Ni abang nak buka pekung sikit. Cerita fasal emak abang. Mungkin tak sedap didengar tetapi ia bagus untuk pengajaran.
Teringat abang kepada emak yang pertama kali sampai ke rumah abang di Jerman. Ketika emak keluar dari bilik air, abang sudah dapat mengagak yang bilik air akan lencun seperti bilik air rumah di kampung. Ternyata telahan abang tepat. Memang lencun.
Abang memikirkan cara macam mana nak menegur emak dengan penuh hemah tanpa menggores perasaan beliau. Lalu abang dapat idea dan abang pun panggil emak.
"Mak, datang sini kejap," kata abang sambil menggamit emak untuk masuk ke bilik air. Emak pun datang dan ikut abang masuk ke dalam bilik air.
"Mak nampak tak suis kat dinding tu?" tanya abang sambil menunjukkan kepada emak suis pemanas lantai bilik air.
"Suis apa tu?" tanya emak abang.
"Itulah suis pemanas lantai. Lantai bilik air ni ada elektrik untuk bagi dia panas," jawab abang. "Jadi kita kena hati-hati bila guna bilik air ni. Takut-takut kalau air melimpah nanti, kena kejutan elektrik pula," tambah abang lagi.
"Oh," angguk emak abang.
Petang itu ketika emak sudah keluar dari bilik air, abang pun masuk untuk melihat. Tidak seperti sebelumnya, bilik air kali ini kering tanpa sebarang kesan-kesan percikan. Abang tersenyum namun terdetik dalam hati ingin tahu bagaimana emak melakukannya. Lalu abang pun mendekati emak.
"Macam mana mak ambil air sembahyang? Kering je bilik air tu?" tanya abang.
"Emak ambil pelan-pelanlah," jawab emak ringkas.
"Eh, macam mana ambil air sembahyang pelan-pelan?" tanya abang mengusik.
"Alah, bolehlah. Ambil dengan tertib. Basuh pelan-pelan, jangan gopoh. Boleh pun. Air pun jimat," ujar emak lagi.
Nampak tak? Betapa seorang wanita berusia 63 tahun yang seumur hidupnya sudah terbiasa mengambil wuduk dengan menggunakan air yang sangat banyak dan membasahkan keseluruhan lantai bilik air, boleh berubah sekelip mata dengan sedikit perubahan sahaja?
Abang yakin, kita semua boleh berubah kalau kita mahu.
YOU ARE READING
(TEASER) Mentaliti Jamban - Khairul Abdullah
Non-FictionKHAIRUL ABDULLAH adalah seorang pereka grafik dan laman web yang pernah bekerja dan menetap di Jerman. Beliau juga mempunyai pengalaman yang agak luas dalam dunia backpacker dan kembara serta pernah mengunjungi banyak bandar utama di dunia. Segala y...