Dia pasti wanita itu lebih tua daripadanya.
Nenek Safura dengan senang hati menyambut salam daripada wanita itu dan memeluk tubuh Nenek Azizah. Begitu juga dengan Aqilla.
Setelah mereka mengambil semua barang-barang di dalam bonet kereta, mereka melangkah naik ke rumah Nenek Azizah.
"Jemput naik kak ke pondok saya ni," ujar Nenek Azizah segan. Nenek Safura hanya tersenyum.
"Kita bersyukur apa yang ada, Jah," ujar Nenek Safura lembut.
Setelah Nenek Azizah menunjukkan bilik untuk mereka berehat, dia mempelawa tetamu-tetamu di rumahnya itu minum terlebih dahulu. Hanya Milo panas dan biskut yang disediakan. Mereka minum sambil berbual panjang.
Ryan terlebih dahulu meminta diri untuk masuk ke bilik kerana badannya terlalu penat akibat memandu sebentar tadi. Dia melangkah ke bilik yang ditunjukkan oleh Nenek Azizah. Beg di hadapan pintu dicapai dan dibawa masuk ke dalam bilik.
Setelah kakinya melangkah ke dalam bilik itu, dia terus membuka lampu di tepi pintu. Lama diperhatikan bilik itu. Katil bujang di tepi dinding sebelah kanan dan di sebelahnya meja belajar. Manakala di sudut kiri pula, almari baju yang sederhana besar. Dia melangkah ke meja dan melihat gambar Ameena. Comel.
Setelah itu, dia terus menghampiri katil dan terus berbaring untuk melegakan urat sarafnya.
Lama-kelamaan, dia terlelap dengan sendirinya.
PERLAHAN dia melangkah masuk ke bilik itu. Pintu telah diketuk terlebih dahulu, tetapi tiada sahutan daripada Ryan. Sebab itu, dia memberanikan diri untuk masuk ke dalam biliknya. Nasib baik juga lelaki itu tidak mengunci pintu bilik.
Satu per satu langkah disusun menuju ke almari di hujung dinding. Dia ingin mengambil beberapa helai pakaiannya untuk dipakai malam ini dan esok. Segan jika masuk berulang kali sedangkan biliknya itu ditiduri oleh lelaki bujang.
Matanya menoleh seketika ke katil. Nyenyak sekali Ryan tidur. Mungkin kepenatan. Tanpa menukar baju, tanpa berselimut. Lena sekali.
Betul-betul penat tu, luah Ameena dalam hati. Kerana kasihan, dia melangkah ke katil, ingin menyelimutkan Ryan. Takut jika lelaki itu kesejukan pula.
Selepas menyelimutkan badan Ryan, dia kembali melangkah ke almari. Ingin mengambil bajunya pula.
"Buat apa tu?" tegur Ryan.
Terkejut Ameena dibuatnya, seakan-akan terhenti seketika jantungnya. Dia cepat terkejut. Nasib baik tidak melatah. Tetapi, baju yang dipegangnya terjatuh ke lantai.
"Abang! Terkejut Meen," kata Ameena, tidak puas hati dan terus menoleh ke katil. Suaranya masih berjaya dikawal.
Ryan masih lagi dalam keadaan berbaring dan mula bangkit.
"Meen tu, masuk bilik abang buat apa?" Ryan membetulkan duduknya di birai katil.
"Sorry. Meen nak ambil baju Meen," kata Ameena lantas mengutip kembali bajunya yang jatuh ke lantai tadi.
Ryan hanya merenung saja tingkah laku Ameena. Dia tersenyum dengan gelagat Ameena yang kelihatan takut-takut itu.
"Abang sambunglah tidur," kata Ameena lagi sebelum melangkah keluar. Dia tidak suka direnung sebegitu rupa. Menyesal pula masuk ke bilik itu sendirian.
"Kalau abang tak kasi keluar macam mana?" sakat Ryan tiba-tiba.
Langkah Ameena terhenti saat mendengar soalan daripada lelaki itu. Laju dia menoleh ke arah Ryan.
"Meen masuk bilik abang tak minta kebenaran pun. Takkan macam tu aje abang kasi keluar." Ryan mula bangkit dari duduknya.
Laju Ameena melangkah dan berlari anak keluar dari bilik itu. Dia tidak suka dengan gurauan Ryan. Ngeri apabila difikirkan.
Ryan yang melihat Ameena berlari keluar dari bilik itu tersenyum dan menggeleng kepala. Dia sudah sedar ketika pintu biliknya diketuk lagi. Tidak sangka Ameena yang mengetuk pintu biliknya itu.
Tiba-tiba bibirnya mengukir senyuman. Senang dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Ameena. Hatinya tiba-tiba berbunga.
YOU ARE READING
Kembalikan Cinta
RomanceComel! Itu kata Ryan Amsyar. Saat pertama kali melihat Ameena Jasmin. Namun, dalam hatinya telah terukir satu nama, Mellina. Dia lelaki yang setia pada cinta. Akhirnya, dia dan Mellina diijab kabul. Tetapi, bahagia yang dicari hanya seketika. Hanya...