Bab 4

415 11 0
                                    

#KuHanyaSayangPadamu

Bab 4 (FULL)

****************

Majlis nikah yang sepatutnya berjalan seperti biasa digantikan dengan kenduri doa selamat. Humaira tak dapat membendung kesedihannya.

Keluarganya juga terkejut dengan keputusan Nazhan. Seharian dia mengunci diri di dalam bilik. Meratap menangis seorang diri.

Pagi itu pula dia terdengar sesuatu yang tidak enak daripada mulut orang lain. Yang pastinya jirannya yang suka menyibuk hal orang lain iaitu Mak Esah.

“Aku dengar pihak lelaki yang batalkan majlis nikah ni. Kenapa Tun? Ada apa-apa yang tak kena ke?” Bertubi-tubi soalan Mak Esah tujukan kepada emaknya.

Puan Zaitun hanya mengeluh panjang. Tidak tahu nak dijawab apa lagi. Dia sendiri pun malu untuk berdepan dengan semua tetamu yang hadir.

Yelah majlis nikah yang sepatutnya dijalankan digantikan dengan kenduri doa selamat. Sesiapa pun tetap akan berasa pelik. Apa boleh dibuat, nasi sudah menjadi bubur.

“Mungkin anak aku dan pihak lelaki tak ada jodoh.” Puan Zaitun membalas dengan senyuman tawar.

“Hish, takkanlah pihak lelaki senang-senang je nak batalkan majlis. Mesti ada sesuatu ni..” Mak Esah cuba mengorek rahsia daripada Puan Zaitun. Masih tidak puas hati dengan jawapan ala kadar emaknya.

“Aku dah tak boleh nak cakap apa dah Esah. Aku redha kalau dah takdir anak aku dah tak ada jodoh dengan pihak lelaki. Apa yang boleh aku buat, cuma boleh doakan yang terbaik untuk anak aku.”

Mak Esah kelihatan mencebik.

“Alah kau ni.. Mesti anak kau yang buat hal kan? Sebab tu pihak lelaki tak nak teruskan majlis ni. Aku cuma teka je bukan aku nak mengata tau. Aku cuma rasa pelik je.” Mak Esah selamba sahaja meluahkan kata-kata.

Puan Zaitun terkedu. Kata-kata Mak Esah dibiarkan tidak berbalas.

Sebagai seorang ibu, dia terlalu kasihankan Humaira. Mana nak letak muka dengan mulut orang kampung yang sibuk mengata?

Humaira mengetap bibir. Hatinya sakit apabila mendengar segala kata fitnah mengenai kisah majlis tak jadinya. Air matanya mulai mengalir.

Ya Allah, sungguh berat dugaan-MU ini.. Rintihnya pilu dalam hati.

****************

Nabihah memandang Humaira dari jauh. Entah kenapa hatinya sedih melihat sahabatnya tidak dapat mengawini orang yang dicintai.

Sudah hampir dua bulan, Humaira tetap begitu. Masih menangis dan merintih hiba akan nasibnya.

Hati mana yang tidak hancur berkecai jika dipermainkan sebegini rupa. Sungguh dia tidak faham atas alasan apa Nazhan membatalkan perkahwinan di saat akhir. Terselit juga rasa marah kepada lelaki itu.

“Kau okey?” Nabihah datang menegur.

Humaira tersentak dari lamunan panjangnya. Segera dia menoleh ke sisi.

“Kau okey tak ni?” Nabihah mengulangi soalannya tadi.

Humaira hela nafas sesaat. Jika ditanya dia okey ke tidak, jawapannya adalah tidak. Walaupun mulut berkata yang sebaliknya.

“Aku okey...” Balas Humaira perlahan. Dia mengukir senyuman kepada sahabat baiknya itu. Senyuman yang langsung tidak berperisa. Tawar dan hambar seperti hatinya.

Nabihah sudah sedia maklum. Dari cara Humaira senyum yang macam tak berapa nak manis tu, dia tahu Humaira berbohong. Di wajah sahabatnya masih terpalit duka yang tersimpan. Nabihah yakin itu.

“Betul ke ni kau okey? Aku tengok kau macam tak okey aje.” Provok Nabihah seraya dia merenung wajah Humaira dalam-dalam.

Humaira hanya diam. Melihatkan dari cara Nabihah merenungnya begitu, Dia tahu sahabatnya begitu mengambil berat akan dirinya. Dia tahu dia pasti tidak dapat menyembunyikan isi hatinya daripada Nabihah. Sahabatnya itu pasti dapat meneka.

“Ye... Aku okey. Kau tak payah risau..”
Nabihah mengeluh kecil.

“Kau masih ingatkan dia?” Nabihah pandang muka sahabatnya.

Humaira terkedu lalu dia menunduk menekur memandang lantai. Bohonglah kalau dia cakap yang dia tak teringatkan Nazhan. Buktinya memang jelas lagi nyata. Kalau tidak masakan dia boleh hanyut melayan kesedihan?

“Tolonglah kau jangan ingat lagi lelaki tak guna tu boleh tak?”

“Aku tak ingat dekat dialah.” Humaira menafikan.

“Tak ingat konon. Habis tu kenapa kau masih macam ni? Masih bersedih ingat dekat orang tu?”

“Kau tak payah risaukan aku. Aku cuma sedih dengan segala caci maki orang. Orang kampung pun duk sibuk jaja cerita pasal aku. Kononnya aku ni yang terlebih dulu yang buat onar sebab tu pihak lelaki batalkan majlis.” Luah Humaira dengan perasaan yang berbuku.

“Kau sabar Maira.. Mulut orang kampung kau tak payah ambil kisah sangat.” Nabihah simpati mendengarnya.

“Biarlah aku macam ni.. Hidup pun asyik telan kata-kata fitnah orang je.” Humaira seakan berputus asa.

Hidupnya saat ini dirasakan tidak berguna lagi. Perginya Nazhan kerana memutuskan hubungan mereka terlalu merobekkan hatinya. Berdarah sehingga sukar untuk diubati lagi.

“Kau tak boleh terus macam ni Maira..”

“Kau tak faham apa yang aku rasa. Aku kecewa sangat, Bihah.. Lelaki yang aku sayang sanggup tinggalkan aku.. Kerana perbuatan dia, aku kena hadap semua ni.”  Rintih Humaira mulai menangis.

Tiba-tiba kenangan lalu datang menjengah fikiran. Kenangan yang tak mungkin akan padam. Malah, kenangan itu terus diingati sampai bila-bila pun.

Pahitnya kenangan sehingga membuatkan hatinya terasa pilu. Humaira tidak akan pernah lupa bahawa pada hari bahagia yang diharapkan bukanlah seperti yang dirancangkan.

Nazhan membatalkan majlis perkahwinan mereka di saat akhir. Pedihnya hati Humaira bagaikan terasa dilapah-lapah. Teramat sakit!

“Aku faham apa yang kau rasa. Malah aku pun rasa sakit hati bila Nazhan buat kau macam ni. Tapi bernilai ke setiap titis air mata kau yang tumpah kerana Nazhan? Bernilai ke? Kau menangis tapi Nazhan? Langsung tak ingat kau. Nazhan langsung tak kisah kalau kau menangis air mata darah sekalipun.” Nabihah tidak jemu menasihati sahabatnya itu.

Bukan niat dia mahu membuat Humaira bersedih lagi. Dia cuma mahu Humaira boleh menerima kenyataan. Dia mahu Humaira yang dulu. Humaira yang manja dan ceria.

“Aku sedih, Bihah.. Aku tak boleh bendung rasa kecewa aku. Kadang aku tak habis fikir kenapa dia sanggup tinggalkan aku? Apa salah aku pada dia?” Humaira menangis lagi.

“Mungkin ini kententuan takdir. Mungkin Nazhan bukan jodoh kau. Kau mesti teruskan hidup kau. Kalau kau menangis macam ni Nazhan tak pernah nak peduli pun.”

Humaira mengesat air matanya dengan sehelai tisu.
Kata-kata Nabihah memang ada benarnya.

Kalau dia menangis setiap hari sekalipun, Nazhan tidak akan sesekali kembali padanya. Tak akan!

“Aku tahu kau sedih. Aku faham. Tapi kau kena kuat. Jangan terus lemah dengan ujian ni. Ingat kau masih ada family. Kau masih ada aku. Dan kau juga masih ada Allah untuk mengadu. Berdoalah pada Allah agar terus diberi kekuatan.” Tulus Nabihah menasihati sahabatnya.

Humaira memandang sahabatnya. Hatinya sedikit terharu dengan keikhlasan Nabihah menasihatinya.

“Terima kasih Bihah sebab selalu ada susah senang bersama aku. Aku terharu dengan sikap ambil berat kau terhadap aku.” Pandangan matanya sekali lagi kabur dengan air mata. Kolam matanya mahu tumpah sekali lagi.

“Aku akan selalu ada dengan kau. Kau kan kawan aku.” Nabihah mengukir senyuman ikhlas. Tangan Humaira turut digengam erat mahu menyalurkan kekuatan.

Ku Hanya Sayang PadamuWhere stories live. Discover now