Abang dah hidup agak lama, dik.
Walaupun tak selama nenek ataupun atuk adik, tapi abang dah tengok dunia. Abang dah keluar dari bawah tempurung. Dah lama abang keluar dari tempurung, ketika abang mula kenal huruf dan reti membaca. Banyak buku yang abang baca, membawa abang keluar dari tempurung abang, sebuah pedalaman perkampungan Felda di negeri Kedah pada ketika itu.
Abang tak pernah keluar dari kampung ketika kecil, tapi abang dah terbang jauh melalui pembacaan, abang dah tengok dunia walaupun miskin. Abang dah tahu cara hidup orang di London atau di New York, dan tahu apa yang mereka buat selepas makan. Dah tahu cara orang di San Francisco atau Calcutta menyambut tetamu mereka dan bagaimana adabnya. Abang juga tahu betapa orang Jepun sanggup meletak jawatan sekiranya gagal, dan membunuh diri kerana malu.
Namun masih ramai adik, abang, dan kakak pada hari ini yang tak tahu malu. Ramai yang masih duduk di bawah tempurung kerana malas ambil tahu. Ramai yang masih tak tahu adab bertamu, lalu tunduk tersipu-sipu atau keras kejung dengan lidah yang kelu. Ramai yang membuang sampah sesuka hati, ramai yang memandu macam tak ada esok hari. Ramai yang merokok tak kira tempat dan masa, tak peduli sama ada yang duduk di sebelahnya itu bayi ataupun mak mertua.
Ramai yang tak kisah fasal sekeliling, asalkan apa yang dibuat tak menjadikan dirinya pening. Parkir kereta sesuka hati, asalkan aku boleh cukuplah, orang lain aku tak peduli. Ramai juga yang suka maki dan mencaci, asalkan orang lain yang kena, bukan aku.
Kenapa begitu?
Bukan semua orang kita seperti yang abang cakapkan. Ramai yang baik dan bagus sikap dan akhlaknya. Namun majoritinya masih teruk. Mana mungkin kita dapat melihat sampah bertaburan, tandas yang kotor, memandu di lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat merah, dan sebagainya jika majoriti orang kita akhlaknya baik?
Masih ramai yang belum terdidik dengan sikap dan akhlak yang baik kerana memang tak pernah diajar, tak nak belajar, dan tak nak ambil tahu. Ada yang nak tahu, tapi malas pula membaca.
Walaupun dunia hari ni tak macam dunia abang yang dahulu, tiada Internet, yang ada hanyalah buku, adik-adik masih tak nak ambil tahu, walaupun maklumat hanya di hujung jari. Adik-adik dan ada juga kakak dan abang yang hanya suka muka buku. Bukannya buku.
Abang dah tengok dunia, dik.
Abang dah tengok macam-macam ragam orang di dunia. Abang dah pernah pergi ke banyak bandar utama di dunia dik, yang abang malas nak sebut. Bukannya abang nak berbangga, tapi abang nak beritahu yang abang dah tengok cara hidup penduduk di negara maju. Apa yang buat mereka maju? Apa yang buat mereka hebat dari segi kehidupan?
Mentaliti dik, mentaliti.
Mereka ada akhlak dan mentaliti kelas pertama. Bukan abang nak bangga-banggakan mereka. Banyak juga perkara atau sikap dan akhlak mereka yang tak baik. Senang cakap, banyak juga yang buruk tentang mereka. Ada juga yang tak ada mentaliti pun, tapi kita nak ambil contoh yang elok-elok sahaja, yang buruk kita tolak ke tepi.
Jangan suruh abang bandingkan budaya dan sikap kita dengan negara lain yang lebih mundur di mana sikap masyarakatnya lebih teruk daripada kita. Kalau kita bandingkan dengan orang yang lebih teruk, maka kita akan sentiasa jadi yang terbaik.
Jika begitu keadaannya, maka tidak perlulah kita berubah kerana kita sudah yang terbaik. Namun apabila dibandingkan dengan masyarakat yang lebih baik, maka kita tahu bahawa masih ada begitu banyak benda yang kita perlu ubah untuk menjadi yang terbaik. Kalau nak negara kita maju macam negara orang, biarlah sikap dan mentaliti kita juga turut maju.
Faham?
Negara kita nampaknya macam hampir maju, tapi kebanyakan kita masih mempunyai mentaliti jamban!
Jangan marah dik, sebab itulah kenyataan.
Abang tulis ni sebab abang sayang adik-adik, kakak-kakak, dan abang-abang. Abang nak semua orang mempunyai sikap yang baik selaras dengan tuntutan agama, dan juga bagi menjadikan kita orang yang hebat dan layak tinggal di negara yang juga hebat.
Abang bukannya poyo, dik. Abang pun bukannya baik atau bagus sangat. Abang pernah buat salah dan silap, namun abang belajar dan sedang berubah. Sepanjang abang hidup, bekerja, mengembara, dan juga menulis, banyak pengajaran yang abang dapat dan abang ingin kongsi bersama semua.
Jadi, bacalah dik. Bacalah dengan nama Tuhanmu. Dengan membaca, kita berilmu, dengan berilmu kita beramal dan secara tak langsung, akhlak dan mentaliti jamban kita flush dalam-dalam.
Khairul Abdullah
YOU ARE READING
(TEASER) Mentaliti Jamban - Khairul Abdullah
Não FicçãoKHAIRUL ABDULLAH adalah seorang pereka grafik dan laman web yang pernah bekerja dan menetap di Jerman. Beliau juga mempunyai pengalaman yang agak luas dalam dunia backpacker dan kembara serta pernah mengunjungi banyak bandar utama di dunia. Segala y...