Adab bertanya.

109 1 0
                                    

Bertanya biarlah jelas. Lebih elok dan molek sekiranya dimulakan dengan ucapan, disusuli dengan soalan, dan diakhiri juga dengan ucapan. Namun yang sering abang terima adalah seperti:

"Saya nak kerja petik buah."

"Ada kerja kosong?"

"Saya perlukan hotel di Berlin."

"Nak sewa kereta kat mana?" dan macam-macam lagi.

Jadi, bagaimana abang dapat berikan jawapan yang tepat dan jelas bagi soalan yang sebegitu? Tiada maklumat yang cukup untuk abang berikan jawapan.

Termangu seketika abang menghadap komputer atau telefon sambil memikirkan jawapan yang sesuai. Kalau dijawab secara acuh tak acuh nanti ada yang terasa, kononnya abang sombonglah, abang perlilah, dan sebagainya. Namun untuk menjawab secara tepat, adalah amat sukar untuk abang walaupun abang ini agak bijak orangnya.

Kadangkala abang terfikir mungkin mereka merasakan yang abang ini seorang psikik yang dapat membaca fikiran dan menterjemahkan apa saja yang mereka tulis. Kalau ikutkan perasaan, soalan yang pertama abang akan jawab, "Ha... kerjalah," sebab apa yang ditulis kepada abang bukanlah pertanyaan tetapi penyataan.

Bagi soalan yang kedua pula jawapan abang lebih mudah. Cuma perlu jawab ya ataupun tidak saja. Namun, abang tidak tergamak menjawab sebegitu kerana abang tahu mereka mengharapkan jawapan yang jelas daripada abang.

Oleh itu, jawapan terbaik yang dapat abang berikan adalah dengan bertanya soalan kembali, yang mana akibatnya akan terdapat satu siri komunikasi yang panjang rentetan daripada satu e-mel. Abang lebih suka menerima satu set soalan yang lengkap sepanjang mungkin dan abang dapat menjawab sekali gus secara lengkap dan jelas.

Namun apabila setiap e-mel atau mesej ada satu soalan dengan tiga ataupun empat patah perkataan, amat sukar untuk abang memperuntukkan masa abang bagi menjawab soalan sebegitu.

Alangkah bagus kalau e-mel atau mesej yang diterima berbunyi:

"Assalamualaikum, saya nak tumpang tanya, kalau kita nak naik tren dari Munich ke Amsterdam, perlukah kita beli tiket online atau di kaunter saja? Terima kasih." – Hamzah, KL.

Sesiapa saja yang membaca pertanyaan di atas pasti faham dengan jelas, apakah soalan yang ditanya dan siapa yang bertanya soalan. Tidak dinafikan, ramai juga orang yang menghantar e-mel atau mesej kepada abang dengan ayat dan penulisan yang bagus. Ramai juga yang penulisannya tidak bagus namun pertanyaan dan cara tulisannya membuat abang senang hati.

Bertanya biarlah jelas. Supaya yang menjawab itu faham persoalan yang kita ingin utarakan dan kita juga mendapat jawapan yang dimahukan. Contohnya ketika kita sedang menunggu komuter dan kita bertanya orang sebelah:

"Kak, pergi Seremban ke?" sambil menunjukkan isyarat jari ke arah laluan tren komuter.

Maka kakak itu pun menjawab, "Tak!" sambil menggeleng kerana dia nak ke Subang Jaya.

Sebaliknya yang kita maksudkan tadi adalah tren komuter yang sedang ditunggu tersebut menuju ke Seremban ataupun tidak. Kita menjangkakan yang kakak tadi dapat membaca akal fikiran kita memandangkan ketika itu kita sama-sama sedang menunggu tren komuter dengannya.

Namun kalau kita bertanya, "Kak, tumpang tanya sikit. Komuter laluan ni nak ke Seremban ke?"

Maka kakak tadi pun dengan lebih senang hati menjawab:

"Tak, yang ni nak ke Pelabuhan Klang. Kalau nak ke Seremban adik kena naik kat sebelah sana. Rasanya lagi lima minit tren sampai. Adik kena pergi sekarang!" sambil tersenyum.

Nampak tak perbezaan nada jawapan yang diberikan apabila pertanyaan yang diajukan lebih lengkap dan beradab?

Begitu juga dengan abang, adik, atau sesiapa saja yang menerima pertanyaan. Acapkali abang mengerut dahi memikirkan bagaimana hendak menjawab soalan yang diterima. Bukan bermakna abang tidak mahu adik menghantar e-mel atau mesej bertanya soalan, tetapi biarlah lengkap dan abang mudah faham. Itu saja.

Untuk abang tidak perlu ucapan salam, tidak perlu terima kasih, dan sebagainya. Cukup sekadar soalan yang lengkap untuk abang mudah menjawabnya.

(TEASER) Mentaliti Jamban - Khairul AbdullahWhere stories live. Discover now